Jumaat, 29 April 2022

Masalah Adalah Teman

 

Kita tak akan terlepas daripada menghadapi masalah. Masalah sentiasa berlaku setiap hari, ia tak akan pernah selesai dan tak akan pernah tidur. Cuma kita saja yang lalai sehingga masalah itu yang selama ini bersembunyi akhirnya timbul. Jangan lari daripada masalah, jadikan ia teman rapat kerana ia akan mengajar kita bagaimana berhadapan dengan kehidupan yang keras dan mencabar.

Belajar menyelesaikan masalah

Kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah sehingga kita sendiri yang berhadapan dengan masalah tersebut. Kita cuba mengelak dan sedaya upaya untuk mengelaknya jika boleh. Tetapi masalah itu tetap datang menduga kita. 

Disitulah kita akan diuji bagaimana sikap dan sifat sebenar kita. Adakah kita seorang yang cekap, berkesan dan mampu mempertahankan diri. Atau seorang yang lemah, tak mahu memperbaiki diri dan suka mengeluh dan mengharapkan orang lain semata-mata.

Tidak salah minta bantuan orang lain, tetapi orang lain tak akan dapat membantu kita dari mula sampai selesai masalah kita. Kalau kita sendiri tidak ada semangat, tiada motivasi diri, orang lain akan undur diri awal untuk terus membantu. 

Orang lain juga tidak dapat membantu sepenuhnya kerana kita semua ada masalah masing-masing. Sama ada masalah itu nampak di depan mata orang lain, atau kita sembunyikan masalah kita dan cuba selesaikannya dengan cara berhemah.

Belajar menyelesaikan masalah, maka kita akan dapat memahami bagaimana realiti kehidupan itu boleh terjadi. Memahami sesuatu masalah akan dapat menyelesaikan lebih banyak lagi masalah yang lain. 

Apabila masalah yang kecil bukan lagi menjadi masalah kepada kita, kita akan berhadapan dengan masalah yang sederhana. Begitu juga apabila masalah yang sederhana itu tidak lagi menjadi masalah kepada kita, kita akan berhadapan dengan masalah yang besar pula.

Kenapa semua itu boleh berlaku, kerana masalah kecil dan sederhana bukan lagi menjadi satu masalah kepada kita walaupun ia sebenarnya adalah satu masalah. Masalah dinilai berdasarkan kemampuan kita menyelesaikan masalah tersebut. 

Masalah besar yang akan kita hadapi apabila masalah kecil dan sederhana bukan lagi menjadi masalah kepada kita adalah masalah peribadi. Kita cenderung untuk menjadi sombong, bongkak, berlagak, memandang rendah kepada orang lain. 

Kita mungkin tidak ada masalah dengan kewangan, kita mampu membeli segalanya dengan wang. Tetapi kita akan berdepan dengan masalah peribadi jika tidak dapat mengawal sikap dan sifat sombong dan bongkak kita.

Jadikan masalah sebagai teman setia

Bagaimana? Belajarlah untuk hidup susah dahulu sebelum menikmati kesenangan. Walaupun kita mampu untuk hidup senang tetapi kita masih memilih untuk bersusah payah. 

Masalahnya disini bukanlah masalah tersebut, tetapi bagaimana penerimaan kita terhadap masalah itu. Ada banyak kelebihan, manfaat, keuntungan dan hasil yang boleh kita dapat jika menjadikan masalah itu sebagai teman. Antaranya :

  • Belajar untuk memahami diri sendiri. Kita boleh tahu apa kelemahan dan kekurangan kita. Masalah itu akan menonjolkan siapa diri kita yang sebenar. Kita ada masalah dengan tugas kita, bermakna kita belum faham sepenuhnya apa tugas kita, kita belum menguasai kemahiran yang diperlukan dalam kerja kita. Kita ada masalah kewangan walaupun gaji besar, bermakna kita ada masalah pengurusan diri, kita seorang yang boros dan mempunyai sifat yang negatif dalam berbelanja. Kita ada masalah peribadi, bermakna kita belum mampu menguasai ilmu pengetahuan yang banyak, kita tidak ada motivasi diri, kita tidak mampu mengawal diri sendiri, kerana kita tidak tahu cara bagaimana menyelesaikan masalah tersebut.
  • Belajar untuk memahami orang lain. Kita boleh kenal sikap dan sifat peribadi seseorang. Masalahnya disini adalah ada orang yang tidak begitu mesra walaupun ditegur dengan baik. Masalahnya juga ada orang yang cuba mengambil kesempatan ke atas kita. Ada juga masalah orang yang tidak peduli dan suka memperlekehkan kita. Masalah seperti ini yang perlu kita pelajari supaya kita dapat belajar pula bagaimana untuk berdepan dengan jenis masalah orang yang berbeza perangai, sikap dan personaliti dirinya.
  • Belajar untuk memilih jalan penyelesaian. Kita hanya akan dapat selesaikan masalah itu jika kita tahu apa puncanya. Bila kita seringkali berdepan dengan masalah yang sama, lama kelamaan kita akan menjadi mahir dalam menyelesaikan masalah tersebut. Kenapa perlu lari dari masalah itu, sedangkan masalah itu setiap hari kita berdepan dengannya. Lebih baik kita dekati masalah tersebut dan belajar setiap selok beloknya supaya dapat mengenal pasti di mana masalah itu sebenarnya bermula. Musuh utama kita adalah diri sendiri, bukannya perkara yang menjadi masalah kepada kita. Sama ada kita tewas dengan masalah atau kita tawan masalah itu, kita yang membuat pilihan.
Masalah boleh memberi faedah dan keuntungan

Bagaimana kita boleh mengubah masalah itu menjadi sesuatu yang berfaedah dan menguntungkan. Biasanya ini berlaku dalam perniagaan, masalah yang dihadapi oleh orang lain menjadi penyelesaian kepada masalah kewangan kita dengan menawarkan jualan produk dan perkhidmatan yang diperlukan. 

Apakah faedah dan keuntungan masalah yang kita hadapi? Tak kira apa bentuk masalah sekalipun.

  • Tahu mengurus dan mengatur rancangan sendiri. Sebab utama kenapa kita ditimpa masalah adalah kerana mengikut arus perdana. Kita tidak mahu melawan arus kerana takut disisihkan dalam kelompok orang ramai. Apabila berlaku masalah dalam arus perdana itu kita juga akan terkesan dan berdepan dengan masalah yang besar dan rumit. Jika kita sudah tahu apa masalahnya, kita keluar dari arus itu dan melawan dengan mengikut cara kita. Kita urus sendiri, kita atur rancangan sendiri apa yang perlu dilakukan. Jangan lagi biarkan kita diurus dan dirancang oleh orang lain. Apabila kita mengurus dan merancang sendiri, keutamaannya sudah pasti untuk faedah dan keuntungan diri didahulukan. Jangan biarkan kita jadi alat untuk kepentingan pihak tertentu yang mahu mempergunakan kita.
  • Semakin kuat dan kukuh berdiri sendiri. Masalah akan mengajar kita apa yang perlu dilakukan untuk berdepan dan menyelesaikannya. Kita akan lebih bersedia dari segi fizikal, mental dan rohani. Kita akan memantapkan kemahiran, daya tahan dan kemampuan untuk bertindak dengan lebih proaktif, bukannya defensif atau agresif. Kita tak perlu guna senjata atau tubuh yang sasa atau teknologi yang canggih atau harta yang banyak untuk berdepan dengan ancaman masalah. Apa yang kita perlu adalah daya fikir bagaimana dapat menyelesaikan masalah pada tahap penggunaan tenaga, kos dan masa yang paling minimum.
  • Semakin berkembang maju ke hadapan. Apabila banyak masalah dapat diselesaikan bermakna banyak juga kemajuan yang boleh dicapai. Masalah kewangan dapat diurus dengan baik, maka hutang dapat dikurangkan, perbelanjaan dapat dikawal dan aset dapat ditambah sebanyak mungkin. Masalah di tempat kerja dapat diurus dan diatur dengan baik, maka banyak kemajuan kerja dapat dicapai sama ada dari segi prestasi, pembangunan fizikal dan cara kerja yang cekap dan berkesan. Masalah keluarga diurus dan dirancang dengan baik, maka banyak pembangunan keluarga dapat dibuat, boleh buat rumah sendiri, rumah dilengkapi kemudahan peralatan, anak-anak dapat diurus dengan baik dan sebagainya.
  • Rezeki datang tak putus-putus. Rezeki tak datang melimpah ruah sekelip mata. Ia datang tak putus-putus, bila kita mengalami masalah kewangan kita cari jalan penyelesaiannya. Adakalanya, penyelesaian itu datang sendiri tanpa diduga. Misalnya, mendapat 'durian runtuh' bantuan kewangan atau keuntungan lain yang dapat membantu meringankan beban kita. Urusan kita dipermudahkan, bukan kerana kita berjaya menyelesaikan masalah berkaitan. Tetapi kerja kita menjadi mudah kerana ada sesuatu perkara yang kita tidak duga telah berlaku dan membantu mempermudahkan urusan kita. Jika tidak ada kemudahan tersebut, sudah pasti urusan kita akan menjadi beban yang berat dan susah untuk diselesaikan. Tetapi kita tetap berusaha dan menyelesaikan masalah itu seperti mana biasa yang dilakukan.

Jumaat, 22 April 2022

Kos Sara Hidup Tinggi


Ada orang tak terkesan pun dengan kos sara hidup yang tinggi akibat daripada kenaikan harga barang, kenaikan kadar faedah pinjaman. Ini kerana mereka mempunyai aliran pendapatan wang masuk yang banyak dan tetap setiap bulan. Perkongsian ini untuk pembaca yang terkesan. 

Namun begitu, langit tak selalunya cerah, roda hidup ini akan terus berputar, hari ini kita senang dengan wang yang banyak, masa depan kita tak tahu bagaimana. Mungkin kita akan ditimpa masalah dan bencana yang bertubi-tubi sehingga mengikis banyak wang yang kita ada. Lama-kelamaan, aliran pendapatan wang masuk kita pula terjejas. Jadi, jangan kita terlalu sombong dan megah, merasa kenaikan kos sara hidup ini bukan masalah kita. Kita boleh jatuh miskin secara tiba-tiba.

Punca utama masalah ini adalah wang itu sendiri

Peningkatan ini kita tak boleh elak, merungut pun tak guna. Jangan hanya duduk diam sahaja. Lakukan sesuatu. Masalah ini telah bermula semenjak tahun 1971 lagi melibatkan sejarah kewangan. Tetapi saya tak nak ulas panjang. Asas kepada masalah ini adalah wang itu sendiri. Sifat wang yang nilainya tak pernah naik pun sehingga sekarang, naik turun nilai wang itu bukan pada nilainya yang sebenar. Ia cuma nilai dagangan, wang mana yang lebih laku dijualbeli dalam pasaran matawang dunia. Jangan kita tertipu dengan wang yang dinilai dengan cara itu.

Apa yang berlaku sejak tahun 1971 adalah nilai wang semakin cepat susut dalam pasaran dan harga barang serta kos sara hidup lain telah semakin meningkat secara mendadak berbanding tahun sebelum 1971. Kenaikan kos sara hidup dan penyusutan nilai wang lebih mendadak setiap 10 tahun sekali apabila berlaku kemelesetan ekonomi dunia. Semua ini sebenarnya telah dirancang, tapi saya tak berniat nak ceritakan hal ini disini. Pembaca boleh buat kaji selidik sendiri dengan banyakkan membaca.

Langkah untuk berdepan dengan peningkatan kos sara hidup

Apa kita boleh buat sekarang? 

  1. Perbanyakan aliran pendapatan tunai. Kita boleh buat bisnes sendiri, mengambil upah kerja kontrak, cari kerja tetap, jadi rider foodpanda atau pemandu grab dan sebagainya. Janji ada banyak aliran pendapatan wang masuk. Selain daripada bekerja, aliran pendapatan tunai juga boleh diperolehi melalui pelaburan saham amanah. Jangan pula sampai terperangkap dengan scammer pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat. Kita boleh buat research sendiri tentang pelaburan yang betul-betul wujud dan kurang berisiko.
  2. Banyakkan berbelanja untuk aset. Jangan simpan wang sampai berpuluh ribu, beratus ribu di dalam bank. Ambil pengajaran wang simpanan di dalam bank pun boleh lesap. Kalau nak simpan wang, cukup untuk kecemasan saja. Ada yang mencadangkan wang simpanan kecemasan sebanyak 3 bulan gaji. Itu bagi mereka yang bergaji. Apakah aset? Iaitu apa yang kita beli atau belanjakan dengan wang pendapatan kita memberi pulangan balik dalam bentuk aliran pendapatan wang masuk yang baru. Contohnya, emas, tanah, ilmu pengetahuan, saham amanah, rumah sewa, kebun dan sebagainya.
  3. Penjimatan dalam perbelanjaan. Walaupun kita ada banyak aliran pendapatan wang masuk dan juga banyak aset. Kita perlu juga untuk berjimat dalam berbelanja. Kerana kita mahu wang yang kita belanjakan ada nilai dari segi kuantiti barang daripada perbelanjaan yang dibuat. Apatah lagi kalau kita memang susah dengan aliran wang, mesti banyak melakukan penjimatan dalam perbelanjaan. Contohnya, membeli semasa harga diskaun atau jualan harga murah, membuat bayaran dengan mendapatkan rebat tunai. Semua ini adalah untuk mendapatkan lebihan wang yang tak dibelanjakan supaya kita dapat membeli aset.
  4. Penjimatan dalam penggunaan. Kalau sebelum ini kita banyak makan di luar, sekarang kita kurangkan. Kita juga banyak menggunakan peralatan elektrik berkuasa tinggi, jadi kita tukar kepada peralatan yang cekap dan jimat tenaga. Sebelum ini kita banyak guna kereta pergi balik kerja, selepas ini kalau hari tak hujan kita naik motor. Apabila kita mengurangkan penggunaan sesuatu barang atau mengurangkan aktiviti yang banyak memakan kos, kita akan dapat banyak lebihan wang yang boleh disimpan dan digunakan untuk membeli aset.
  5. Banyakkan membaca tentang ilmu kewangan. Ia akan membimbing kita bagaimana nak mengurus wang dengan cekap, bagaimana mengurangkan hutang yang tidak perlu, bagaimana menggunakan hutang untuk menghasilkan aliran pendapatan. Kita akan dapat belajar daripada kesilapan dan kecuaian lalu yang menyebabkan kita mengalami banyak pembaziran, kerugian dan kehilangan wang tunai. Kita akan belajar bagaimana nak berbelanja dengan cekap, bagaimana nak menyimpan dengan betul. Kita akan belajar untuk tidak lagi mengulangi kesilapan dan kecuaian lalu.
  6. Kecekapan operasi. Jika sebelum ini kita suka bermegah-megah untuk perkara yang biasa-biasa, sekarang kita buat dengan cara yang biasa biasa saja. Tetapi matlamat dan tujuannya masih sama. Kita cuma ubah cara operasi yang digunakan supaya lebih jimat kos. Misalnya, selama ini kita pergi balik ke tempat kerja dengan kereta, kita guna motosikal pula atau menggunakan kereta yang lebih jimat penggunaan minyak dan kos selenggara. Sebelum ini kita banyak makan di luar, sekarang kita banyakkan memasak sendiri di rumah.
  7. Kurangkan hutang. Jika masih ada hutang, susun semula pembayarannya. Hutang yang sedikit kita boleh langsaikan dahulu dengan segera supaya tidak menanggung beban kadar faedah. Jangan menambah hutang yang besar. Kita boleh berhutang untuk perkara yang sangat penting seperti untuk rumah dan kenderaan. Tetapi jangan sampai terlalu mengikut kehendak, mahu rumah yang besar dan kereta mahal, ikut kemampuan sendiri. Cukup berhutang untuk memenuhi keperluan. Ada jenis hutang yang boleh menjimatkan wang, jika kita membeli secara tunai harganya lebih mahal daripada berhutang walaupun ada kadar faedah. Jadi, dalam situasi tertentu dibolehkan berhutang sekiranya kosnya lebih murah daripada membeli secara tunai.
  8. Mulakan menyimpan emas sedikit demi sedikit. Apabila kita sudah memiliki emas fizikal yang banyak, ia bukan saja dapat menyimpan nilai wang kita dengan harganya semakin meningkat setiap tahun. Malah, dengan emas kita boleh meminjam wang kita sendiri tanpa faedah untuk berbelanja dan menyimpan wang pendapatan masuk secara berhemah. Emas adalah aset dan kita mesti ada lebihan wang daripada penjimatan perbelanjaan dan penggunaan setiap bulan untuk membelinya.