Selasa, 23 Mei 2023

Menyimpan Emas Digital MIGA

 


Bagaimana cara untuk...? 
Menyimpan emas digital sedikit demi sedikit serendah RM10 sahaja.

Ada banyak cara untuk melabur. Bila sebut melabur kebanyakan orang agak sensitif sikit, lebih-lebih lagi bila orang bukan dalam bidangnya berbicara tentang pelaburan, macam saya. Tak kisahlah, ini hanya satu perkongsian daripada pengetahuan dan pengalaman sendiri yang dikutip dari jalanan. Itu adalah konsep blog ini. Tidak ada kepentingan atau cubaan untuk scam atau memperdaya bagi mengaut untung peribadi. Nak percaya atau tidak ini cuma satu perkongsian umum.

Mungkin tak berminat dengan pelaburan crypto sebab ia terlalu kompleks dan pulangannya pun lambat, boleh cuba melabur emas sendiri. Melabur disini bukan bermaksud bergolok bergadai untuk membeli dan menyimpan emas bertan-tan sehingga sanggup jual tanah dan buat pinjaman berhutang bank. Buat secara organik, iaitu kita buat secara semulajadi dengan rela hati dan ikut kemampuan. Ada duit sikit simpan dan beli emas sikit demi sikit.

Apa itu emas digital

Maksud pelaburan emas sendiri disini adalah kita memperuntukkan perbelanjaan untuk membeli emas dan menyimpannya untuk mengekalkan nilai. Seterusnya kita boleh mengaut keuntungan apabila harga emas meningkat dalam satu tempoh yang panjang. Misalnya, dua tahun lepas 2019 harga 1g emas sekitar RM170 dan pada tahun 2023 harga 1g sudah mencecah RM300. Jika kita jual emas tersebut sekarang sudah boleh dapat untung RM130.

Dahulu kalau nak beli emas kita perlu pergi ke kedai emas. Paling ringan kita boleh beli cincin atau anting-anting. Bila beli di kedai, akan dikenakan upah tukang. Jadi, kita akan bayar lebih untuk membeli emas walaupun kurang daripada 1g. Ini akan meningkatkan kos pembelian.

Sekarang, sudah ada kemudahan membeli emas secara digital. Emas digital bermaksud kita hanya membeli emas dalam bentuk berat dan boleh bayar serendah RM10 saja secara online. Kita akan dapat berat emas berharga RM10 itu saja. Ini bermakna, kita boleh beli sedikit demi sedikit. Hari ini beli RM10, minggu depan kalau ada duit lebih beli RM50. Dapat pula duit bonus boleh beli RM100. Tidak ada caj tambahan dikenakan. Nilai emas adalah kekal dan harganya akan terus meningkat dari tahun ke tahun.

Namun begitu, bila disebut beli secara online ramai yang akan terbayangkan dengan scammer. Kalau kita rajin buat 'homework' untuk mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan, tak akan mudah masuk jerat. Scammer sangat suka jika mangsanya seorang yang malas membaca dan ikut saja sesuka hati arahan tanpa banyak fikir. Itu beza antara orang yang bijak dengan orang yang mudah diperbodohkan.

Tukar emas digital kepada fizikal

Kelebihan melabur emas secara digital adalah boleh beli sikit demi sikit dan apabila sudah cukup banyak jumlah beratnya, ia boleh dikeluarkan daripada simpanan digital. Pengeluaran secara fizikal ini baru lah dikenakan caj dengan kadar minima, lebih rendah dari caj upah tukang kalau beli emas barang kemas fizikal di kedai emas. Pengeluaran boleh dilakukan dengan berat serendah 1g. Seterusnya berat 5g, 10g, 30g, 50g, 100g, malah sehingga 1kg juga boleh dikeluarkan.

Membeli emas secara digital juga tidak perlu menunggu terlalu lama untuk membeli emas. Tak perlu tunggu duit terkumpul banyak, ada RM10 di dalam akaun sudah boleh buat pembelian. Beli emas semasa harganya masih rendah walaupun dalam jumlah yang sedikit supaya boleh membuat keuntungan pada masa depan.

Apakah pula kelebihan emas fizikal

Baca artilel 'Bank simpanan peribadi emas'. Emas fizikal akan berada di tangan kita. Mungkin ada yang takut nak simpan emas fizikal di rumah, tak kira banyak atau sedikit. Sama ada takut hilang, atau takut dirompak. Sedangkan simpan wang beratus ribu ringgit di dalam bank pun boleh hilang. Kalau tak hilang jumlahnya, akan hilang nilainya. RM100 ribu 2-3 tahun lepas tak sama nilainya dengan masa sekarang. Kita sangka ia tak hilang sebab masih kekal RM100 ribu tetapi nilai sebenarnya sudah jatuh dicuri oleh mereka yang meminjamkan wang itu secara berhutang. Bagaimana mereka boleh mencuri, itu satu bidang ilmu yang lain berkaitan dengan kewangan.

Nanti kita akan bicara bagaimana boleh memastikan keselamatan simpanan emas fizikal kita agar tidak hilang dan dicuri. Kelebihan menyimpan emas fizikal adalah kita menyimpan wang yang sentiasa bertambah di dalamnya. Nilai wang berada di dalam ketulan emas tersebut. Kalau nak simpan emas fizikal, lebih baik jenis goldbar atau ketulan, bukan dalam bentuk barang kemas. Ini kerana harga goldbar lebih stabil dan tidak dipengaruhi oleh caj upah tukang yang boleh naik dari tahun ke tahun.

Emas fizikal juga boleh digunakan untuk cagaran bagi memperoleh pinjaman bank yang menawarkan kemudahan ar-Rahnu. Pinjaman ar-Rahnu mengenakan caj upah simpan yang minimum. Kita boleh tebus semula sehingga 6 bulan dengan membayar wang yang dipinjam dan upah simpan. Menyimpan emas fizikal adalah untuk kemudahan kredit diri sendiri dan bukannya untuk berhutang. 

Perlu bezakan antara meminjam untuk berhutang dengan meminjam untuk mendapatkan kemudahan wang segera. Berhutang dikenakan faedah yang tinggi dan caj pengurusan pinjaman, kemudahan wang segera atau kredit dengan cagaran emas dikenakan caj yang rendah tanpa apa-apa faedah. Jangan mudah terpedaya dengan perangkap hutang yang menjadikan emas sebagai cagaran. Emas fizikal bukan untuk dijadikan tebusan hutang bank. Jika ini niat kita untuk menyimpan emas, akhirnya emas kita akan jatuh ke tangan orang lain. Lambat laun kita juga yang akan rugi.

Memulakan simpanan emas digital

Sebenarnya ada banyak institusi kewangan dan pelaburan yang menawarkan akaun simpanan emas digital. Disini kita hanya fokus kepada MIGA yang ditawarkan oleh Maybank. Kenapa MIGA? Sebab ia boleh membeli emas digital serendah RM10 sahaja tolak terus dari akaun Maybank biasa. Bagi yang sudah ada akaun bank Maybank (MBB) hanya perlu daftar akaun MIGA secara online saja DI SINI

Kita boleh merancang sendiri berapa banyak dan bila kita nak beli emas digital MIGA. Sebab itu salah satu cara untuk menjana wang percuma adalah dengan crypto. Boleh rujuk artikel berkenaan crypto untuk maklumat lanjut. Kumpul beberapa sen sehari atau beberapa ringgit seminggu, boleh mengumpul menjadi RM10 untuk modal percuma membeli emas. Bagi yang tidak kisah guna duit sendiri, setakat RM10 berapa lah sangat, amat dialu-alukan.

Simpanan emas digital untuk masa depan

Prinsip simpanan emas digital sangat mudah, secara dasarnya keuntungannya diperoleh melalui kenaikan nilai dan harga emas pada masa depan. Tujuan menyimpan emas untuk mengekalkan nilai hasil usaha kita. Simpanan wang untuk jangka masa panjang tidak berbaloi, kecuali jika simpanan wang itu dalam bentuk pelaburan modal seperti ASB atau TNG. 

Itupun kalau banyak wang yang disimpan barulah berbaloi simpan wang kerana pulangannya juga akan tinggi. Kalau simpanan sikit lebih baik simpan emas saja. Mesti tau buat perkiraan berapa banyak keuntungan boleh diperoleh, baru kita dapat memilih mana satu lebih untung dengan modal yang ada.

Kesimpulannya

Justeru itu, menyimpan emas ini bukanlah hanya untuk orang kaya saja. Kalau mahu jadi kaya simpanlah emas walaupun dengan cara sedikit demi sedikit. Kerana emas boleh menjadi bank simpanan peribadi kita apabila jumlahnya semakin banyak dan nilai serta harganya semakin meningkat tahun demi tahun. Statistik harga emas boleh rujuk di website Kitco, untuk nilai ringgit boleh tukar sendiri dengan nilai pertukaran semasa USD vs RM, anggaran antara RM4.20 hinggan RM4.50 bagi USD1.

Ahad, 21 Mei 2023

Staking Crypto

 


Bagaimana cara untuk...? 
Menggandakan matawang kripto

Staking Crypto adalah satu kontrak bagi meletakkan komitmen ke atas sejumlah matawang crypto yang dimiliki bagi menyokong aktiviti pengesahan transaksi crypto di dalam rangkaian blockchain. Tidak faham tak mengapa, ia mungkin terlalu kompleks untuk difahami. Cukuplah dengan memahami aktiviti staking ini boleh menggandakan lagi pegangan matawang crypto kita di dalam akaun microwallet seperti Faucetpay. Apa yang penting adalah kita boleh membuat untung sama ada dengan farming, mining dan staking matawang crypto ini.

Bagaimana kita boleh melakukan Staking Crypto? 

Ia hanya boleh dilakukan melalui Crypto Wallet atau Microwallet. Salah satu daripadanya adalah melalui microwallet Faucetpay. Di dalam microwallet ini kita boleh staking untuk matawang crypto yang ditawarkan. Bagi Faucetpay ia menawarkan staking untuk matawang Feyora (Fey). Faucetpay banyak menawarkan simpanan untuk pelbagai jenis matawang crypto. Jika mahu tahu lanjut apa yang ada pada Faucetpay, buka akaun Faucetpay secara percuma hanya dengan menggunakan alamat email. Anda boleh layari sendiri fungsi yang terdapat di dalamnya.

Staking crypto tak seperti faucet crypto, pulangan untungnya hanya boleh diperolehi selepas beberapa bulan. Feyora misalnya mengambil masa 80 hari untuk melengkapkan satu pusingan. Apa yang dilakukan dalam staking adalah meminjam matawang crypto kita bagi menyokong pengesahan transaksi bayaran di dalam rangkaian blockchain. 

Ia sama seperti kita melabur wang saham di dalam bank, kita pinjamkan kepada bank untuk dipinjam pula oleh peminjam yang melabur dalam projek ekonomi. Bank dapat untung dari faedah pinjaman ke atas peminjam dan membayar pulangan kepada kita yang memberikan sejumlah wang pelaburan untuk menyokong aktiviti ekonomi.

Bagaimana buat untung dengan Staking Crypto?

Kita cuma memanfaatkan peluang yang ada dengan staking crypto. Setelah mengetahui bagaimana melakukan staking crypto, hanya memerlukan masa 2-3 minit sahaja untuk menekan butang staking dan tunggu 80 hari atau mengikut kontrak yang ditetapkan. Cuma perlu ada modal di dalam akaun terlebih dahulu dan tidak semestikan menggunakan wang sendiri untuk membeli matawang crypto. Kita boleh dapatkannya dengan percuma secara sambilan setiap hari.

Setelah cukup tempoh staking, pulangan akan diperoleh misalnya jika memiliki 600 Feyora boleh dapat sehingga 50 Feyora. Jumlah seterusnya akan menjadi 650 Fey dan kita staking lagi untuk sesi seterusnya. Jumlah akhirnya akan sentiasa bertambah setiap kali staking dilakukan. Menjana keuntungan seperti ini hanya sekadar menggunakan peluang dan bukannya menjadi penjana pendapatan utama kita kerana pulangannya tidak banyak jika modal matawang crypto yang kita miliki tidak banyak.

Pelan jangka masa panjang untuk staking crypto

Ianya seperti kita melabur wang dalam akaun simpanan dengan fix deposit, menetapkan sejumlah wang untuk digunakan oleh bank bagi tujuan pelaburan dalam tempoh antara 3 sehingga 6 bulan. Justeru, staking crypto adalah pelan pelaburan matawang crypto untuk jangka masa panjang. Pusingan staking untuk 80 hari misalnya akan diulang semula bagi sesi berikutnya.

Penglibatan dalam matawang crypto secara santai dan suka-suka sahaja, jika anda mahu serius pun boleh tetapi kena dalami ilmu lebih lanjut lagi supaya lebih yakin. Jika ditanya kenapa saya tidak mahu serius? Kerana saya mahu fokus dan serius dalam pelaburan emas fizikal. Matawang crypto memerlukan rangkaian elektronik dan ia tidak wujud secara nyata seperti mana emas. Emas boleh dipegang dan disimpan, serta nilainya tidak akan luput sebagaimana wang kertas.

Apa yang dilakukan dengan matawang crypto ini adalah dengan menjana keuntungan seperti staking dan setelah hasilnya nanti lumayan atau banyak akan dipindahkan ke akaun peribadi dan ditukar nilai kepada matawang. Kemudian gunakan pula wang itu untuk membeli emas fizikal dan simpan sendiri.

Kesimpulannya

Apabila kita nampak jalan di mana keuntungan boleh dijana secara percuma walaupun sedikit, rebut saja peluang itu. Jika tidak tahu bagaimana melakukannya, belajar bagaimana melakukannya. Staking crypto adalah salah satu caranya dalam pelaburan matawang crypto ini selain farming atau mining dan juga melalui faucet. Tanpa tekanan, tanpa paksaan, lakukannya secara sukarela dan santai.

Sabtu, 20 Mei 2023

Mulakan dengan Faucetpay

 


Bagiamana cara untuk...? 
Menyimpan pelbagai matawang kripto dalam talian di luar negara

Apakah fungsi Faucetpay?

Faucetpay adalah sejenis ewallet crypto dan lebih dikenali sebagai microwallet kerana sifatnya yang boleh menerima deposit dalam jumlah yang paling minimum hanya beberapa sen sahaja. Antara fungsinya adalah :

  1. Menerima bayaran faucet crypto
  2. Swap atau menukar jenis matawang crypto yang kita kehendaki
  3. Menjana matawang crypto dengan Paid to Click (PTP)
  4. Melakukan staking crypto dengan crypto Feyora 
  5. Menerima deposit masuk daripada ewallet crypto lain
  6. Pengeluaran crypto melalui pindahan ke ewallet tempatan
Kenapa memilih Faucetpay?

Dalam pelaburan matawang crypto sesiapa saja bebas memilih untuk membuka mana-mana akaun yang mereka rasa boleh memberi keuntungan dan selesa digunakan. Ada banyak pilihan akaun ewallet, sekadar menyebut beberapa nama seperti Trust wallet, Binance atau ewallet tempatan Luno Malaysia. 

Sebagai pelabur kecil saya lebih suka menggunakan Faucetpay bagi memudahkan urusan pertukaran crypto di luar Malaysia melalui rangkaian internet sahaja. Manakala akan menggunakan Luno sekiranya melibatkan pemindahan deposit dari luar dan penukaran matawang crypto kepada nilai matawang Ringgit. Seterusnya mengeluarkan wang tersebut dari akaun Luno dengan memindahkannya ke akaun bank tempatan.

Perlu diketahui bahawa setiap pindahan matawang crypto masuk dan keluar antara wallet ke wallet yang lain juga ada dikenakan caj. Tetapi di Faucetpay ada transaksi pindahan yang tidak dikenakan caj. Jika ada pun cajnya tersangatlah murah bebrbanding ewallet yang lain. Itu antara kelebihannya. Caj yang dikenakan dalam bentuk peratusan ditolak dari jumlah crypto yang dipindahkan. 

Segala urusan yang melibatkan fungsi-fungsi Faucetpay di atas sangat mudah jika sudah tahu menggunakannya. Kita hanya perlu ada smartphone dan rangkaian internet saja. Lebih mudah lagi jika ada PC kerana paparannya lebih besar. Setelah ada perkakasan ini perlu ada sedikit masa pula. Takkan tak dapat luangkan masa beberapa minit untuk mengutip faucet, farming dan staking menggunakan Faucetpay. Sama ada mahu atau tidak mahu saja lagi dan tidak berkira sama ada sedikit atau banyak pulangan yang diperoleh. Kerana ini adalah satu pelan jangka masa panjang, bukannya satu skim cepat kaya.

Bagaimana nak buka akaun Faucetpay?

Boleh buka akaun Faucetpay secara percuma sahaja DI SINI dan anda akan melihat paparan antara muka Faucetpay di PC dan smartphone seperti dibawah. 

Paparan PC

Paparan Smartphone

Pendaftaran akaun hanya dengan menggunakan alamat email. Adalah disarankan untuk membuka email berasingan khas untuk semua matawang crypto saja. Kita akan banyak menggunakan email untuk membuka akaun yang melibatkan aktiviti mengutip faucet crypto kelak. 

Bagaimana nak kutip faucet crypto boleh rujuk posting ini

Saya menggunakan Faucetpay semenjak tahun 2019 lagi dan tidak menghadapi masalah dengannya. Berdasarkan pengalaman lepas, jaminan keselamatannya adalah dilindungi dan sistemnya pernah ada cubaan dihack oleh penceroboh berdasarkan amaran yang dikeluarkan oleh pengendali akaun. Segala aktiviti dan akaun dibekukan sementara waktu ketika itu.

Swap crypto

Fungsi yang sangat berguna dan penting di dalam Faucetpay adalah swap atau menukar matawang crypto dengan matawang crypto yang lain. Misalnya dari Bitcoin kepada Litecoin. Perlu diketahui di dalam Faucetpay tidak semua matawang crypto diterima. Tetapi matawang crypto yang ada di dalamnya antara yang sangat popular. Feyora adalah matawang crypto Faucetpay sendiri dan digunakan untuk staking di dalam akaun Faucetpay itu sendiri.

Tidak seperti sesetengah ewallet, Faucetpay memberi khidmat swap secara percuma tanpa caj dengan jumlah tukaran yang sangat minimum. Sesetengah ewallet hanya membenarkan swap dengan jumlah yang dibenarkan saja. Jadi, kita boleh kutip seberapa banyak matawang crypto dalam pelbagai jenis yang ditawarkan sama ada Bitcoin, Litecoin, Ethereum, Dogecoin, Teather, Solana dan lain-lain. Setelah terkumpul di Faucetpay kita boleh swap kepada satu jenis saja crypto utama yang hendak kita kumpul. Misalnya swap kepada Feyora kerana ia boleh dilabur semula dengan staking.

Staking crypto Feyora

Staking adalah seperti satu pelaburan untuk masa depan. Link untuk bacaan lanjut staking crypto. Sebab itu swap crypto lain kepada Feyora supaya boleh melakukan staking. Fokus diberikan kepada crypto Feyora untuk staking dan menjana semula crypto. Justeru, ewallet Faucetpay bukan sekadar untuk menyimpan dan mengumpul matawang crypto saja.

Withdrawal crypto

Setelah melakukan aktiviti membuat untung dan mendapat pulangan yang agak lumayan, perkara yang akan dilakukan sudah tentu membuat pengeluaran sehingga menjadi wang. Urusan ini sangat mudah jika kita tahu bagaimana caranya. Kita perlu ada satu lagi akaun ewallet crypto tempatan yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia, antara yang popular adalah Luno Malaysia. Nak buka akaun juga percuma saja. 

Seperti mana kita memindahkan wang dari akaun bank ke akaun bank yang lain, akaun ewallet crypto juga mempunyai nombor akaun. Tetapi nombor akaunnya lebih rumit dan spesifik. Pemindahan dari akaun Faucetpay adalah hanya dengan memasukkan nombor akaun yang dijana di dalam akaun Luno untuk menerima pindahan crypto dari akaun Faucetpay. Bagaimana nak buka akaun Luno? boleh buka DI SINI.

Bagaimana pula nak tukar matawang crypto di dalam akaun Luno kepada Ringgit Malaysia. Akan dibincangkan dalam posting akan datang. 

Kesimpulannya

Semakin banyak pengetahuan anda tentang matawang crypto ini semakin menyeronokkan, kerana ia boleh ditukar menjadi wang Ringgit dan dipindahkan ke dalam akaun bank sendiri. Itulah bezanya antara orang yang tidak tahu dan orang yang tahu. Orang yang tahu juga tahu bagaimana untuk elak jadi mangsa scammer. Walaupun kita boleh terdedah kepada ancaman scammer tapi jika tak layan dan abaikan saja sebarang tawaran yang tidak munasabah. 


Khamis, 18 Mei 2023

Halatuju Pelaburan Crypto


Bagaimana cara untuk...? 
Memanfaatkan matawang kripto sebagai satu bentuk simpanan wang dan emas

Tak tahu apa itu matawang crypto?

Sama ada dengan bermodalkan wang atau tidak, bergantung kepada kemampuan dan keyakinan masing-masing. Kalau serius dengan pelaburan crypto boleh ikuti kursus atau belajar daripada mereka yang arif tentang pelaburan ini. Walaupun tidak serius sekalipun, tetap perlu ada matlamat dan halatuju yang jelas supaya apa yang kita lakukan tidak sia-sia. Malah lebih menguntungkan tanpa menggunakan modal wang. Cuma perlu luangkan sedikit masa dari semasa ke semasa.

Adakah matawang crypto ini scam?

Kebimbangan paling besar ramai orang tentang matawang crypto ini adalah adakah ia scam, atau satu penipuan dalam talian? Perlu diketahui, menyimpan wang di dalam bank pun boleh hilang disebab oleh pencerobohan scammer berjaya memasuki akaun kita. Kenapa ia boleh terjadi? Kerana helah dan tipu daya scammer untuk memperdayakan kita bagi menyerahkan nombor akaun, nombor telefon, password dan juga kod TAC.

Masalahnya bukan tentang keselamatan sistem itu sendiri, sebaliknya kita tidak berhati-hati dan mudah percaya dengan tawaran dan permintaan daripada orang yang tak dikenali atau mereka yang menyamar dengan menipu identiti mereka. Itu adalah antara ciri-ciri scammer yang mesti diketahui. Perkongsian lanjut tentang scam dan scammer dalam posting lain. Kita akan bincang bagaimana untuk mengelak scam matawang crypto dan terus merebut peluang bagi mendapatkan matawang crypto percuma.

Crypto percuma dengan modal sedikit masa

Dalam bekerja kita akan dapat wang dengan menerima upah dan gaji, maka kita perlu fokus dalam melakukan kerja yang dipertangggungjawabkan. Melabur saham pula untuk menerima pulangan, maka fokus sejumlah wang pelaburan yang banyak bagi mendapatkan pulangan yang lumayan juga.

Dalam pelaburan crypto secara percuma pula tidak ada fokus yang spesifik. Hanya luangkan sedikit masa untuk membuka website dan menekan link faucet, mining, farming dan staking hanya untuk beberapa minit saja. Bagi mengutip faucet, mining dan farming crypto perlu dibuat setiap hari untuk masa yang terluang. Staking pula hanya sekali dalam tempoh beberapa bulan.

Apa itu faucet, mining, farming dan staking crypto? Boleh teruskan bacaan melalui pautan dibawah.

Halatuju pelaburan matawang

Bermain dengan matawang crypto ini perlu ada arah tuju yang jelas. Benda yang tak perlu ada komitmen yang tinggi. Melainkan mahu serius dalam bidang pelaburan crypto, boleh cari maklumat di laman web lain. Website ini cuma berkongsi ilmu jalanan berkaitan kewangan dan pelaburan. Kita buat secara santai saja tanpa perlu risau memikirkan kerugian. Biar untung sedikit demi sedikit, yang penting berterusan.

Kenapa perlu ada halatuju yang jelas walupun tidak serius? Kerana kita mahu perkara yang kecil dan tidak serius ini boleh memberi kesan yang besar dalam jangka masa panjang. Bak kata pepatah "sedikit sedikit lama lama jadi bukit". Hari ini mungkin kita pandang remeh, tapi jika konsisten meluangkan sedikit masa, tanpa sedar lama-kelamaan hasilnya semakin banyak. 

Bukan hanya disebab oleh jumlahnya bertambah, malah kenaikan nilai matawang crypto itu sendiri akan memberi nilai yang tinggi kepada jumlah matawang crypto kita walaupun nampak sedikit.

Apa yang perlu ada dalam pelan rancangan kita :

  1. Kutip faucet crypto dulu dan kumpul. 
  2. Bila dah banyak kita staking crypto pula, labur secara kontrak untuk mendapat pulangan tambahan.
  3. Ulang langkah 1 dan 2.
  4. Bila jumlah simpanan crypto sudah banyak, boleh pindahkan ke akaun Luno Malaysia.
  5. Buat pengeluaran wang tunai dengan menjual crypto di dalam akaun Luno dan pindahkan ke dalam akaun bank peribadi.
  6. Gunakan wang tunai untuk beli emas digital melalui akaun simpanan emas seperti MIGA.
  7. Bila simpanan sudah cukup untuk membeli beberapa gram emas, jual ketika nilai harga emas lebih tinggi daripada harga semasa beli.
  8. Beli emas fizikal dalam bentuk goldbar atau wafer daripada pengeluar yang menawarkan spread harga tinggi (beza harga belian dan jualan) seperti Public Gold Malaysia.
  9. Dengan memiliki emas fizikal sendiri, kita telah membina Bank Simpanan Peribadi sendiri. Apa itu Bank Simpanan Peribadi? Di mana kita boleh meminjam wang daripada wang yang kita simpan di dalam emas kepunyaan diri sendiri.
Kesimpulannya

Terpulang kepada diri sendiri sama ada berminat atau tidak, atau mungkin menganggap hal ini hanya membuang masa saja untuk mendapatkan keuntungan yang sedikit. Walau apa pun, tak perlu meremehkan usaha orang lain. Rezeki masing-masing tidak sama. Tidak salah mencuba untuk mereka yang bergelut dengan masalah sentiasa kurang wang, atau untuk mereka yang mahu mencari sedikit keuntungan tapi konsisten berterusan. Sebab itu perlu ada matlamat dan halatuju yang jelas, supaya tidak mudah putus asa dan sekerat jalan. Apabila mendengar ada orang yang berjaya hanya dengan mengumpul matawang crypto percuma, baru lah mahu percaya. Pilihan ditangan sendiri. Kita cuba berusaha lakukan yang terbaik.


Rabu, 17 Mei 2023

Faucet Crypto



Bagaimana cara untuk...?
Mengumpul matawang kripto sedikit demi sedikit secara percuma

Apa itu faucet crypto?

Faucet crypto adalah satu istilah matawang crypto yang keluar seperti titisan air paip dari sumber-sumber tertentu. Ia juga bermaksud aktiviti mengutip matawang crypto menggunakan henpon atau PC yang mempunyai rangkaian internet secara sedikit demi sedikit. Banyak website yang menawarkan faucet crypto, kita hanya perlu membuka link iklan yang diberikan  untuk tempoh beberapa minit. 

Namun begitu, disarankan untuk lebih berhati-hati dengan iklan yang diberikan, ada juga antara iklan tersebut adalah scam. Selagi tidak melakukan apa-apa transaksi pemindahan wang kita akan selamat. Lebih baik tonton saja dan jangan buat apa-apa, cukup untuk kutip matawang crypto saja.

Sikit sikit lama lama jadi bukit

Jangan terlalu berharap untuk cepat kaya dengan faucet crypto. Awal diperingatkan bahawa kutipan ini hanya boleh dapat beberapa sen saja sehari. Jika rajin boleh dapat sehinggan RM1 sehari. Walaupun jumlah kutipannya sedikit, ia boleh dikumpul dan digandakan lagi dengan crypto staking. Staking crypto adalah satu kontrak bagi meletakkan komitmen ke atas sejumlah matawang crypto bagi menyokong aktiviti pengesahan transaksi crypto di dalam rangkaian blockchain untuk tempoh beberapa bulan.

Antara kaedah yang boleh digunakan untuk mengumpul lebih banyak faucet adalah dengan membuka lebih banyak saluran kutipan faucet. Terokai website yang menawarkannya dan mudah untuk dikutip. Ciri-ciri mudah itu adalah faucet yang dikutip terus masuk ke dalam akaun microwallet seperti Faucetpay. 

Website faucet hanya meminta email yang berdaftar dengan faucetpay kita. Kemudian kita terus dapat mengutip faucet setiap selang beberapa minit atau jam. Sebaiknya cari faucet yang dapat dikutip selang antara 1 hingga 15 minit.

Sumber aliran faucet crypto

Berikut adalah antara link faucet crypto yang boleh dipercayai dan mudah digunakan :

  1. Faucet Crypto
  2. Wheel of Gold
  3. Bitcoin Cash Giveaway - install apps android smartphone
  4. Litecoin Giveaway - install apps android smartphone
  5. A-Crypto
  6. StarBits
Ada banyak lagi link website faucet tetapi tak semuanya bagus, yang disarankan ini adalah antara yang terbaik dan mudah untuk membuat kutipan. Senarai link ini akan bertambah dari semasa ke semasa. Sebelum menyarankan untuk mengutip faucet dari website tertentu, saya akan membuat kajian dan pemerhatian terlebih dahulu. Adakah ia memenuhi kriteria yang diperlukan, mudah dan selamat.

Selasa, 16 Mei 2023

Matawang Crypto

Kenali apa itu matawang crypto

Sebelum pergi lebih jauh lagi dalam penggunaan matawang crypto, mesti tahu asas mengenainya. Walaupun tak banyak, sedikit pun memadai supaya tidak buta ilmu matawang crypto. Masih ramai yang tidak tahu apa itu matawang crypto. Secara ringkasnya matawang crypto adalah matawang dalam talian yang dicipta bagi memudahkan urusan pembayaran tanpa kawalan bank pusat seperti Bank Negara. 

Penggunaan matawang crypto tidak seperti matawang yang kita guna untuk membeli barang di pasaraya atau kita simpan di dalam akaun bank. Ia tidak wujud secara fizikal, ia wujud dalam bentuk bit aliran arus elektronik. Matawang crypto digunakan secara kontrak dalam talian dan bergerak melalui teknologi Blockchain. Sejumlah matawang crypto ditawarkan di dalam pasaran dan diedarkan untuk digunakan dan disimpan di dalam crypto wallet pengguna.

Penggunaan dan pengedaran

Beberapa cara pengedaran matawang crypto dilakukan, antaranya adalah crypto farming, crypto mining, faucet crypto dan crypto staking. Crypto mining menggunakan mesin elektronik khas, crypto farming adalah sewaan ke atas mesin, faucet crypto mengutip sedikit demi sedikit matawang crypto dan crypto staking adalah memberi kontrak ke atas pemilikan matawang crypto. Tentu ada pertanyaan apa faedah atau keuntungan yang diperoleh daripada matawang crypto ini.

Penciptaan matawang crypto ini adalah hasil inovasi penggunaan teknologi maklumat. Mislnya, banyak pemain industri seperti hiburan mengeluh dengan cara pembayaran yang tidak cekap dan menyeleweng. Ia tidak telus sehingga mereka mengalami kerugian. Hasil ciptaan seperti lagu mereka tidak dibayar dengan sewajarnya kerana masalah kawalan pusat dan pihak tertentu ke atas kaedah pembayaran.

Walaupun kedengarannya seperti terlalu rumit dan sangat kompleks, tak perlu memikirkannya terlalu mendalam. Cukup saja kita tahu bahawa dengan matawang crypto boleh menghasilkan keuntungan sama seperti wang. Cuma kita perlu tahu bagaimana caranya dan apakah perkakasan yang diperlukan.

Rebut peluang depan mata

Bagi kita sebagai orang biasa, tak kisah lah apa tujuan matawang crypto ini dicipta dan siapa yang menggunakannya. Apa yang penting boleh merebut peluang dengan membuat keuntungan daripada matawang crypto ini. Apa yang lebih penting sekarang adalah industri perbankan juga sudah mula menggunakan matawang crypto ini. Jika sebelum ini kita biasa dengar Bitcoin, Litecoin dan Dogecoin. 

Ini bermakna masa depan matawang crypto akan lebih baik dan berkembang maju. Sejajar dengan itu, kerajaan Amerika Syarikat turut memperkenalkan matawang crypto mereka sendiri iaitu Tether TRC20 atau USDT, manakala kerajaan China pula memperkenalkan Yuan digital. Semua ini dilakukan bagi memecah penguasaan Bitcoin dan lain-lain dalam pasaran matawang crypto dunia. Akibatnya, nilai harga Bitcoin dan lain-lain matawang crypto mulai jatuh dan menjadi lebih stabil.

Apa untungnya

Kita sudah biasa menggunakan wang dan keuntungannya dapat membeli barang dan mengumpul harta. Crypto tidak seperti wang, di Malaysia pemain matawang crypto ini belum ramai lagi dan Bank Negara mengkategorikan matawang crypto sebagai aset sama seperti emas. Membeli atau memiliki matawang crypto hanya sebagai aset dan tidak dijualbeli secara terbuka. Sebaliknya ditawarkan pembeliannya melalui syarikat yang diberi lesen seperti LUNO Malaysia.

Apabila dikategori sebagai aset bermakna ia adalah satu bentuk pelaburan seperti mana emas. Naik turun harga matawang crypto mengikut pasaran dunia. Justeru, keuntungan diperoleh apabila kita membeli ketika harga rendah dan dapat pulangan apabila menjualnya pada harga tinggi. Semua transaksi jualbeli ini kita boleh lakukan di akaun crypto seperti LUNO. 

Disebabkan sekarang turun naik harga pasaran matawang crypto mulai stabil dan lambat naik, keuntungannya hanya boleh dikaut untuk jangka masa panjang. Tak sesuai untuk pelabur yang aktif untuk jualbeli. Kita juga boleh membeli matawang crypto ini di Luno, sebelum itu buka dulu akaun Luno DI SINI. Sekiranya tidak mahu beli, gunakan saja dulu akaun Luno ini sebagai simpanan matawang crypto yang kita boleh peroleh secara percuma dengan mengutip 'faucet'.

Apabila peroleh secara percuma maknanya dapat untung bersih tanpa modal untuk jualbeli bagi kaut untung pada harga tinggi. Namun begitu faucet crypto ini pulangannya tidak tinggi dan tidak dapat untung dalam sekelip mata. Ia ibarat menyimpan beberapa sen setiap hari dan bila dikumpul ia semakin banyak. Tetapi kita boleh perluaskan lagi cara mendapatkannya dengan mining, farming dan staking.

Kesimpulannya

Jika kita masih baru lagi dalam bidang matawang crypto ini, lebih baik dapatkannya secara percuma melalui faucet. Kumpul sedikit demi sedikit dan gunakan hasilnya untuk menambah pelaburan yang lain pula. Bagi memulakan langkah ini buka akaun crypto Luno terlebih dahulu, ianya percuma. Kemudian buka akaun microwallet Faucetpay secara percuma juga. Faucetpay ni akan digunakan untuk kumpul kutipan faucet. Bagaimana cara kutip faucet crypto, farming, mining dan staking, akan dikongsikan dalam posting berikutnya (kemaskini dalam bacaan lanjut).

Baca lanjut...

Isnin, 15 Mei 2023

Menyimpan daripada RM Sifar


Bagaimana cara untuk...?
Bermula menyimpan wang daripada RM sifar

Ini bukanlah satu nasihat kewangan, ini cuma satu perkongsian ilmu dan pengalaman. Sebelum mengikuti apa yang disarankan, anda dikehendaki melakukan 'homework' terlebih dahulu. 

Apa yang dikongsikan ini adalah daripada apa yang telah diteliti, dikaji dan dilakukan sepanjang 10 tahun lepas. Ia tidak berlaku hanya dalam satu malam. Banyak pengajaran untuk diri sendiri telah dilalui dengan beberapa kesilapan yang tidak disengajakan.

Namun, segala pengajaran dan pengalaman itu telah menjadi satu teladan bagaimana untuk menyusun semula langkah agar tidak lagi sumbang dan silap dalam membuat percaturan. Persoalan untuk artikel 'Amalan Bijak Wang' kali ini adalah 'Adakah menyimpan bermula daripada RM sifar itu sesuatu yang mustahil?'

Tips permulaan menyimpan daripada RM Sifar

Disini tidak ada anasir yang melanggar sebarang undang-undang, semuanya mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan. 

Tips ini adalah untuk mereka yang mungkin berjuang dengan masalah kewangan, mungkin juga untuk mencari pendapatan tambahan, mungkin juga sekadar suka-suka merebut peluang yang ada bagi meperbaiki kedudukan kewangan. Apakah tips-tips itu?

  • Pengetahuan tentang wang crypto
  • Pengetahuan tentang ilmu simpanan emas
  • Penggunaan e-wallet dengan ciri-ciri khas
  • Penggunaan microwallet crypto
Tipsnya adalah anda perlu tahu tentang ilmu di atas. Tips secara lanjut akan dibicarakan di posting seterusnya, untuk post ini hanya pengetahuan umum yang asas saja dikongsikan.

Wang Crypto

Apa itu matawang crypto? Di Malaysia, wang crypto dikategorikan sebagai aset dan bukannya matawang. Diluar negara perkembangan wang crypto sangat pesat bagi memudahkan urusniaga tanpa kawalan pusat seperti Bank Negara. 

Walaubagaimanapun, kita masih boleh melabur untuk wang Crypto di Malaysia melalui beberapa syarikat pelaburan yang diiktiraf oleh BNM seperti Luno. Pendaftaran akaun crypto LUNO Malaysia adalah percuma tanpa deposit. Apabila sudah membuka akaun Luno apa perlu kita buat? Jadikan ia sebagai wallet simpanan matawang crypto. Pendaftaran boleh dibuat DI SINI

Bagaimana pula hendak memperoleh wang crypto secara percuma? Kita perlu tahu bahawa internet telah memudahkan sektor pengiklanan dalam talian dan setiap tontonan iklan ini adalah berbayar. Salah satu cara pembayaran yang mudah adalah menggunakan matawang crypto. Ini akan dibincangkan lanjut di dalam posting akan datang.

Microwallet Crypto

Mungkin ada yang sudah tahu apa itu E-wallet seperti Boost, TouchnGo (TNG), Shoppe dan sebagainya. Ia bukan saja tempat menyimpan wang untuk membeli belah tanpa perlu membayar secara tunai, malah juga untuk mendapatkan manfaat lain seperti ganjaran coin, poin, voucher, diskaun, cashback dan sebagainya.

Begitu juga keadaanya dengan microwallet, kenapa disebut micro adalah kerana matawang crypto yang diberi secara percuma nilainya tidak besar dan ia boleh dijana sedikit demi sedikit. Microwallet menjadi pilihan utama kepada pengiklan-pengiklan dalam talian. Hanya tonton iklan saja atau buka link iklan dalam tempoh tertentu dan secara automatik bayaran crypto terus masuk ke dalam microwallet kita.

Antara microwallet crypto yang popular dan sudah bertapak lama serta boleh dipercayai adalah Faucet Pay. Faucet Pay banyak digunakan untuk membayar faucet crypto oleh pengiklan pengiklan dalam talian untuk membuat bayaran kerana ciri-ciri keselamatan yang dimilikinya dan diselenggara dengan baik oleh pengendalinya. Apa itu Faucet Crypto?

Anda boleh daftar akaun microwallet FaucetPay ini secara percuma DI SINI. Hanya daftar menggunakan email atau Gmail anda, adalah disarankan untuk mewujudkan Gmail khas untuk tujuan menjana matawang crypto sahaja. Apa yang perlu anda lakukan untuk mula menjana matawang crypto secara percuma adalah dengan melayari laman web yang menawarkan iklan berbayar dengan crypto. Ini akan dibincangkan dalam posting akan datang.

Akaun simpanan emas

Di Malaysia, antara jenis akaun emas yang popular adalah Public Gold dan Maybank Investment Gold Acount (MIGA). Public Gold memerlukan 1g emas untuk mengaktifkan akaun, manakala MIGA boleh dibuka dengan menggunakan akaun Maybank sedia ada sekiranya anda mempunyai akaun Maybank. Jumlah minimum untuk buka akaun MIGA hanya RM10 saja. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut dan daftar akaun MIGA DI SINI.

Bagaimana nak dapatkan wang percuma dengan akaun simpanan emas? Ia adalah dengan membeli emas serendah RM10 di MIGA. Apabila harga emas naik bermakna nilai simpanan akaun emas anda juga naik, sebagai contoh naik menjadi RM12. Semakin banyak jumlah simpanan emas anda, semakin tinggi kenaikan nilai simpanan akaun emas anda.

Konsep simpanan emas Public Gold dan MIGA ini adalah pelaburan wang secara jual beli emas. Beli ketika harga emas rendah dan jual balik apabila harganya tinggi. Sebaiknya simpanan dan pembelian emas ini adalah untuk jangka masa panjang, kerana rekod menunjukkan nilai dan harga emas akan terus naik dalam jangka masa panjang.

Akaun E-wallet

Antara e-wallet yang popular di Malaysia adalah Shoppe dan TouchnGo (TNG). Ramai yang menganggap Shoppe ini adalah akaun untuk membeli belah semata-mata. Sebenarnya Shoppe adalah sejenis ewallet dengan kemudahan membeli-belah. Kita juga boleh menjual di dalam Shoppe dengan mendaftar sebagai peniaga Shoppe. Antara kelebihan Shoppe yang boleh menghasilkan wang adalah melalui kutipan Coin, sama ada dengan log in Shoppe setiap hari atau membeli melalui Shoppe.

Banyak penjimatan dapat dibuat apabila melakukan pembelian di Shoppe, sama ada melalui tawaran jualan mega setiap bulan, voucher pembelian, cashback, free shipping. Berdasarkan kiraan kasar penjimatannya sehingga 70% lebih murah daripada harga di pasaran tempatan untuk barang yang sama. Shoppe turut menawarkan pembelian dahulu dan bayar kemudian, kadar faedahnya sangat rendah dan memberi peluang untuk kita melakukan penjimatan pembelian yang lebih banyak.

TNG juga merupakan ewallet yang sangat popular untuk pembayaran tanpa tunai di kaunter. Tawaran cashback untuk kedai terpilih, dan yang lebih menarik adalah simpanan wang di dalam TNG menawarkan pulangan harian sehingga 3.5%. Lebih banyak simpanan di dalam TNG lebih tinggi pulangannya. Justeru, sebelum apa-apa pembayaran dibuat menggunakan ewallet TNG kita sudah mendapat pulangan harian daripadanya.

TNG dan Shoppe antara ewallet yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi dan tidak perlu risau dengannya. Malah TNG juga mempunyai link dengan bank-bank popular seperti RHB dan Maybank. Bermakna, jika kita mahu berbelanja sambil mendapat pulangan harian, pindahkan wang dari akaun bank ke ewallet TNG dan lakukan pembayaran tanpa tunai di kaunter yang menerima pembayaran ewallet TNG.

Download apps di henfon anda dan daftar akaun ewallet TNG DI SINI

Menyimpan bermula daripada sifar

Untuk lebih mudah difahami bagaimana boleh menyimpan bermula daripada sifar, ia bermula dengan membuka akaun microwallet crypto FaucetPay secara percuma. Bagi mendapatkan matawang crypto secara percuma tonton iklan dan ianya ada di dalam akaun FaucetPay itu sendiri (option faucet list). Kumpul matawang crypto sebanyak mungkin, swap atau convert matawang crypto yang ada pada Luno.

Perlu buka akaun Luno juga supaya transfer matawang crypto dapat dilakukan ke dalam akaun crypto yang diiktiraf di dalam negara. Melalui akaun Luno inilah kita boleh jual matawang crypto terpilih bagi mendapatkan wang tunai. Wang ini boleh dikeluarkan dari akaun Luno ke akaun bank kita sendiri. Di dalam akaun bank peribadi seperti Maybank kita buka pula akaun simpanan emas dan nilai wang simpanannya akan naik apabila harga emas naik. 

Kita juga boleh pindahkan wang di dalam bank peribadi ini ke dalam akaun ewallet TNG dan simpan bagi mendapat pulangan 3.5% setiap hari. Begitulah laluannya bagaimana kita boleh dapatkan wang percuma bermula dengan RM sifar. Bak kata pepatah inggeris 'Knowledge is Power'. Apabila kita mempunyai pengetahuan tentang sesuatu cara bagaimana menghasilkan wang, ia akan menjadi kuasa yang boleh menjana wang bermula dari tiada kepada ada.

Ahad, 14 Mei 2023

Tabah Satu Tabiat

Secara umumnya tabah adalah satu perasaan redha atau rela menerima sesuatu kejadian dengan tenang hati serta sabar menghadapinya. Menganggap ia sebagai satu ujian dan cabaran hidup. Ini lebih kepada bentuk tindak balas defensif.

Namun, dari sudut psikologi tabah adalah satu perasaan yang kental, tidak mudah sedih ataupun terlalu selesa. Tidak akan mudah untuk duduk diam dengan sesuatu keadaan. Baik ketika senang atau susah akan sentiasa bertindak balas secara proaktif.

Ketabahan Orang Berjaya

Orang yang mahu berjaya tidak akan berdiam diri dan pasrah menerima apa yang terjadi. Mereka anggap apa yang terjadi itu sebagai amaran awal tentang akibat yang berlaku sekiranya tidak berbuat apa apa. Ketabahan mereka dalam berusaha untuk melakukan sesuatu yang boleh membawa kebaikan dan memperbaiki kelemahan. 

Bukan hanya ketika berdepan dengan kesusahan saja perlu tabah. Ketika senang dan selesa sekalipun masih lagi sabar dan tenang melakukan sesuatu untuk kebaikan yang berterusan. Ketabahan seperti ini akan membentuk diri menjadi seorang yang tekun, tak mudah putus asa, rasa selesa, terasa hati, tak mudah kecewa dan sedih. 

Sebaliknya, menerima segala apa yang terjadi sebagai satu peringatan dan pengajaran. Lalu bertindak terus tanpa membuang masa lagi untuk memperbaiki dan mempersiap diri dengan tekun. Orang yang tabah sentiasa memandang ke hadapan tetapi tidak mudah lupa kepada masa lalu. Orang yang tabah juga tidak akan menyimpan dendam dan rasa kesal dengan masa lalu, sebaliknya sedia memaafkan dan bersedia untuk berubah memperbaiki keadaan.

Tabah disertai dengan tekun

Tabah tanpa bertindak tidak dapat menyelesaikan masalah. Bila ditimpa bencana tetap tabah menghadapinya dan sabar melaluinya. Apa yang perlu dilakukan bukan hanya perlu sabar menahan rasa sedih dan kecewa atau putus asa. Yang paling utama adalah disertai dengan sikap tekun untuk bertindak memperbaiki keadaan.

Apabila berdepan dengan kematian seseorang, jangan hanya sekadar bersedih dan memberi kata semangat untuk tabah menghadapi dugaan itu. Ambil iktibar daripada apa yang telah berlaku. Apa yang baik jadikan teladan, apa yang buruk juga perlu diambil pengajaran. Supaya tidak mengikutinya atau mengulangi kesilapan dan kesalahan yang sama. Belajarlah sesuatu daripadanya.

Tabah dengan kehidupan bermakna ambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang berlaku. Kenapa ada orang yang ditimpa bencana mengalami musibah. Ada juga yang ditimpa bencana terselamat. Perlu melihat apa puncanya ditimpakan musibah dan bagaimana seseorang itu boleh terselamat. Disitu ada hikmah yang tersembunyi, tidak ada yang kebetulan. Setiap kejadian prinsipnya mesti ada sebab.

Dari situlah perlu menekuni perkara yang boleh dipelajari. Kemudian berusaha memperbaiki diri dan mempersiapkan diri. Itulah erti ketabahan yang sebenar. Tekun untuk mengambil iktibar dan bersungguh-sungguh melakukan perubahan yang boleh mencegah diri daripada musibah bencana.

Bencana itu adalah ujian, apabila sudah bersedia bencana itu dapat dihadapi tanpa musibah menimpa diri. Dari awal lagi sudah tabah dan tekun menghadapinya. Bukan sesudah berlaku bencana dan ditimpa musibah baru nak tabah dan sabar.

Bina Sikap Tabah dan Tekun

Sikap tabah dan tekun dari awal lagi dapat dibina melalui minda atau cara berfikir. 

  1. Memiliki tujuan yang nekad
  2. Keinginan yang jitu
  3. Percaya kepada diri sendiri
  4. Mempunyai perancangan yang jelas
  5. Memiliki pengetahuan yang tepat
  6. Bersedia untuk bekerjasama
  7. Mempunyai keazaman yang kuat
  8. Tabah dan tekun menjadi satu tabiat 
Kita mesti tahu apa tujuan hidup, hasrat dalam setiap perkara yang mahu diusahakan. Barulah akan bersungguh-sungguh melakukan dengan tabah sehingga berjaya.

Keinginan yang jitu untuk berusaha secara berterusan dan tak mudah putus asa. Tak mudah patah semangat kerana sudah nampak apa hasilnya jika keinginan itu berjaya diusahakan dengan tabah.

Percaya kepada diri sendiri bermakna tahu apa yang dibuat itu adalah betul dan berguna untuk diri suatu masa kelak. Siapa yang mahu peduli pada diri bila ditimpa kesusahan? Orang lain mungkin cuma mampu bertanya khabar dan memberi kata semangat. Tetapi belum tentu dapat bantu selesaikan masalah peribadi.

Maka itulah perlu ada perancangan yang jelas. Dari awal lagi sudah nampak apa kemungkinan yang akan berlaku. Lebih mudah selesaikan masalah apabila sudah ada persediaan awal. 

Perancangan yang dibuat berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sendiri dan kisah hidup orang lain. Tabah dan tekun untuk terus mengambil iktibar dan pengajaran secara berterusan.

Bekerjasama bila ada perasaan simpati dan saling tolong menolong supaya beroleh manfaat bersama. Tak semua perkara boleh buat sendiri, nak selamat juga mesti ada orang lain yang menolong.

Keazaman yang kuat bermakna fokus. Menumpukan fikiran dan tenaga untuk melakukan langkah demi langkah dalam rancangan yang telah disusun. Jangan mudah hilang fokus terpengaruh dengan anasir lain yang merosakkan rancangan.

Akhir sekali jadikan tabah dan tekun itu sebagai satu tabiat. Tabiat yang sudah terpahat di dalam hati dan jiwa. Menjadi satu tabiat apabila pengalaman itu akhirnya menjadi satu rutin harian yang dapat meneroka pengetahuan baru.

Isnin, 1 Mei 2023

Bank Simpanan Peribadi Emas


Bagaiamana cara untuk...?
Membina bank simpanan wang peribadi sendiri

Seperti mana bank sebenar yang menjadi tempat menyimpan wang, membuat wang dan meminjam wang, bank simpanan peribadi ini juga mempunyai ciri-ciri yang sama. Bagaimana ini boleh dilakukan? Ia akan dilakukan dengan menggunakan emas. Bank simpanan peribadi ini akan menyimpan emas sedikit demi sedikit dan secara berterusan. Supaya dapat menyimpan sebanyak mungkin jumlah emas di dalamnya.

Secara dasarnya, simpanan emas ini akan menggunakan akaun emas dan dikeluarkan dari akaun menjadi emas fizikal apabila jumlahnya mencukupi sama ada 5g dan 10g. Kenapa 5g dan 10g, bukannya 50g atau 100g? Kerana ia tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan. Ia akan lebih mudah dimanfaatkan bagi tujuan mendapatkan pinjaman kewangan dalam jumlah yang tidak terlalu sedikit dan tidak terlalu banyak. Kalau nak pinjam banyak, perlu juga ada banyak emas fizikal 5g dan 10g. Adalah lebih mudah membuat pinjaman secara berperingkat sekiranya emas fizikal 5g dan 10g digunakan, dan ia akan meringankan beban pembayaran.

Kenapa emas

Emas adalah wang yang sebenar, ia menyimpan nilai wang di dalamnya. Apabila wang musnah sekalipun di seluruh dunia, emas tetap kekal dengan nilainya sendiri. Wang kertas itu hanyalah pinjaman dan tidak menyimpan nilai secara kekal. Jika wang kertas koyak atau terbakar maka ia tak akan bernilai lagi dan tidak dapat diterima sebagai wang. Emas sifatnya tidak akan musnah, ia hanya akan lebur jika terbakar dan boleh dibentuk semula. Walau bagaimana sekalipun rupa bentuknya, emas masih tetap bernilai dan menyimpan nilai secara kekal.

Maka itulah, emas menjadi satu bentuk simpanan peribadi yang utama dalam sistem kewangan, dan boleh berfungsi sebagai bank simpanan peribadi yang kukuh. Selain nilainya kukuh, harga emas juga stabil. Walaupun ada kalanya harga emas jatuh tetapi dalam jangka masa panjang harganya terus meningkat sedikit demi sedikit. Namun begitu, jangan menyimpan emas untuk bermain dengan harga bagi mengaut keuntungan, sebaliknya belilah emas pada harga rendah dan menjualnya pada harga tinggi jika ada keperluan kecemasan.

Tinggi atau rendah sekalipun harga emas, kita perlu tetap membelinya sedikit demi sedikit dan kemudian menukarnya menjadi emas fizikal. Ia akan disimpan secara kekal dan akan menjadi dana untuk pinjaman kewangan tanpa riba dari institusi perbankan Islam ar-Rahnu. 

Meminjam wang sendiri dengan cagaran emas

Bagaimana ini boleh dilakukan? Apabila kita memiliki emas 10g misalnya, kita telah pun menyimpan wang di dalam emas tersebut dengan nilai semasa RM2700 misalnya. Apabila ada keperluan wang untuk kecemasan, jadikan emas sebagai cagaran tanpa perlu menjualnya. Apa yang boleh kita buat adalah pergi ke bank yang menawarkan pinjaman ar-Rahnu.

Dengan mencagarkan emas dan pinjaman diberi mengikut nilai semasa emas, upah simpan akan dikenakan selama ia disimpan di bank sebagai cagaran. Emas tersebut boleh ditebus semula dengan membayar balik pinjaman dan membayar upah simpan yang dikenakan. Hakikatnya, kita sebenarnya meminjam wang sendiri yang disimpan di dalam emas tersebut. Tetapi untuk mendapatkan wang pinjaman tersebut kita perlu pergi ke bank ar-Rahnu untuk dicagarkan.

Prinsip cagaran emas ini adalah ia sebagai tebusan untuk mendapatkan pinjaman. Jika gagal membayar wang tebusan dan pinjaman maka bank berhak mengambil hak milik emas tersebut dari pegangan kita.

Memperkukuhkan bank simpanan peribadi

Bagimana nak perkukuhkan bank simpanan peribadi? Perbanyakkan simpanan emas dengan menyimpannya sedikit demi sedikit. Bermula dengan simpanan virtual atau membeli emas dalam bentuk angka, kemudian dikeluarkan secara fizikal untuk disimpan sendiri di rumah. Apabila memerlukan wang tunai, emas itu dicagarkan di bank ar-Rahnu tanpa perlu menjualnya.

Mungkin kita boleh menyimpan emas dengan membeli sebanyak RM50 sebulan atau RM100 sebulan. Jika ada lebih banyak wang boleh beli 1g setiap bulan. Dalam masa 10 bulan boleh keluarkan menjadi emas fizikal 10g. Kepentingan emas fizikal perlu ada di tangan adalah bagi memudahkan pinjaman kewangan dilakukan dan melaksanakan program pelaburan kewangan bagi menghasilkan wang.

Punca kewangan untuk simpanan emas setiap bulan tidak hanya daripada gaji bulanan semata-mata. Ia juga perlu daripada punca pendapatan lain. Bergantung kepada kemampuan masing-masing. Sebagai contoh dengan menetapkan kadar 10% daripadanya wajib digunakan untuk menyimpan atau membeli emas. Jika punca pendapatan lain itu diterima dalam jumlah yang banyak, lebih daripada 10% pun boleh sekiranya tidak ada komitmen lain diperlukan dengan wang tersebut. 

Menyimpan bermula daripada sifar pun boleh, yang penting mesti tahu bagaimana cara melakukannya.

Bermula dari sekarang

Apa jua keadaan yang kita hadapi sekarang, usaha menyimpan emas perlu dilakukan sekarang juga. Kesedaran ini perlu bermula dari peringkat usia yang lebih muda lagi, ketika belum banyak komitmen kewangan. Apa yang dimaksudkan adalah kemampuan menyimpan wang itu ada dan pengetahuan berkaitan hutang itu juga mesti ada. Kerana hutang itu sebenarnya akan mengurangkan lebih 2 kali ganda daripada kemampuan kewangan kita.

Sebaliknya, kesedaran menyimpan wang untuk membeli dan menyimpan emas akan menggandakan kemampuan kewangan kita lebih daripada 2 kali ganda. Ini bukanlah satu retorik, kita sendiri perlu melakukan "homework" bagi memastikan kebenaran ini. Saya sekadar berkongsi berdasarkan pengalaman. Adalah terlalu lambat untuk sedar ketika usia sudah masuk 40 tahun, tetapi bak kata mat saleh "BETTER LATE THAN NEVER".