Membina bank simpanan wang peribadi sendiri
Seperti mana bank sebenar yang menjadi tempat menyimpan wang, membuat wang dan meminjam wang, bank simpanan peribadi ini juga mempunyai ciri-ciri yang sama. Bagaimana ini boleh dilakukan? Ia akan dilakukan dengan menggunakan emas. Bank simpanan peribadi ini akan menyimpan emas sedikit demi sedikit dan secara berterusan. Supaya dapat menyimpan sebanyak mungkin jumlah emas di dalamnya.
Secara dasarnya, simpanan emas ini akan menggunakan akaun emas dan dikeluarkan dari akaun menjadi emas fizikal apabila jumlahnya mencukupi sama ada 5g dan 10g. Kenapa 5g dan 10g, bukannya 50g atau 100g? Kerana ia tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan. Ia akan lebih mudah dimanfaatkan bagi tujuan mendapatkan pinjaman kewangan dalam jumlah yang tidak terlalu sedikit dan tidak terlalu banyak. Kalau nak pinjam banyak, perlu juga ada banyak emas fizikal 5g dan 10g. Adalah lebih mudah membuat pinjaman secara berperingkat sekiranya emas fizikal 5g dan 10g digunakan, dan ia akan meringankan beban pembayaran.
Kenapa emas
Emas adalah wang yang sebenar, ia menyimpan nilai wang di dalamnya. Apabila wang musnah sekalipun di seluruh dunia, emas tetap kekal dengan nilainya sendiri. Wang kertas itu hanyalah pinjaman dan tidak menyimpan nilai secara kekal. Jika wang kertas koyak atau terbakar maka ia tak akan bernilai lagi dan tidak dapat diterima sebagai wang. Emas sifatnya tidak akan musnah, ia hanya akan lebur jika terbakar dan boleh dibentuk semula. Walau bagaimana sekalipun rupa bentuknya, emas masih tetap bernilai dan menyimpan nilai secara kekal.Maka itulah, emas menjadi satu bentuk simpanan peribadi yang utama dalam sistem kewangan, dan boleh berfungsi sebagai bank simpanan peribadi yang kukuh. Selain nilainya kukuh, harga emas juga stabil. Walaupun ada kalanya harga emas jatuh tetapi dalam jangka masa panjang harganya terus meningkat sedikit demi sedikit. Namun begitu, jangan menyimpan emas untuk bermain dengan harga bagi mengaut keuntungan, sebaliknya belilah emas pada harga rendah dan menjualnya pada harga tinggi jika ada keperluan kecemasan.
Tinggi atau rendah sekalipun harga emas, kita perlu tetap membelinya sedikit demi sedikit dan kemudian menukarnya menjadi emas fizikal. Ia akan disimpan secara kekal dan akan menjadi dana untuk pinjaman kewangan tanpa riba dari institusi perbankan Islam ar-Rahnu.
Meminjam wang sendiri dengan cagaran emas
Bagaimana ini boleh dilakukan? Apabila kita memiliki emas 10g misalnya, kita telah pun menyimpan wang di dalam emas tersebut dengan nilai semasa RM2700 misalnya. Apabila ada keperluan wang untuk kecemasan, jadikan emas sebagai cagaran tanpa perlu menjualnya. Apa yang boleh kita buat adalah pergi ke bank yang menawarkan pinjaman ar-Rahnu.
Dengan mencagarkan emas dan pinjaman diberi mengikut nilai semasa emas, upah simpan akan dikenakan selama ia disimpan di bank sebagai cagaran. Emas tersebut boleh ditebus semula dengan membayar balik pinjaman dan membayar upah simpan yang dikenakan. Hakikatnya, kita sebenarnya meminjam wang sendiri yang disimpan di dalam emas tersebut. Tetapi untuk mendapatkan wang pinjaman tersebut kita perlu pergi ke bank ar-Rahnu untuk dicagarkan.
Prinsip cagaran emas ini adalah ia sebagai tebusan untuk mendapatkan pinjaman. Jika gagal membayar wang tebusan dan pinjaman maka bank berhak mengambil hak milik emas tersebut dari pegangan kita.
Memperkukuhkan bank simpanan peribadi
Bagimana nak perkukuhkan bank simpanan peribadi? Perbanyakkan simpanan emas dengan menyimpannya sedikit demi sedikit. Bermula dengan simpanan virtual atau membeli emas dalam bentuk angka, kemudian dikeluarkan secara fizikal untuk disimpan sendiri di rumah. Apabila memerlukan wang tunai, emas itu dicagarkan di bank ar-Rahnu tanpa perlu menjualnya.
Mungkin kita boleh menyimpan emas dengan membeli sebanyak RM50 sebulan atau RM100 sebulan. Jika ada lebih banyak wang boleh beli 1g setiap bulan. Dalam masa 10 bulan boleh keluarkan menjadi emas fizikal 10g. Kepentingan emas fizikal perlu ada di tangan adalah bagi memudahkan pinjaman kewangan dilakukan dan melaksanakan program pelaburan kewangan bagi menghasilkan wang.
Punca kewangan untuk simpanan emas setiap bulan tidak hanya daripada gaji bulanan semata-mata. Ia juga perlu daripada punca pendapatan lain. Bergantung kepada kemampuan masing-masing. Sebagai contoh dengan menetapkan kadar 10% daripadanya wajib digunakan untuk menyimpan atau membeli emas. Jika punca pendapatan lain itu diterima dalam jumlah yang banyak, lebih daripada 10% pun boleh sekiranya tidak ada komitmen lain diperlukan dengan wang tersebut.
Menyimpan bermula daripada sifar pun boleh, yang penting mesti tahu bagaimana cara melakukannya.
Bermula dari sekarang
Apa jua keadaan yang kita hadapi sekarang, usaha menyimpan emas perlu dilakukan sekarang juga. Kesedaran ini perlu bermula dari peringkat usia yang lebih muda lagi, ketika belum banyak komitmen kewangan. Apa yang dimaksudkan adalah kemampuan menyimpan wang itu ada dan pengetahuan berkaitan hutang itu juga mesti ada. Kerana hutang itu sebenarnya akan mengurangkan lebih 2 kali ganda daripada kemampuan kewangan kita.
Sebaliknya, kesedaran menyimpan wang untuk membeli dan menyimpan emas akan menggandakan kemampuan kewangan kita lebih daripada 2 kali ganda. Ini bukanlah satu retorik, kita sendiri perlu melakukan "homework" bagi memastikan kebenaran ini. Saya sekadar berkongsi berdasarkan pengalaman. Adalah terlalu lambat untuk sedar ketika usia sudah masuk 40 tahun, tetapi bak kata mat saleh "BETTER LATE THAN NEVER".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini