Kita tak akan terlepas daripada menghadapi masalah. Masalah sentiasa berlaku setiap hari, ia tak akan pernah selesai dan tak akan pernah tidur. Cuma kita saja yang lalai sehingga masalah itu yang selama ini bersembunyi akhirnya timbul. Jangan lari daripada masalah, jadikan ia teman rapat kerana ia akan mengajar kita bagaimana berhadapan dengan kehidupan yang keras dan mencabar.
Belajar menyelesaikan masalah
Kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah sehingga kita sendiri yang berhadapan dengan masalah tersebut. Kita cuba mengelak dan sedaya upaya untuk mengelaknya jika boleh. Tetapi masalah itu tetap datang menduga kita.
Disitulah kita akan diuji bagaimana sikap dan sifat sebenar kita. Adakah kita seorang yang cekap, berkesan dan mampu mempertahankan diri. Atau seorang yang lemah, tak mahu memperbaiki diri dan suka mengeluh dan mengharapkan orang lain semata-mata.
Tidak salah minta bantuan orang lain, tetapi orang lain tak akan dapat membantu kita dari mula sampai selesai masalah kita. Kalau kita sendiri tidak ada semangat, tiada motivasi diri, orang lain akan undur diri awal untuk terus membantu.
Orang lain juga tidak dapat membantu sepenuhnya kerana kita semua ada masalah masing-masing. Sama ada masalah itu nampak di depan mata orang lain, atau kita sembunyikan masalah kita dan cuba selesaikannya dengan cara berhemah.
Belajar menyelesaikan masalah, maka kita akan dapat memahami bagaimana realiti kehidupan itu boleh terjadi. Memahami sesuatu masalah akan dapat menyelesaikan lebih banyak lagi masalah yang lain.
Apabila masalah yang kecil bukan lagi menjadi masalah kepada kita, kita akan berhadapan dengan masalah yang sederhana. Begitu juga apabila masalah yang sederhana itu tidak lagi menjadi masalah kepada kita, kita akan berhadapan dengan masalah yang besar pula.
Kenapa semua itu boleh berlaku, kerana masalah kecil dan sederhana bukan lagi menjadi satu masalah kepada kita walaupun ia sebenarnya adalah satu masalah. Masalah dinilai berdasarkan kemampuan kita menyelesaikan masalah tersebut.
Masalah besar yang akan kita hadapi apabila masalah kecil dan sederhana bukan lagi menjadi masalah kepada kita adalah masalah peribadi. Kita cenderung untuk menjadi sombong, bongkak, berlagak, memandang rendah kepada orang lain.
Kita mungkin tidak ada masalah dengan kewangan, kita mampu membeli segalanya dengan wang. Tetapi kita akan berdepan dengan masalah peribadi jika tidak dapat mengawal sikap dan sifat sombong dan bongkak kita.
Jadikan masalah sebagai teman setia
Bagaimana? Belajarlah untuk hidup susah dahulu sebelum menikmati kesenangan. Walaupun kita mampu untuk hidup senang tetapi kita masih memilih untuk bersusah payah.
Masalahnya disini bukanlah masalah tersebut, tetapi bagaimana penerimaan kita terhadap masalah itu. Ada banyak kelebihan, manfaat, keuntungan dan hasil yang boleh kita dapat jika menjadikan masalah itu sebagai teman. Antaranya :
- Belajar untuk memahami diri sendiri. Kita boleh tahu apa kelemahan dan kekurangan kita. Masalah itu akan menonjolkan siapa diri kita yang sebenar. Kita ada masalah dengan tugas kita, bermakna kita belum faham sepenuhnya apa tugas kita, kita belum menguasai kemahiran yang diperlukan dalam kerja kita. Kita ada masalah kewangan walaupun gaji besar, bermakna kita ada masalah pengurusan diri, kita seorang yang boros dan mempunyai sifat yang negatif dalam berbelanja. Kita ada masalah peribadi, bermakna kita belum mampu menguasai ilmu pengetahuan yang banyak, kita tidak ada motivasi diri, kita tidak mampu mengawal diri sendiri, kerana kita tidak tahu cara bagaimana menyelesaikan masalah tersebut.
- Belajar untuk memahami orang lain. Kita boleh kenal sikap dan sifat peribadi seseorang. Masalahnya disini adalah ada orang yang tidak begitu mesra walaupun ditegur dengan baik. Masalahnya juga ada orang yang cuba mengambil kesempatan ke atas kita. Ada juga masalah orang yang tidak peduli dan suka memperlekehkan kita. Masalah seperti ini yang perlu kita pelajari supaya kita dapat belajar pula bagaimana untuk berdepan dengan jenis masalah orang yang berbeza perangai, sikap dan personaliti dirinya.
- Belajar untuk memilih jalan penyelesaian. Kita hanya akan dapat selesaikan masalah itu jika kita tahu apa puncanya. Bila kita seringkali berdepan dengan masalah yang sama, lama kelamaan kita akan menjadi mahir dalam menyelesaikan masalah tersebut. Kenapa perlu lari dari masalah itu, sedangkan masalah itu setiap hari kita berdepan dengannya. Lebih baik kita dekati masalah tersebut dan belajar setiap selok beloknya supaya dapat mengenal pasti di mana masalah itu sebenarnya bermula. Musuh utama kita adalah diri sendiri, bukannya perkara yang menjadi masalah kepada kita. Sama ada kita tewas dengan masalah atau kita tawan masalah itu, kita yang membuat pilihan.
Bagaimana kita boleh mengubah masalah itu menjadi sesuatu yang berfaedah dan menguntungkan. Biasanya ini berlaku dalam perniagaan, masalah yang dihadapi oleh orang lain menjadi penyelesaian kepada masalah kewangan kita dengan menawarkan jualan produk dan perkhidmatan yang diperlukan.
Apakah faedah dan keuntungan masalah yang kita hadapi? Tak kira apa bentuk masalah sekalipun.
- Tahu mengurus dan mengatur rancangan sendiri. Sebab utama kenapa kita ditimpa masalah adalah kerana mengikut arus perdana. Kita tidak mahu melawan arus kerana takut disisihkan dalam kelompok orang ramai. Apabila berlaku masalah dalam arus perdana itu kita juga akan terkesan dan berdepan dengan masalah yang besar dan rumit. Jika kita sudah tahu apa masalahnya, kita keluar dari arus itu dan melawan dengan mengikut cara kita. Kita urus sendiri, kita atur rancangan sendiri apa yang perlu dilakukan. Jangan lagi biarkan kita diurus dan dirancang oleh orang lain. Apabila kita mengurus dan merancang sendiri, keutamaannya sudah pasti untuk faedah dan keuntungan diri didahulukan. Jangan biarkan kita jadi alat untuk kepentingan pihak tertentu yang mahu mempergunakan kita.
- Semakin kuat dan kukuh berdiri sendiri. Masalah akan mengajar kita apa yang perlu dilakukan untuk berdepan dan menyelesaikannya. Kita akan lebih bersedia dari segi fizikal, mental dan rohani. Kita akan memantapkan kemahiran, daya tahan dan kemampuan untuk bertindak dengan lebih proaktif, bukannya defensif atau agresif. Kita tak perlu guna senjata atau tubuh yang sasa atau teknologi yang canggih atau harta yang banyak untuk berdepan dengan ancaman masalah. Apa yang kita perlu adalah daya fikir bagaimana dapat menyelesaikan masalah pada tahap penggunaan tenaga, kos dan masa yang paling minimum.
- Semakin berkembang maju ke hadapan. Apabila banyak masalah dapat diselesaikan bermakna banyak juga kemajuan yang boleh dicapai. Masalah kewangan dapat diurus dengan baik, maka hutang dapat dikurangkan, perbelanjaan dapat dikawal dan aset dapat ditambah sebanyak mungkin. Masalah di tempat kerja dapat diurus dan diatur dengan baik, maka banyak kemajuan kerja dapat dicapai sama ada dari segi prestasi, pembangunan fizikal dan cara kerja yang cekap dan berkesan. Masalah keluarga diurus dan dirancang dengan baik, maka banyak pembangunan keluarga dapat dibuat, boleh buat rumah sendiri, rumah dilengkapi kemudahan peralatan, anak-anak dapat diurus dengan baik dan sebagainya.
- Rezeki datang tak putus-putus. Rezeki tak datang melimpah ruah sekelip mata. Ia datang tak putus-putus, bila kita mengalami masalah kewangan kita cari jalan penyelesaiannya. Adakalanya, penyelesaian itu datang sendiri tanpa diduga. Misalnya, mendapat 'durian runtuh' bantuan kewangan atau keuntungan lain yang dapat membantu meringankan beban kita. Urusan kita dipermudahkan, bukan kerana kita berjaya menyelesaikan masalah berkaitan. Tetapi kerja kita menjadi mudah kerana ada sesuatu perkara yang kita tidak duga telah berlaku dan membantu mempermudahkan urusan kita. Jika tidak ada kemudahan tersebut, sudah pasti urusan kita akan menjadi beban yang berat dan susah untuk diselesaikan. Tetapi kita tetap berusaha dan menyelesaikan masalah itu seperti mana biasa yang dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini