Jumaat, 22 April 2022

Kos Sara Hidup Tinggi


Ada orang tak terkesan pun dengan kos sara hidup yang tinggi akibat daripada kenaikan harga barang, kenaikan kadar faedah pinjaman. Ini kerana mereka mempunyai aliran pendapatan wang masuk yang banyak dan tetap setiap bulan. Perkongsian ini untuk pembaca yang terkesan. 

Namun begitu, langit tak selalunya cerah, roda hidup ini akan terus berputar, hari ini kita senang dengan wang yang banyak, masa depan kita tak tahu bagaimana. Mungkin kita akan ditimpa masalah dan bencana yang bertubi-tubi sehingga mengikis banyak wang yang kita ada. Lama-kelamaan, aliran pendapatan wang masuk kita pula terjejas. Jadi, jangan kita terlalu sombong dan megah, merasa kenaikan kos sara hidup ini bukan masalah kita. Kita boleh jatuh miskin secara tiba-tiba.

Punca utama masalah ini adalah wang itu sendiri

Peningkatan ini kita tak boleh elak, merungut pun tak guna. Jangan hanya duduk diam sahaja. Lakukan sesuatu. Masalah ini telah bermula semenjak tahun 1971 lagi melibatkan sejarah kewangan. Tetapi saya tak nak ulas panjang. Asas kepada masalah ini adalah wang itu sendiri. Sifat wang yang nilainya tak pernah naik pun sehingga sekarang, naik turun nilai wang itu bukan pada nilainya yang sebenar. Ia cuma nilai dagangan, wang mana yang lebih laku dijualbeli dalam pasaran matawang dunia. Jangan kita tertipu dengan wang yang dinilai dengan cara itu.

Apa yang berlaku sejak tahun 1971 adalah nilai wang semakin cepat susut dalam pasaran dan harga barang serta kos sara hidup lain telah semakin meningkat secara mendadak berbanding tahun sebelum 1971. Kenaikan kos sara hidup dan penyusutan nilai wang lebih mendadak setiap 10 tahun sekali apabila berlaku kemelesetan ekonomi dunia. Semua ini sebenarnya telah dirancang, tapi saya tak berniat nak ceritakan hal ini disini. Pembaca boleh buat kaji selidik sendiri dengan banyakkan membaca.

Langkah untuk berdepan dengan peningkatan kos sara hidup

Apa kita boleh buat sekarang? 

  1. Perbanyakan aliran pendapatan tunai. Kita boleh buat bisnes sendiri, mengambil upah kerja kontrak, cari kerja tetap, jadi rider foodpanda atau pemandu grab dan sebagainya. Janji ada banyak aliran pendapatan wang masuk. Selain daripada bekerja, aliran pendapatan tunai juga boleh diperolehi melalui pelaburan saham amanah. Jangan pula sampai terperangkap dengan scammer pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat. Kita boleh buat research sendiri tentang pelaburan yang betul-betul wujud dan kurang berisiko.
  2. Banyakkan berbelanja untuk aset. Jangan simpan wang sampai berpuluh ribu, beratus ribu di dalam bank. Ambil pengajaran wang simpanan di dalam bank pun boleh lesap. Kalau nak simpan wang, cukup untuk kecemasan saja. Ada yang mencadangkan wang simpanan kecemasan sebanyak 3 bulan gaji. Itu bagi mereka yang bergaji. Apakah aset? Iaitu apa yang kita beli atau belanjakan dengan wang pendapatan kita memberi pulangan balik dalam bentuk aliran pendapatan wang masuk yang baru. Contohnya, emas, tanah, ilmu pengetahuan, saham amanah, rumah sewa, kebun dan sebagainya.
  3. Penjimatan dalam perbelanjaan. Walaupun kita ada banyak aliran pendapatan wang masuk dan juga banyak aset. Kita perlu juga untuk berjimat dalam berbelanja. Kerana kita mahu wang yang kita belanjakan ada nilai dari segi kuantiti barang daripada perbelanjaan yang dibuat. Apatah lagi kalau kita memang susah dengan aliran wang, mesti banyak melakukan penjimatan dalam perbelanjaan. Contohnya, membeli semasa harga diskaun atau jualan harga murah, membuat bayaran dengan mendapatkan rebat tunai. Semua ini adalah untuk mendapatkan lebihan wang yang tak dibelanjakan supaya kita dapat membeli aset.
  4. Penjimatan dalam penggunaan. Kalau sebelum ini kita banyak makan di luar, sekarang kita kurangkan. Kita juga banyak menggunakan peralatan elektrik berkuasa tinggi, jadi kita tukar kepada peralatan yang cekap dan jimat tenaga. Sebelum ini kita banyak guna kereta pergi balik kerja, selepas ini kalau hari tak hujan kita naik motor. Apabila kita mengurangkan penggunaan sesuatu barang atau mengurangkan aktiviti yang banyak memakan kos, kita akan dapat banyak lebihan wang yang boleh disimpan dan digunakan untuk membeli aset.
  5. Banyakkan membaca tentang ilmu kewangan. Ia akan membimbing kita bagaimana nak mengurus wang dengan cekap, bagaimana mengurangkan hutang yang tidak perlu, bagaimana menggunakan hutang untuk menghasilkan aliran pendapatan. Kita akan dapat belajar daripada kesilapan dan kecuaian lalu yang menyebabkan kita mengalami banyak pembaziran, kerugian dan kehilangan wang tunai. Kita akan belajar bagaimana nak berbelanja dengan cekap, bagaimana nak menyimpan dengan betul. Kita akan belajar untuk tidak lagi mengulangi kesilapan dan kecuaian lalu.
  6. Kecekapan operasi. Jika sebelum ini kita suka bermegah-megah untuk perkara yang biasa-biasa, sekarang kita buat dengan cara yang biasa biasa saja. Tetapi matlamat dan tujuannya masih sama. Kita cuma ubah cara operasi yang digunakan supaya lebih jimat kos. Misalnya, selama ini kita pergi balik ke tempat kerja dengan kereta, kita guna motosikal pula atau menggunakan kereta yang lebih jimat penggunaan minyak dan kos selenggara. Sebelum ini kita banyak makan di luar, sekarang kita banyakkan memasak sendiri di rumah.
  7. Kurangkan hutang. Jika masih ada hutang, susun semula pembayarannya. Hutang yang sedikit kita boleh langsaikan dahulu dengan segera supaya tidak menanggung beban kadar faedah. Jangan menambah hutang yang besar. Kita boleh berhutang untuk perkara yang sangat penting seperti untuk rumah dan kenderaan. Tetapi jangan sampai terlalu mengikut kehendak, mahu rumah yang besar dan kereta mahal, ikut kemampuan sendiri. Cukup berhutang untuk memenuhi keperluan. Ada jenis hutang yang boleh menjimatkan wang, jika kita membeli secara tunai harganya lebih mahal daripada berhutang walaupun ada kadar faedah. Jadi, dalam situasi tertentu dibolehkan berhutang sekiranya kosnya lebih murah daripada membeli secara tunai.
  8. Mulakan menyimpan emas sedikit demi sedikit. Apabila kita sudah memiliki emas fizikal yang banyak, ia bukan saja dapat menyimpan nilai wang kita dengan harganya semakin meningkat setiap tahun. Malah, dengan emas kita boleh meminjam wang kita sendiri tanpa faedah untuk berbelanja dan menyimpan wang pendapatan masuk secara berhemah. Emas adalah aset dan kita mesti ada lebihan wang daripada penjimatan perbelanjaan dan penggunaan setiap bulan untuk membelinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini