Selasa, 24 Mei 2022

Imaginasi Tanpa Mengira Usia

 


Imaginasi tak mengira usia, cepat atau lambat kita berimaginasi apabila ia sudah bermula ia boleh mengubah situasi semasa dengan cepat. Bila kita dapat membayangkan sesuatu yang mahu dicapai dalam fikiran, itu adalah permulaan kepada kejayaan masa depan kita. Kejayaan itu adalah satu proses dan tidak mungkin tercapai dalam tempoh yang sangat singkat. Tetapi ia perlu bermula sekarang, walaupun mungkin sudah terlambat. Apa yang kita inginkan, itulah yang mesti dibayangkan di dalam fikiran kita. Bayangan itu perlu bermula dengan pencapaian akhir yang diinginkan. Kemudian baru bayangan apa yang boleh kita usahakan dalam waktu terdekat. 

Peringkat Kejayaan 

Kita perlu melalui 3 peringkat kejayaan.

  1. Kejayaan kecil
  2. Kejayaan besar
  3. Kejayaan hakiki
Imaginasi tak memerlukan peringkat kejayaan. Kita boleh saja bayangkan kita sudah kaya raya, sudah memiliki segala dan sebagainya. Tetapi kejayaan sebenar mesti bermula mengikut peringkat. Bermula dengan satu kejayaan kecil, kemudian usahakan lagi lebih banyak kejayaan kecil yang lain. Apabila satu demi satu kejayaan kecil berjaya dilaksanakan, ia akan memudahkan kita melaksanakan kejayaan yang lebih besar pula. Kita mesti menyusun rancangan berdasarkan imaginasi sebelum melaksanakannya sebagai panduan dan halatuju kita.

Dalam apa jua perkara yang kita lakukan sekalipun perlu melalui peringkat ini, bermula dari bawah dan naik ke peringkat lebih atas lagi sedikit demi sedikit. Tetapi jangan pula kita terperangkap dalam satu ruang lingkup keadaan yang terbatas. Imaginasi membolehkan kita jadi apa saja walaupun dalam situasi semasa kita mungkin tidak punya apa-apa. Namun, apa yang sedang kita lakukan sekarang akan menjadikan kita seperti apa yang kita mahu jadi pada masa depan. Ia akan mengubah sepenuhnya keadaan kita kelak dengan cara dan kemahuan kita sendiri.

Gambaran Menyeluruh Imaginasi

Pendorong semangat untuk kita berusaha bersungguh sungguh adalah apabila kita tahu dan nampak matlamat akhir dalam fikiran dengan satu gambaran yang menyeluruh. Jika cuma sekerat atau kabur, kita tidak ada fokus yang jelas tentang apa yang mesti kita usahakan. Gambaran menyeluruh adalah perincian tentang matlamat. Kita boleh tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Semakin jelas dan terang matlamat tersebut, semakin fokus kita bertindak untuk melaksanakannya. Ia tak akan hilang jejak dan kabur daripada pandangan mata dan akal fikiran kita.

Mula berimaginasi dari usia muda adalah satu kelebihan dari segi masa. Kita ada masa yang sangat panjang dan ruang masa itu sentiasa memberi peluang yang banyak untuk kita berusaha membina kejayaan demi kejayaan. Tidak bermakna apabila usia sudah tua baru nak aktif berimaginasi kita rugi. Pada usia tua kita sudah melalui banyak pengalaman, jatuh bangun dalam perjalanan kehidupan, dipuji bila diperlukan, dihina bila serba kekurangan. Semua itu adalah input untuk kita membina sebuah imaginasi yang berkesan, iaitu imaginasi yang boleh menjadi satu kenyataan dalam masa yang singkat.

Jangan Berhenti Berimaginasi 

Jangan pernah berhenti untuk berimaginasi sama ada ia tercapai atau tidak. Jangan putus asa, walaupun kejayaan itu tidak sepenuhnya seperti apa yang dibayangkan mungkin ada kejayaan lain boleh dicapai. Kuncinya jangan pernah berhenti untuk berimaginasi. Jika berjaya dengan skala atau pencapaian yang kecil sahaja, kita perbaiki lagi kekurangan yang ada. Kita tambah lagi keperluan yang boleh membantu kejayaan kecil itu menjadi sebuah kejayaan yang besar pada masa hadapan.

Jangan melihat apa yang kita ada sekarang, kita lihat apa yang kita mahu ada pada masa depan. Walaupun ada situasi kita yang tak akan berubah, ada keadaan lain yang kita boleh berubah. Seperti mana yang telah dijelaskan, jangan terperangkap dalam ruang lingkup yang terbatas. Kita boleh berada dalam satu ruang lingkup yang kita rasa selamat berada di dalamnya, dan kita juga boleh keluar daripadanya untuk memasuki beberapa ruang lingkup yang boleh membawa kita kepada kejayaan yang lain. Maknanya kita mungkin tak nampak berjaya dalam satu bidang, tetapi kita boleh berjaya dalam bidang yang lain.

Kejayaan itu bukan soal apa yang orang lain boleh nampak semata-mata. Kejayaan juga boleh dicapai tanpa perlu diketahui oleh orang lain, tanpa perlu dihargai atau disanjung tinggi oleh sesiapa, tanpa perlu ada jawatan yang tinggi dengan pendapatan yang lumayan semata-mata. Kejayaan itu juga adalah tentang kebahagiaan kita, keselesaan kita, ketenangan kita dalam menjalani kehidupan yang penuh mencabar dan banyak dugaannya. Dalam dunia sekarang yang semakin moden dan maju, imaginasi memungkinkan segalanya.

Selasa, 10 Mei 2022

Think and Grow Rich

Apa sebabnya kita berfikir? Semua orang tahu kenapa mereka berfikir? Antaranya untuk maju dan berjaya, dapat hidup senang, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Tapi tak ramai orang yang tahu bagaimana cara nak berfikir dengan berkesan. 

Kesilapan dalam berfikir boleh menyebabkan penyesalan, tetapi apabila kesilapan berfikir itu diperbaiki kita dapat mengubah keadaan hidup kita menjadi lebih baik. Kita tak akan mengenang rasa penyesalan itu selamanya, sebaliknya menjadikan ia satu pengajaran berguna. Itu pentingnya bila kita dapat meningkatkan lagi keupayaan berfikir.

Apa kaitan berfikir dengan kekayaan

Realiti hidup ini kita tidak boleh lari daripada keperluan wang. Walaupun tak banyak, tetap juga memerlukan sedikit wang untuk memenuhi keperluan hidup. Namun begitu, kita masih lagi boleh mencapai kejayaan tanpa wang, dan kekayaan itu pula tidak terbatas hanya dengan wang yang banyak sahaja. Tetapi, kita jangan abaikan usaha untuk mencari dan mendapatkan wang. 

Kita boleh menerokai lebih banyak lagi jenis kekayaan yang boleh memberi kebebasan dan kesenangan dalam hidup kita. Apabila kita mampu berfikir bagaimana kekayaan wang itu boleh diteroka, kita fikir dulu bagaimana ia boleh dijana dan apakah puncanya. Sebelum kita mampu kaya dengan wang, kita perlu kaya dengan perkara yang lain dahulu.

Jenis-jenis kekayaan

Fikir dahulu jenis-jenis kekayaan ini dan dapatkannya :

  1. Kesihatan yang baik. Kelebihan orang yang jarang sakit atau tiada penyakit kritikal adalah sentiasa bersemangat dan dapat terus berusaha mencari kekayaan wang dan harta. Penyebab penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, stress, obesiti dan sebagainya adalah disebabkan oleh gaya hidup peribadi. Bagaimana kita mengurus kehidupan sendiri terletak pada cara kita berfikir. Jauhi punca-punca penyakit itu dan amalkan gaya hidup sihat. 
  2. Pengetahuan yang banyak. Mereka yang memiliki pengetahuan yang banyak dapat menguasai keadaan sekelilingnya. Apabila kita tahu apa kekurangan dan kelemahan kita, ilmu pengetahuan dapat membantu kita mengatasinya dengan menyelesaikan masalah asas. Kita tahu diri kita bukan seorang yang berkemampuan dari segi kewangan, tetapi dengan ilmu pengetahuan kita dapat berfikir untuk menyelesaikan masalah dengan memperbaiki taraf hidup agar lebih selesa hanya dengan menggunakan apa yang kita ada. Sedikit demi sedikit kita berkembang maju dan membina keupayaan dan akhirnya mampu memiliki wang dan kesenangan yang banyak.
  3. Minda yang cerdas. Minda cerdas terbentuk daripada jiwa yang tenang. Iaitu kita mempunyai sifat sabar yang tinggi, tenang, tekun dan tak mudah putus asa. Keadaan ini akan memberi kelebihan untuk kita fokus kepada bentuk pemikiran kita supaya lebih positif, kreatif, terbuka dan memandang jauh ke hadapan. Bukannya kita tidak ada masalah, cuma kita tidak mahu terlalu fokus kepada masalah itu sehingga mengganggu pemikiran kita. Asas penyelesaian masalah itu adalah jaga minda kita dahulu supaya dapat berfikir dengan berkesan.
  4. Jiwa yang tenang. Kita dapat berfikir dengan waras tanpa mengikut emosi apabila kita memiliki jiwa yang tenang. Bagaimana mendapatkannya, dekatkan diri kita kepada Tuhan dan amalkan perbuatan baik sentiasa. Jiwa yang tenang membantu kita dalam membuat keputusan yang tepat dan tidak tergesa-gesa. Kita boleh tahu apa masalah yang akan berlaku dan dapat mencegahnya lebih awal, ia dibantu dengan pengetahuan yang banyak dan minda yang cerdas. Apa gunanya kekayaan dan kesenangan harta benda jika jiwa kita tidak tenang. Cari dulu ketenangan jiwa sebelum kekayaan wang dan harta.
  5. Kemahiran yang berguna. Kemahiran yang dapat membantu meningkatkan kemampuan kita. Termasuk dalam bidang yang dapat membantu menjana wang melalui penjimatan dan penghasilan. Seperti kemahiran komunikasi akan menarik orang lain berminat berurusniaga dengan kita. Kemahiran bertukang membolehkan kita membaiki dan membuat sendiri perabot dan peralatan. Semua kemahiran ini bermula dengan ilmu pengetahuan yang banyak, tetapi kita perlu memilih kemahiran yang perlu dikuasai dengan mempraktikkannya.
Menguasai kekayaan kewangan

Apabila kita mampu mendahului semua jenis kekayaan yang disebutkan di atas, proses seterusnya untuk menguasai kekayaan kewangan akan menjadi lebih mudah. Kesihatan menjadikan kita rajin berusaha, banyak masa boleh digunakan untuk menjana kekayaan. Dengan ilmu pengetahuan yang banyak kita boleh mengetahui cara bagaimana untuk meningkatkan ekonomi, menyelesaikan banyak masalah dan mengelak kesilapan.

Minda yang cerdas dapat membantu kita membuat keputusan kewangan yang tepat dalam jangka masa yang singkat. Kita tidak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan masalah atau membiarkan sesuatu yang boleh mengundang masalah kewangan terlalu lama. Jiwa yang tenang dapat mengelak kita daripada panik, risau berpanjangan, kemurungan dan berfikiran negatif. Sehingga boleh menyebabkan kita hilang kawalan diri dan bertindak di luar dugaan dengan mengancam diri sendiri dan orang lain.

Kuasai kemahiran yang dapat menjana kekayaan kewangan. Kemahiran berniaga, kemahiran bersosial, kemahiran meluaskan pengaruh, kemahiran berhutang, kemahiran mengurus pendapatan, kemahiran membina aset. Banyak bahan bacaan berkaitan boleh dirujuk untuk meningkatkan kemahiran ini. Kalau tidak semua, sebahagian daripada kemahiran ini boleh dikuasai pada tahap yang tinggi.