Dapat gaji beli dan simpan emas
Bukannya bila dapat gaji simpan wang di dalam bank berkepuk-kepuk. Tiada apa yang nak dibanggakan dengan angka yang banyak di dalam akaun bank, kerana semua itu dalam pemerhatian ramai pihak, sama ada yang diberi akses untuk memasukinya atau yang berjaya mencerobohnya. Cukup simpan wang sekadar untuk keperluan dan kecemasan. Di mana nak beli emas? Bagaimana nak beli emas? Buka akaun emas dan beli emas dengan jumlah paling minimum. Kumpul emas sedikit demi sedikit dan buat pengeluaran dengan mendapatkan emas fizikal.
Ada emas boleh pinjam wang
Apa tujuan kita menyimpan emas? Adakah semata-mata untuk dijual bila harganya tinggi, atau menjadi alat untuk mendapatkan wang. Kalau nak jadi kaki judi boleh lah beli pada harga rendah jual bila harga tinggi. Tapi kalau kita mahu jadi 'King' miliki lah emas sebanyak mungkin dan simpan. Gunakan sebagai senjata ekonomi dan umpan untuk mendapatkan wang.
Bagaimana kalau kita tiada wang dan tiada emas? Kita masih lagi boleh meminjam wang di bank tetapi kita akan dicekik, dijerut, disembelih. Kita terpaksa bayar berganda kerana itu pilihan kita dengan bersetuju menandatangani perjanjian pinjaman dengan faedah.
Tetapi jika kita ada emas, kita akan mempunyai 'bank' sendiri kerana emas yang kita miliki itu menyimpan nilai wang di dalamnya. Kita yang memiliki emas adalah raja dan mereka yang memiliki wang itu adalah hamba. Bila kita meminjam wang tanpa ada cagaran kita akan dicekik mereka. Bila kita ada emas, mereka tahu jika kita tidak diberi layanan yang baik kita boleh berurusan dengan pihak lain. Sebab itu pinjaman yang diberikan dengan cagaran emas adalah tanpa faedah. Kita sebenarnya meminjam wang daripada 'bank' kita sediri, tetapi wang itu perlu diperolehi daripada bank.
Sistem pajak gadai Ar-Rahnu
Sistem ini diiktiraf oleh bank bagi memudahkan urusan pinjaman wang menggunakan cagaran emas. Tak perlu banyak proses nak isi borang, pengesahan majikan, tandatangan dokumen itu ini sepertimana kita membuat pinjaman peribadi. Dah isi borang tunggu kelulusan lagi, kalau lulus minggu depan baru masuk akaun.
Konsep sistem pajakgadai Ar-Rahnu ini adalah kita meminjam wang dan kita bayar sendiri wang dipinjam pada nilai yang sama. Bukan macam pinjam wang tanpa cagaran, pinjam RM27'000 bayar balik RM54'000. Apa yang kita perlu bayar kepada bank hanyalah upah simpan. Upah simpan dibayar setiap bulan tetapi kita boleh bayar sekaligus setiap enam bulan sekali. Tempoh maksimum tebusan balik emas kita adalah dalam tempoh 3 tahun sahaja. Perkongsian ini adalah daripada pengalaman sebenar.
Hati-hati dengan perangkap hutang
Oleh kerana kita meminjam wang dari bank dengan menggunakan cagaran emas, kita bukannya berhutang dengan bank. Sebaliknya berhutang dengan diri sendiri. Bermakna kita mesti bijak mengurus hutang walaupun dengan diri sendiri. Hutang ini lebih baik daripada hutang dengan bank. Kalau kita gagal membayar upah simpan dan menebus emas yang dicagar, ia akan dipajak oleh bank dan digadai untuk mendapatkan semula pinjaman yang gagal dibayar balik oleh kita. Itu saja konsepnya. Kita masih tetap berhutang dan perlu berhati-hati dengan perangkap hutang.
Cuma apabila kita berhutang dengan diri sendiri, kita boleh merancang jadual pembayaran sendiri. Jangan lupa untuk simpan bagi bayaran upah setiap 6 bulan sekali. Itu cuma untuk 3 tahun, bukannya 5 atau 10 tahun kalau kita buat pinjaman peribadi. Kita masih lagi untung. Kita perlu bijak membuat perancangan dan perkiraan sendiri.
Guna wang pinjaman dengan bijak
Gunakan wang pinjaman itu dengan sebaiknya, apabila ada wang tunai di tangan kita boleh membeli peralatan dan kemudahan secara tunai tanpa faedah. Kita boleh membeli semasa harga diskaun dan jualan murah. Kita boleh membeli ketika ada tawaran dan ganjaran berganda, misalnya beli satu barang dapat 10 barang percuma. Itu kelebihannya bila ada wang tunai yang banyak di tangan.
Kenapa kita tidak menggunakan wang simpanan sahaja untuk membeli secara tunai? Kenapa perlu membeli emas untuk disimpan. Wang ada susut nilai, wang yang disimpan boleh habis dibelanja. Kemudian kita simpan dan belanja lagi secara tunai tanpa berhutang. Apabila kita simpan wang, kita tak dapat apa-apa. Apabila kita simpan emas, kita dapat emas dan wang sekali. Wang yang disimpan di dalam emas tidak akan susut nilai dalam jangka masa panjang.
Beli emas boleh dapat satu lagi emas dengan percuma
Jika kita bijak mengurus wang pinjaman daripada emas tersebut, kita boleh dapat satu lagi emas dengan percuma. Walaupun pada hakikatnya kita masih membeli emas dengan wang tapi kita tidak perlu menambah satu sen pun untuk memperolehi emas yang baru. Hanya dengan menggunakan wang pinjaman tersebut kita boleh menggandakan lagi jumlah simpanan emas kita.
Justeru itu, kita meminjam wang dengan cagaran emas dan menyimpan wang untuk tiga tujuan sama ada menebus emas, membeli emas yang baru atau membeli sesuatu secara tunai. Jika wang disimpan untuk membeli sesuatu secara tunai bagaimana pula hendak menebus emas. Sekiranya kita mempunyai aliran pendapatan wang masuk yang banyak, wang itu juga boleh digunakan untuk menebus emas. Jadi, tiada tekanan kewangan kerana kita hanya meminjam dan membayar wang mengikut jumlah yang dipinjam.
Ia berbeza sekali dengan pinjaman wang dengan faedah kerana kita terpaksa bekerja keras untuk membayar hutang pinjaman yang bukan milik kita. Pinjaman tanpa cagaran adalah hutang milik bank, bank akan mengenakan faedah ke atas hutang miliknya. Pinjaman dengan cagaran emas adalah milik kita, kita tidak dikenakan apa-apa faedah dan hanya membayar upah simpan ke atas emas yang disimpan oleh bank sebagai cagaran pinjaman.
Dengan itu, apabila kita memiliki emas, wang bukan lagi satu masalah kepada kita. Apa yang menjadi masalah kepada kita adalah apabila berhutang dengan bank, kita dikenakan kadar faedah dan terpaksa membayar lebih. Menjadi masalah yang lebih rumit lagi apabila kita tidak mampu lagi membayar hutang bank. Pilihan di tangan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini