Isnin, 3 Januari 2022

Wang Bukan Untuk Disimpan


Buku 'Rich Dad Poor Dad' banyak mengajar tentang ilmu kewangan. Secara ringkas, asasnya adalah wang bukan untuk disimpan dalam satu jangka masa yang terlalu lama. Ini kerana nilai wang akan terus susut dari tahun ke tahun. Walaupun menyimpan wang ada dividen, bonus, faedah dan sebagainya tetapi susut nilai wang itu lebih tinggi dan cepat.  Apa-apa ganjaran simpanan wang tak akan mampu menampung kerugian akibat susutnilai wang tersebut.

Simpan nilai, bukan simpan wang

Maknanya belanjakan wang tersebut dengan membeli nilai yang boleh disimpan. Kalau nak simpan wang, simpan untuk kegunaan semasa kecemasan saja. Jangan simpan sampai berpuluh ribu, beratus ribu dalam bank. Puluhan ribu RM hari ini tak akan sama nilainya pada tahun tahun akan datang. Harga barang akan terus naik dan kos sara hidup akan terus meningkat.

Kita simpan wang itu dalam bentuk nilai barang, nilai kesihatan, nilai kekeluargaan, nilai emosional. Barang apa yang ada nilai? Paling ringkas adalah emas, tanah juga bernilai tapi ada kos percukaian dan perkhidmatan perlu dibayar. Kos menyimpan emas hanya zakat emas, kalau dipajak untuk meminjam wang melalui bank ada kos upah simpan. Bab ini perlu tahu ilmu pajak gadai Ar-Rahnu.

Kesihatan sangat bernilai, apabila sihat kita bebas melakukan perkara yang kita suka. Kita boleh bekerja cari wang, boleh bercuti melapangkan fikiran, boleh makan apa yang kita suka. Belanjakan wang untuk memastikan kita sentiasa sihat. Walaupun kadang-kadang sakit itu tidak boleh dielak, itulah realiti kehidupan. Jangan sampai kita menanggung penyakit kronik, kalau kita ada simptom penyakit kronik, belanjakan wang untuk pemulihan. Jangan biarkan ia menjadi semakin teruk. Wang banyak tapi sakit, tak ada ertinya. Wang habis untuk mengubat penyakit yang sepatutnya kita boleh cegah dari awal.

Cash is king, kurangkan hutang

Apabila banyak wang kita boleh beli apa yang kita suka. Tetapi kita lupa kita tidak banyak wang sebab kita banyak hutang. Berhutang sebab tidak sabar untuk memiliki sesuatu. Bukan tak boleh berhutang, sebaliknya kawal hutang untuk perkara yang lebih penting saja. Seperti berhutang untuk beli atau bina rumah, berhutang untuk beli kereta. Tetapi jangan pula melebihi kemampuan, bina rumah macam istana, beli kereta mahal. Kurangkan hutang supaya kita ada banyak wang tunai di tangan.

Membeli sesuatu secara tunai banyak kelebihannya. Boleh pilih harga yang lebih murah, kualiti tetap sama dengan yang mahal atau lebih bagus lagi tetapi ada tawaran jualan murah kerana wujud persaingan jualan. Beli ketika jualan murah, boleh beli banyak untuk simpanan stok kegunaan akan datang.

Bila ada sesuatu yang kita minat walaupun harganya mahal, kita beli saja. Bukannya selalu. Cara untuk kita menghargai diri sendiri. Bila banyak wang, apa yang kita minat kita boleh dapat. Tapi jangan pula terlalu memanjakan diri. Apa yang kita nak semuanya dapat. Apa yang perlu, apa yang berguna, apa yang boleh memberi kemudahan untuk membantu kehidupan seharian, kita boleh dapatkannya dengan mudah apabila banyak wang.

Simpan nilai yang boleh ditukar menjadi wang

Apa yang boleh menghasilkan wang itulah yang kita perlu simpan. Semakin lama ia disimpan semakin berharga. Jadi, apa yang perlu kita simpan supaya boleh menjadi wang? Berikut antara beberapa benda atau perkara yang boleh disimpan dan boleh ditukar menjadi wang apabila diperlukan :

  1. Emas fizikal
  2. Barang lusuh seperti besi, aluminium
  3. Ilmu dan kemahiran
  4. Barang keperluan yang ada permintaan orang ramai
  5. Hobi seperti bertukang, melukis, menulis, menyanyi
  6. Bangunan kedai
  7. Rumah atau bilik sewa
  8. Kereta sewa
Senarai di atas antara sebahagian benda dan perkara yang boleh disimpan lama dan boleh diguna untuk menghasilkan wang. Tetapi untuk menyimpannya perlu ada wang tunai. Kalau ada banyak wang lagi bagus. Tak banyak wang buat sekadar yang mampu sahaja. Nak cari barang lusuh sekalipun masih perlukan wang untuk beli makanan semasa sedang mencarinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini