Sabtu, 27 April 2024

Struktur Segitiga B-I


SEGITIGA B-I

Sebelum tu apa fungsi segitiga ini? Ia adalah kaedah yang mesti digunakan untuk membangunkan bisnes kita sendiri dan juga mengembangkan pelaburan kita. Sebab itu ada B dan I, iaitu bisnes dan investment

Saya tak cerita tentang bisnes yang selalu orang buat, menjual sesuatu, buka kedai, jual tepi jalan, jual kat market, jual di facebook, tiktok dan sebagainya. Saya bercerita tentang bagaimana sesuatu apa yang kita buat itu boleh menjadi bisnes untuk diri sendiri dan membuka peluang untuk kita melabur dalam saham yang memberi pulangan tinggi.

Bisnes Untuk Diri Sendiri

Kita mesti bermula dengan bisnes dan pelaburan untuk diri sendiri dahulu. Jika bisnes dan pelaburan untuk diri sendiri ini berjaya barulah kita boleh beralih kepada bisnes dan pelaburan untuk orang lain. Bisnes apa kita nak buat, nak jual apa. Kemudian pelaburan apa kita akan buat, nak beli tanah, nak buat rumah sewa, nak buka gerai, nak sewa lot jualan. Daripada pelaburan itu kita akan jalankan bisnes yang kita buat untuk orang lain membelinya jika jual barang, sewa rumah jika buat rumah sewa.

Dalam segitiga ini ia terbahagi kepada faktor luaran dan dalaman.

Faktor luarannya ada 3 :

  1. Misi
  2. Pasukan
  3. Kepimpinan

Faktor dalamannya ada 5 :

  1. Aliran tunai
  2. Komunikasi
  3. Sistem
  4. Undang-undang
  5. Produk

Faktor Kekuatan Dalam Segitiga B-I

Dalam posting ini saya hanya bagi penjelasan ringkas saja tentang faktor luaran dan dalaman ini. Sekali lagi saya jelaskan, saya bercerita tentang bisnes dan pelaburan untuk diri sendiri.

Misi adalah kenapa kita nak buat bisnes itu, apa tujuannya? Mungkin kerana hendak keluar dari hidup kesusahan dan kemiskinan.

Pasukan adalah dengan siapa kita akan bekerjasama supaya boleh mencapai misi bisnes untuk diri kita sendiri. Mungkin dengan kawan rapat kita atau saudara mara kita atau adik beradik sendiri.

Kepimpinan adalah sejauh mana kita mampu menguruskan diri sendiri supaya dapat mencapai misi kita tadi. Adakah kita mampu kawal diri daripada boros dan membazir? Atau kita mampu bekerjasama dengan orang lain untuk bantu kita berjaya capat matlamat misi.

Aliran tunai adalah bagaimana dengan kedudukan kewangan kita? Adakah bagus atau tidak? Banyak wang lebih atau banyak hutang? Perbelanjaan bulanan bagaimana pula? Apa yang kita bayar? Perlukah tidak kita bayar belanja tersebut?

Komunikasi adalah bagaimana kita boleh mohon kerjasama dengan orang lain. Kalau kita tak ada ilmu kewangan dan pelaburan, kita tanya orang yang tahu. Jangan malu dan segan, malu bertanya sesat jalan. Hidup akan terus susah dan miskin, orang tak akan mahu tolong kita. Cakap.. cakap.. jangan bisu dan pendam rasa.

Sistem adalah kita mesti tahu bagaimana kita boleh buat wang tanpa perlu menjual sesuatu atau melabur wang serendah RM10. Di mana kita boleh buat semua tu? Melalui platform online dan juga institusi yang boleh membantu kita menjana wang atau menyelesaikan masalah kewangan kita.

Undang-undang adalah berkaitan apa yang kita buat itu mengikut peraturan atau tidak. Kalau kita melabur dalam sistem atau institusi yang tak ada lesen, tak diiktiraf oleh badan perundangan yang menjaga sebarang penipuan, kita akan kerugian.

Produk adalah bukan tentang apa yang kita jual. Sebab dari awal tadi saya kata bisnes ini adalah untuk diri sendiri dan bukannya menjual kepada sesiapa pun. Tak ada produk yang nak dijual. Sebaliknya, produk apa yang kita gunakan sehingga boleh membuat wang dengan sendirinya tanpa perlu menjual.

Membina Segitiga B-I Peribadi

Akhir cerita, kalau kita faham tentang Segitiga B-I ini, kita boleh membina bisnes dan pelaburan untuk diri sendiri dulu. Jika sudah berjaya dalam bisnes yang boleh memberi kita wang dan pelaburan yang boleh menjana wang kita dengan lebih banyak.

Bermula dengan bisnes dan pelaburan untuk diri sendiri ini nanti kita akan tahu bagaimana hendak melakukan bisnes yang sebenar. Bisnes yang menjual barang kepada orang ramai, bisnes yang perlu pelaburan wang untuk membeli tanah atau bangunan kedai. Kalau tak beli pun kita boleh sewa lot kedai.

Jumaat, 26 April 2024

Misi Segitiga B-I


Bermula Dengan Diri Sendiri

Sebelum kita mampu membina bisnes yang menjual sesuatu atau memberi perkhidmatan kepada orang lain, kita mesti bermula dengan membina bisnes untuk diri sendiri terlebih dahulu. Ini adalah pelajaran asas untuk membangunkan bisnes sendiri.

Posting saya bukan untuk mereka yang sudah berjaya membina bisnes dengan keuntungan yang besar. Posting saya untuk mereka yang mahu berubah dari kemiskinan dan kesusahan hidup yang sentiasa kekurangan wang untuk belanja bulanan.

Perkara pertama dan paling asas yang perlu dibangunkan untuk membina bisnes sendiri adalah MISI. Apa misi kita supaya dapat membina bisnes untuk diri sendiri yang pertama, bukannya bisnes sendiri.

Beza keduanya adalah bisnes sendiri kita bangunkan untuk orang lain, bisnes sendiri mesti ada produk untuk dijual bagi menghasilkan keuntungan daripada jualan. Bisnes untuk diri sendiri pula dibangunkan untuk mempunyai lebihan wang daripada pendapatan seperti gaji sekiranya kita seorang pekerja.

Kenapa kita perlu ada lebihan wang? Supaya dengan lebihan wang itu nanti kita mampu membina bisnes sendiri pula. Jadi, apa MISI kita untuk membangunkan bisnes untuk diri sendiri?

Disini ada beberapa contoh yang boleh digunakan untuk membina MISI tersebut.

MISI : MENGHASILKAN RM10,000 PERTAMA

Apabila kita bekerja makan gaji, kita tak ada masa untuk buat kerja sambilan seperti membuat bisnes sampingan. Walaupun di hujung minggu kita ada masa untuk bekerja sambilan buat bisnes, kita akan rasa letih kerana kita akan bekerja untuk wang.

Kita sepatutnya menjadikan wang itu bekerja untuk kita, dan kita sudah ada wang daripada gaji yang diterima untuk digunakan. Bekerja sambilan adalah ciri-ciri seseorang pekerja yang mempunyai pengurusan diri yang teruk. Walaupun cukup wang tetapi tak pernah merasa cukup dan mempunyai impian cita-cita melebihi keupayaannya sendiri.

Kenapa saya kata demikian? Kita boleh memilih untuk bercita-cita menjadi seorang yang berjaya dan mencapai impian tanpa perlu bekerja keras siang malam setiap hari dan hujung minggu. Apa yang hanya perlu dilakukan adalah membuat bisnes sambilan.

Kerja Sambilan VS Bisnes Sambilan

Mungkin ada yang keliru, kerja sambilan dan bisnes sambilan adalah berbeza dari segi usaha. Kerja sambilan perlukan usaha yang keras, bisnes sambilan boleh dilakukan dengan usaha yang sedikit. Bisnes apa yang boleh buat kita dapat banyak wang dengan usaha yang sedikit. Dari awal tadi saya dah sebut, bisnes sambilan untuk diri sendiri.

Kita cari cara bagaimana untuk mengurangkan perbelanjaan untuk perkara yang masih sama kita lakukan seperti sebelumnya. Kita masih boleh membeli belah seperti biasa tanpa perlu berjimat. Kalau berjimat kita akan kurangkan perbelanjaan. Kita masih berbelanja untuk perkara dan jumlah pembelian yang sama tetapi membayar dengan harga yang rendah.

Dengan cara itu kita boleh menghasilkan lebihan wang daripada gaji yang kita dapat setiap bulan. Setiap tahun gaji kita akan meningkat. Setiap tahun juga kita akan mendapat bonus dan bantuan kewangan daripada majikan. Jika kita layak menerima bantuan seperti STR atau E-wallet Rahmah misalnya, kita akan mendapat lebih banyak lagi lebihan wang.

Menjana Wang Dengan Wang Lebihan Pendapatan

Lebihan wang inilah yang akan kita simpan sebagai modal teroka yang boleh digunakan untuk menjana lebih banyak wang. Ada banyak cara yang boleh kita gunakan untuk menyimpan wang tersebut daripada tidak dapat apa-apa. Kita boleh buka akaun simpanan emas digital, buka akaun simpanan dengan pulangan harian.

Setiap tahun harga emas semakin meningkat dengan kadar 15% sehingga 20%. Menyimpan emas bermakna kita menyimpan wang di dalam emas tersebut. Akaun simpanan pulangan harian pula bukan saja memberi kadar keuntungan sehingga 3.5% setahun, kita boleh keluarkan wang tersebut bila bila masa sekiranya ada tawaran lain yang lebih menarik untuk kita simpan dan menjana keuntungan.

Ataupun sekiranya kita mahu belajar ilmu pelaburan saham, kita boleh guna platform pelaburan saham yang boleh menjana pulangan antara 20% hingga 30% setahun. Kita simpan wang di dalam platform tersebut sama seperti kita menyimpan wang untuk pelaburan saham ASB.

Ada banyak platform pelaburan saham secara online. Tetapi perlu lebih berhati-hati, kerana tidak semuanya memberi jaminan. Kena lebih banyak buat kajian sendiri dan tahu membezakan antara platform pelaburan sebenar dan platform skim cepat kaya.

Menjana Wang Dengan Idea dan Wang Orang Lain

Selain daripada itu, kita boleh guna cara menggunakan idea dan wang orang lain untuk menghasilkan wang sendiri. Dengan teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin canggih semua ini boleh dilakukan secara sambilan sahaja. Tak perlu sepenuh masa dan guna tenaga kerja yang banyak. Inilah kelebihan teknologi maklumat.

Saya bagi contoh bagaimana boleh buat wang menggunakan idea dan wang orang lain. Kita boleh guna platform media sosial TikTok dan Shoppe untuk menjana wang. Bukannya sebagai penjual di platform tersebut, tetapi hanya sebagai pengguna atau pemilik akaun. Bagaimana nak buat? Lain kali saja saya ceritakan.

Bisnes Sewa Smartphone

Kalau orang kaya atau orang yang banyak wang, mereka akan bina beberapa rumah sewa untuk menjana pendapatan. Ada pula yang membeli beberapa buah kereta untuk disewa. Mereka akan menjana pendapatan yang banyak supaya boleh menambah rumah atau kereta sewa dengan lebih banyak lagi. Ataupun mereka boleh bangunkan bisnes yang lain pula.

Tetapi bagi kita yang tak berapa nak kaya, masih lagi dalam kemiskinan tapi sedang berusaha untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Kita boleh menyewa beberapa buah telefon bimbit untuk menjana pendapatan. Tak perlu beli telefon mahal, janji ada data yang banyak dan boleh guna internet.

Apa yang boleh kita dapat daripada sewaan telefon tersebut? Kita tak perlu serahkan telefon tersebut kepada orang lain, sebaliknya setiap buah telefon tersebut dapat memberi perkhidmatan kepada lebih ramai orang yang akan membayarnya kepada kita.

Adakah menyewa telefon bimbit ini sebuah bisnes untuk orang lain? Tak, ia adalah bisnes untuk diri kita sendiri. Kerana kita membeli dan menggunakan telefon bimbit itu untuk diri sendiri tetapi kita guna peluang untuk menggunakan idea dan wang orang lain untuk menghasilkan wang dengan menggunakan telefon bimbit. Kita kena cari orang lain yang akan membayarnya untuk kita.

Misi Yang Tidak Mustahil

Dengan semua cara ini, adalah tidak mustahil untuk mencapai MISI RM10,000 pertama dalam tempoh masa kurang daripada setahun. Kita menggunakan pendapatan daripada gaji kita untuk menjana wang dengan lebih banyak. Kita menggunakan wang lebihan daripada bonus dan bantuan yang layak kita terima.

Selepas berjaya menghasilkan RM10,000 pertama, menghasilkan RM10,000 seterusnya akan menjadi lebih mudah dan semakin singkat. Kita jangan cakap tentang RM100,000 pertama atau RM1 juta pertama dahulu. Ikut kemampuan yang ada. Apabila sudah ada sedikit demi sedikit kemampuan terbina barulah kita boleh fikir untuk mencapai RM100,000 pertama pula.

Begitulah caranya bagaimana seseorang itu boleh menjadi kaya. Mereka ada MISI yang jelas dan mereka tahu bagaimana cara untuk melakukannya. Jadi, apa MISI kita seterusnya?

Khamis, 25 April 2024

Segitiga B-I Sebagai Pekerja


Jangan Bersedih Jika Tak Dihargai dan Dihormati

B-I itu apa? B itu adalah 'bussines owner' atau pun 'big boss'. I pula adalah 'investor' atau pelabur. Saya tak nak cerita dari sudut bisnes atau pelaburan apa yang perlu kita buat.

Apa yang saya nak ceritakan disini adalah bagaimana kita sebagai seorang pekerja kuli, pekerja yang tak pernah dihargai dan dipandang hormat boleh menjadi seorang yang menghargai diri sendiri dan menghormati diri.

Secara psikologi, apabila kita rasa tidak dihargai dan dihormati, kita akan rasa terhina, kita akan mula rasa hendak membenci orang lain. Apabila situasi ini terjadi secara berterusan, akan mengganggu fikiran kita, dan boleh menyebabkan gangguan mental dan jiwa.

Sigitiga B-I Membina Keyakinan Diri

Tetapi dengan ilmu yang kita telah pelajari, kita boleh mengatasi gangguan fikiran dan mental ini akibat situasi sekeliling dan kedudukan kita yang tidak membantu dan menyokong kita untuk menjadi lebih bersemangat dan berkeyakinan diri.

Ilmu segitiga B-I ini mengajar kita bagaimana untuk buat hal sendiri dengan bisnes tanpa peduli apa kata orang sekeliling. Bagaimana kita boleh mula melabur dengan ilmu dahulu untuk bangun dan maju ke hadapan. Kita hargai diri dahulu sebelum menghargai orang lain, kita hormati diri sendiri dahulu sebelum menghormati orang lain.

Dengan menjadi seorang 'bussines owner'ataupun seorang 'big boss', kita akan lebih yakin untuk membuat keputusan yang tidak merugikan diri sendiri. Walaupun kita pada pandangan orang lain hanya seorang pekerja bawahan atau kuli, kita boleh mengatakan 'tidak' kepada sesiapa yang tidak menghargai kita dan tidak ada rasa hormat pada kita.

Dengan menjadi seorang 'investor' atau pelabur pula kita juga akan lebih yakin untuk membuat keputusan yang tidak merugikan diri sendiri. Apa yang kita akan laburkan? Kita akan melabur sesuatu nilai yang baik bagi perkara yang baik.

Segitiga B-I Mencipta dan Mengubah Suasana

Kalau orang lain baik pada kita, kita akan 2x lebih baik kepada mereka. Kita hormati orang lain dahulu baru lah orang akan hormat kita. Kalau orang lain tak ada rasa hormat pada kita, tinggalkan saja kerana tiada keuntungan apa pun sekiranya kita membenci dan bertelagah dengan mereka.

Apabila menjadi seorang pelabur nilai, kita tak ada apa-apa kepentingan pun ke atas apa jua kebaikan yang kita lakukan. Kerana kita hendak menjaga hati diri sendiri, membentuk fikiran yang positif dan tenang untuk diri sendiri.

Jika orang lain tidak peduli, tidak mahu menghargai kita, tidak ada rasa hormat pada kita, buat saja hal sendiri. Buat apa yang kita suka untuk perkara yang boleh memberi manfaat dan keuntungan kepada kita. Kita tak ada masa nak layan perasaan benci, sakit hati, tersinggung dan apa saja yang boleh mengganggu fikiran kita.

Segitiga B-I Memperbaiki Kedudukan Peribadi

Ini adalah dari sudut kita sebagai seorang pekerja bawahan dan kuli dalam sebuah organisasi yang majoritinya adalah dari kalangan mereka yang berjawatan dan berkedudukan tinggi. Mungkin di lain waktu saya akan ceritakan dari sudut kehidupan peribadi kita.

Bagaimana hendak mengubah masa depan kita daripada seorang yang kehidupan hari-hari selalu susah dan sempit dalam kedudukan kewangan. Tidak pernah cukup wang dan sentiasa risau dengan keadaan ekonomi yang menekan perbelanjaan harian kita dan keluarga di rumah.

Rabu, 24 April 2024

Hasil Daripada Ilmu Pelaburan

Bercakap Dengan Ilmu

Sebenarnya apa yang boleh saya dapat daripada ilmu pelaburan ini? Adakah ia sekadar teori atau pandangan sahaja? Apabila kita bercakap tentang sesuatu kita mesti sedar dan tahu apa yang kita cakap. Ini yang dikatakan bila bercakap mesti guna otak, fikir dulu sebelum menulis. Baru kita akan menulis sesuatu yang boleh memberi pelajaran berguna.

Antara apa yang saya boleh dapat daripada ilmu pelaburan ini adalah :

1. Saya boleh tahu pelaburan apa yang boleh dapat banyak wang atau menghasilkan banyak wang. Ada beza antara keduanya, dapat banyak wang apabila membeli dan menyimpan ia sebagai aset contohnya emas. Menghasilkan banyak wang adalah apabila membeli dan dilabur semula bagi menghasilkan wang berkali-kali contohnya saham Ekuiti US. Contoh contoh ini adalah daripada apa yang saya sendiri buat dan bukannya teori.

2. Saya tahu membezakan platform pelaburan mana yang menguntungkan dan merugikan. Yang menguntungkan apabila caj dikenakan lebih murah, boleh pilih sendiri aset pelaburan yang sangat menguntungkan dan bebas untuk jual beli saham apa yang kita mahu. Saya tahu sebab saya pernah rugi membeli saham yang saya tak bebas memilih untuk dimasukkan ke dalam portfolio pelaburan saham saya dan caj membeli, menjual saham dan mengeluar wang dalam akaun pelaburan pula agak tinggi. Ini adalah masalahnya bila berurusan dengan agensi pelaburan tempatan di Malaysia, semuanya nak cekik darah dengan menjadi orang tengah.
3. Saya boleh memilih saham yang boleh membuat untung sehingga 30% setahun berbanding saham yang hanya 5.25% saja kalau saya memilih saham ASB atau 15% saham Bank Rakyat. Bagaimana saya boleh dapat angka 30% ini? Apabila saya mahu menjadi seorang pelabur dalaman, saya mahu lebih banyak maklumat yang diperlukan sebelum membuat keputusan memilih saham tersebut.

4. Ilmu pelaburan ini sangat luas, bukan hanya tentang emas dan saham sahaja. Dengan ilmu ini saya sudah tahu bagaimana hendak melabur idea untuk menjana keuntungan dengan menggunakan idea orang lain. Semua orang tahu tentang Shoppe, idea shoppe adalah menjual secara online dan mendapatkan lebih banyak pembeli. Tetapi idea saya tidak perlu menjual, saya hanya menggunakan apa yang boleh menjadikan wang daripada menggunakan Shoppe. Setakat ini saya mampu menghasilkan wang lebihan sehingga RM200 tanpa modal. Jumlah ini akan terus bertambah.

5. Dengan idea pelaburan daripada platform kewangan sedia ada juga saya boleh menghasilkan pulangan harian dengan kadara tahunan sehingga 3.45% menggunakan simpanan wang yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dalam masa nyata tanpa perlu tunggu 2-3 hari nak keluarkan wang tersebut dari akaun simpanan pelaburan. Apabila ada keperluan kecemasan saya boleh dengan segera mengeluarkannya. Tapi jika tidak ada keperluan saya simpan sajalah untuk mendapat pulangan harian yang lebih tinggi secara berterusan.

6. Ilmu pelaburan ini juga membolehkan saya tahu membuat perbelanjaan ke atas pelaburan masa depan. Saya tak boros berbelanja, sesuka hati nak belanja tapi hasilnya tiada. Saya tahu bila masanya saya perlu membuat hutang yang baik supaya tidak perlu membayar cukai pendapatan. Tidak perlu menyimpan bil dan resit perbelanjaan yang banyak untuk mendapatkan semula cukai yang telah dibayar. Cukup hanya dengan penyata tahunan jadual pembayaran hutang. Tetapi dengan hutang tersebut saya boleh membuat lebih banyak wang dengan pelaburan ke atas simpanan emas, saham dan idea untuk menghasilkan wang dengan percuma.

Belajar Ilmu Pelaburan Secara Berterusan

Rasanya cukup setakat ini dulu apa yang saya dapat daripada belajar ilmu tentang pelaburan, tentang kewangan, aset, liabiliti dan hutang. Saya masih perlu untuk belajar dengan lebih banyak dan juga menimba pengalaman sendiri dengan lebih banyak dalam dunia pelaburan sebenar.

Dalam pembelajaran ilmu pelaburan ini, saya tak perlukan modal sampai berpuluh beratus ribu pun untuk memulakannya. Saya dahulu hanya bermula dengan RM10 membeli emas, kemudian RM100, seterusnya saya menyimpan wang daripada lebihan wang yang saya boleh dapat secara percuma setiap bulan ke dalam akaun simpanan pelaburan. Keuntungannya nanti saya tambah ke dalam akaun pelaburan saham yang memberi pulangan sehingga 30% setahun.

Sehinggalah nanti pada satu tahap saya mampu untuk menyimpan dan melabur dengan lebih banyak apabila mampu memperoleh keuntungan yang semakin banyak untuk dilaburkan semula ke dalam lebih banyak lagi saham yang memberi keuntungan berganda. Apa yang penting saya mesti tahu bagaimana melakukanya dan di mana saya boleh melakukannya. Semua hal itu saya kena belajar, bukannya mengeluh dan meroyan menyalahkan pihak lain yang menyebabkan saya miskin dan hidup susah tak cukup wang akibat harga barang naik, cukai naik, semua naik.

Selasa, 23 April 2024

Kuadran Pekerjaan E-S-B-I


Idea Tentang Perubahan Pekerjaan 

Berubah kuadran pekerjaan ESBI satu persatu adalah satu cara untuk mengubah masa depan diri kepada menjadi lebih baik. Kita tak akan terperangkap dalam satu atau dua pekerjaan saja dalam satu tempoh yang lama. Bagi setiap kuadaran pekerjaan itu mempunyai satu jangka masa yang berbeza untuk berubah. 

Kita mungkin akan berada terlalu lama dengan keadaan yang miskin, susah dan gaji cukup makan dalam pekerjaan sebagai pekerja biasa E. Apabila menjadi seorang specialist S, seorang dengan jawatan yang baik, dapat melakukan perubahan yang cepat kerana mampu menambah baik kehidupan dengan gaji yang tinggi.

Apabila seseorang itu berubah menjadi big boss atau business owner B, perubahan hidupnya akan menjadi lebih pantas kerana dia mampu melakukan sesuatu yang boleh menghasilkan lebih banyak wang selain gaji. Dengan kedudukan kewangan yang semakin baik, seorang bisnes owner ini akan menjadi pelabur untuk mencipta lebih banyak bisnes yang menguntungkan. Ini membolehkannya menjadi seorang jutawan dan dapat membantu lebih ramai orang dalam mengubah kehidupan mereka dan melakukan kerja-kerja kebajikan sosial bagi mengekalkan kekayaannya.

Bertanggungjawab Sebagai 'Employer' - E

  1. Terus bekerja seperti biasa tetapi ubah mentaliti bekerja walaupun hanya seorang pekerja biasa bergaji rendah dan hanya mengikut arahan majikan dan rutin kerja harian. Ini adalah risiko yang perlu ditanggung apabila tidak ada kelayakan kelulusan tinggi untuk mempunyai jawatan atau pekerjaan yang lebih baik.
  2. Tak perlu bertelagah dengan majikan atau dengan pekerja yang lain. Bekerja dengan tenang dan seronok. Bincang dengan baik jika ada masalah. Runding elok-elok jika ada perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di tempat kerja.
  3. Menjadi pekerja bawahan biasa selalunya dipandang rendah dan tidak begitu dihargai oleh mereka yang berpangkat atau bergred tinggi. Tetapi tidak mengapa, kita perlu berusaha mengubah keadaan dan situasi cara kita bekerja. Apa yang penting setiap hujung bulan kita dapat terima gaji.
Berusaha Menjadi Seorang 'Specialist' - S
  1. Bekerja untuk menimba lebih banyak pengalaman, meningkatkan kemahiran selain daripada kerja yang dilakukan, belajar kepimpinan mengurus aktiviti kerja. Ini akan menjadikan kita sebagai seorang 'Specialist' walaupun tidak ada pengiktirafan.
  2. Cuba belajar untuk bekerja secara berpasukan, mencipta misi bekerja dan mencapai misi tersebut secara berpasukan. Ini akan menjadikan kita sebagai seorang 'Super Star' di tempat kerja. Menjadi seorang pekerja yang dikenali ramai dan staf lain tidak segan untuk menegur dan membantu.
  3. Misi pekerjaan akan meliputi manfaat daripada faedah kewangan dan pulangan dalam bentuk lain yang menguntungkan semua pihak. Walaupun cuma pekerja bawahan tidak ada kelulusan tinggi, yang ada jawatan dan pangkat tinggi akan mula ada rasa hormat dan menghargai kita secara tidak langsung.
  4. Kepuasan bekerja bukan hanya akan menyelesaikan kerja atau masalah dalam kerja sendiri, malah juga kepuasan dapat membantu menyelesaikan masalah pekerja lain dalam organisasi dan masyarakat sekeliling.
  5. Misi bekerja sebagai tanggungjawab untuk diri sendiri dan juga tanggungjawab sosial. Bermaksud tanggungjawab untuk menyara hidup diri sendiri serta keluarga dan tanggungjawab untuk melaksanakan amanah bagi memudahkan urusan kehidupan anggota dalam masyarakat.
Berubah Menjadi 'Big Bos' dan 'Bussines Owner' - B
  1. Walau bagaimanapun, terlalu rajin bekerja tidak baik untuk masa depan diri sendiri dan ia akan merugikan jika pengorbanan masa dan tenaga kerja tidak setimpal dengan apa yang diterima. Apa yang boleh kita harap jika hanya seorang pekerja bawahan.
  2. Kita akan menjadi hamba wang yang tidak seberapa tetapi risiko bekerja dengan menanggung beban terlalu banyak dan berat boleh mengancam kesihatan fizikal dan mental peribadi.
  3. Belajar untuk menjadi seorang 'Big Boss' dan 'make your own bussines'. Ini adalah untuk kita menghargai diri sendiri. Menjadikan diri kita sebagai seorang yang ada nilai yang tinggi. Kita akan membayar kepada diri sendiri.
  4. Walaupun hanya sebagai seorang pekerja bawahan yang tidak ada masa depan untuk naik pangkat atau gred yang lebih tinggi bagi mendapat peluang menerima gaji yang lebih tinggi, jangan biarkan diri kita menjadi seorang hamba.
  5. Seorang 'Big Boss' tidak perlu bekerja keras atau membuat kerja sambilan untuk menambah pendapatan dan mendapat penghormatan daripada pekerja lain. 
  6. Seorang 'Big Boss' hanya perlu membuat bisnes sambilan di luar waktu kerja, bisnes sendiri yang tidak sepenuh masa dan tidak mengganggu tugas dan tanggungjawabnya sebagai pekerja yang dibayar gaji tetap.
  7. 'Big Boss' di tempat kerjanya adalah seorang pekerja biasa saja dan dia mungkin juga seorang specialist yang tidak diiktiraf. Tetapi akan dicari untuk menyelesaikan masalah kerja yang pekerja lain tidak dapat selesaikan dengan baik dan sempurna.
  8. Tanggungjawab sebagai pekerja biasa dengan jawatan rendah yang dipegang tetap dilaksanakan dengan baik. Pada masa sama dengan adanya bidang 'specialist' yang dapat dilakukan akan tetap cuba membantu dan menolong tanpa berkira.
  9. Kita adalah 'Big Boss' kepada diri sendiri, dan bukannya kepada siapa-siapa. Biarlah pada mata orang lain kita cuma seorang hamba dan pekerja bawahan sahaja.
Berusaha Menjadi 'Investor' - I

  1. Kita perlu berusaha untuk menjadi seorang 'Investor' atau pelabur berjaya walaupun hanya seorang pekerja bawahan dan biasa-biasa di mata orang, kita akan melabur untuk masa depan, melabur masa untuk terus belajar dan menuntut ilmu yang bermanfaat bagi mengubah keadaan dan kehidupan kita supaya menjadi lebih baik.
  2. Melabur tenaga untuk menimba lebih banyak pengalaman, terus bekerja tanpa banyak bicara untuk membina hasil yang bermanfaat kepada semua orang.
  3. Melabur wang untuk mendapat pulangan yang lebih lumayan tanpa bergantung harap kepada gaji bulanan dan belas ehsan orang lain apabila kesempitan wang semasa ditimpa masalah.
  4. Seorang Investor juga perlu mencipta lebih banyak idea supaya dapat menjadi satu pelaburan yang menguntungkan dan mampu membina sebuah kekayaan baru.
  5. Seorang Investor akan cuba melihat lebih banyak penyata kira-kira bagi menilai sesuatu pelaburan, adakah ia boleh mendatangkan keuntungan atau kerugian.
  6. Seorang Investor yang baik tidak hanya melihat penyata kira-kira dalam bentuk wang semata-mata, ia juga akan dilihat dari segi sikap, nilai budi pekerti, kesopanan, adab dan budi bahasa serta tutur bicara.
  7. Seorang Investor atau pelabur dalaman akan mengambilkira faktor dalaman seseorang atau sesuatu perkara bagi menentukan adakah kerjasama boleh diteruskan dan bersama-sama mencapai keuntungan yang boleh dikongsi dan dinikmati bersama.
  8. Di tempat kerja kita sebagai seorang pekerja bawahan akan menjadi seorang investor seperti yang dinyatakan di atas. Apabila di luar tempat kerja kita akan menjadi seorang investor dalam bentuk yang lain pula.
  9. Mungkin di luar tempat kerja atau selepas waktu bekerja kita boleh menjadi seorang investor dalaman yang mampu menjana pendapatan dan pulangan yang tinggi untuk meningkatkan lagi taraf hidup keluarganya dan dapat menolong masyarakat melalui kekayaan yang dibangunkan.
  10. Pelaburan dalaman yang baik oleh seorang pekerja bawahan akan mengubah dirinya sebagai seorang yang ada harga dan nilai diri. Dia tak perlu bercakap tentang pencapaiannya, orang yang melihatnya akan bercakap dan bertanya bagaimana dia mampu mencapai tahap kejayaan tersebut tanpa perlu menunjuk harta apa yang dia ada dan harta apa yang dia pakai.

Ahad, 21 April 2024

Penyata Kewangan Peribadi


Apa Itu Penyata Kewangan

Orang bisnes mesti tahu apa itu penyata kewangan. Tetapi ini bukan cerita pasal bisnes, ini adalah cerita pasal bagaimana menggunakan penyata kewangan untuk kemudahan menjana sumber pendapatan baru. Penyata kewangan ini akan bermula dari punca pendapatan utama kita iaitu gaji yang diterima setiap bulan. Sekiranya anda seorang peniaga atau penjual, mesti asingkan wang pendapatan yang sepatutnya anda terima sebagai gaji selepas tolak kos dan modal perniagaan.

Sebelum kita boleh menjana sumber pendapatan baru, mesti ada maklumat yang cukup bukan sahaja kedudukan sebenar penyata kewangan kita, malah unjuran yang boleh dibuat ke atas kedudukan kewangan kita berdasarkan data yang diperolehi sebagai pembolehubah. Jika kedudukan kewangan kita stabil walaupun tidak seimbang dari segi perolehan aset dengan liabiliti yang ditanggung, tetapi perbelanjaan kita ke atas tanggungan itu mengikut jadual pembayaran yang tidak membebankan.

Kepentingan Penyata Kewangan Pendapatan Peribadi

Setiap punca kewangan kita mesti ada satu PENYATA KEWANGAN. Namun, kita perlu bermula dengan penyata kewangan untuk pendapatan utama kita iaitu gaji. Supaya boleh nampak dari mana ia masuk, ke mana ia dibelanjakan, untuk apa ia dibelanjakan. Dari situ akan tahu adakah kita boleh memiliki aset yang boleh memberi satu punca kewangan baru atau tanggungan yang memberi beban kewangan dan hutang baru.

Sekiranya kita ada tanggungan liabiliti yang banyak seperti hutang, kedudukan kewangan kita masih lagi stabil dan masih mampu untuk berbelanja ke atas aset baru selepas bayaran hutang mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Penyata kewangan ini dapat memberi maklumat dan data yang lengkap untuk kita ikuti dalam setiap perbelanjaan yang dilakukan. Jika ada hutang yang banyak, ikut saja jadual pembayaran asal atau buat jadual baru sekiranya jumlah bayaran hutang itu membebankan. Dengan membuat perbelanjaan ke atas aset dapat menghasilkan satu lagi sumber pendapatan baru daripada gaji yang diterima setiap bulan.

Mencipta Aset Baru dan Penyata Kewangannya

Selepas membayar hutang dan membuat kiraan wang untuk perbelanjaan yang akan dilakukan. Kita boleh tahu kemampuan sebenar kita untuk membeli aset baru yang boleh menjana sumber pendapatan yang baru. Bagaimana kita boleh mencipta aset baru? Apabila kita boleh menjana pulangan pendapatan sebanyak 3.5% setahun misalnya.

Aset baru ini perlu ada penyata kewangannya sendiri. Ia mesti berasingan daripada penyata kewangan pendapatan gaji kita. Bermakna kita akan ada dua penyata kewangan berbeza. Sekiranya kita mampu mencipta lebih banyak aset baru, maka setiap aset itu akan ada penyata kewangan masing-masing. Daripada penyata Kewangan ini, ia akan membuat kiraan berjadual dan berapa jumlah pulangan yang akan diperolehi. Dengan jadual ini kita boleh tahu unjuran pulangan yang boleh diterima. Kita hanya ikut jadual itu dengan membuat perbelanjaan untuk simpanan ke atas aset tersebut.

Contoh aset baru itu adalah seperti saham, bisnes, insurans, jualan hasil kebun, produk jualan dan sebagainya. Penyata kewangan yang lengkap bagi setiap aset termasuk gaji kita, akan memberi maklumat dan unjuran data yang lengkap supaya kita dapat mengikutinya bagi mendapatkan pulangan keuntungan yang dikehendaki untuk tempoh kiraan dalam sebulan dan setahun.

Penyata Kewangan Sebagai Petunjuk Ekonomi

Melalui penyata kewangan yang kita buat dari pendapatan gaji dan aset kita yang lain, ia akan menjadi petunjuk ekonomi untuk masa depan kita. Kita boleh tahu berapa jumlah pendapatan kita boleh bertambah dan tidak semata-mata bergantung kepada gaji bulanan sahaja. Begitu juga dalam pembayaran hutang, dengan pendapatan tambahan daripada aset lain ia boleh digunakan untuk membayar hutang dalam tempoh masa yang singkat. Kita boleh langsaikan hutang itu dengan lebih awal tanpa mengikut jadual.

Pastinya banyak kelebihan apabila kita boleh membayar habis hutang dalam tempoh singkat. Kita akan ada lebihan wang yang banyak untuk membeli aset atau menggunakan hutang yang baru bagi mencipta aset yang berdaya maju. Dengan aset tersebut mampu membayar hutang yang digunakan untuk menciptanya dan menjana lebihan wang selepas tolak bayaran hutang mengikut jadual.

Dengan penyata kewangan bagi setiap aset ini kita akan nampak gambaran awal dan tidak buta dalam melakukan sesuatu. Untung rugi semua sudah kita boleh jangka. Segalanya adalah dalam kawalan kita sendiri. Kewangan kita tak akan di kawal oleh orang lain. Inilah caranya bagaimana kita boleh menjadi seorang yang kaya raya.

Contoh Simpanan Sekuriti


Berikut adalah antara contoh Simpanan Sekuriti yang ramai orang mesti tahu dan ianya sangat dikenali ramai. Tetapi ramai tak tahu bagaimana hendak memanfaatkan Simpanan Sekuriti ini semaksima mungkin. Sebabnya ramai yang tak ada pelan perancangan yang jelas dalam simpanan ini.

  1. ASB - Amanah Saham Bumiputera
  2. SPN - Sijil Simpanan Premium Nasional
  3. Fix deposit bank - simpanan tetap akaun bank
  4. Unit Trust - dana simpanan pelaburan
  5. TNG GO+ - simpanan tetap pelaburan
  6. Insurans - simpanan tetap kecemasan
  7. Tabung Haji - simpanan tetap ibadah haji

Kebanyakan pulangan simpanan sekuriti di atas adalah antara 3%-7% setahun. Simpanan sekuriti ini terjamin dan selamat, tak perlu risau dan kita pasti akan dapat pulangan tersebut walaupun rendah. Rekod bersih selama berpuluh tahun simpanan sekuriti ini tak pernah rugi dan dijamin kerajaan walaupun berlaku penyelewengan oleh pihak pengurusannya.

Biarpun pulangan tahunannya rendah, kita perlu ada pelan untuk tambahan modal setiap bulan supaya jumlah pulangan simpanan sekuriti kita setiap tahun akan terus meningkat. Jangan terlalu bergantung kepada pulangan daripada pelaburan semula ke atas tambahan pulangan dari tahun sebelumnya untuk meningkatkan pulangan pada tahun seterusnya.

Selain daripada simpanan sekuriti di dalam negara, ramai orang biasa biasa yang mungkin tidak tahu akan adanya Simpanan Sekuriti luar negara yang boleh dibuka akaunnya di dalam negara. Untuk ini saya hanya boleh bagitahu antara sektor pelaburan yang ditawarkan selamat dan ada jaminan dalam akaun Simpanan Sekuriti peribadi kita.

  1. US Treasury Bill
  2. Global corporate bonds

Sektor diatas adalah yang paling conservatif, maksudnya boleh memberi jaminan pulangan sehingga 7% setahun. Yang menariknya pulangan ini adalah dalam nilai dolar US. Apabila ditukar kepada RM, sudah tentu lebih tinggi dengan kadar tukaran matawang USD1 = RM4.79 atau nilai dolar US adalah lebih tinggi sebanyak 4.79%. Kita akan dapat pulangan tambahan sebanyak 4.79% lagi apabila membuat pengeluaran pulangan dari Simpanan Sekuriti matawang US.

Kalau mahu simpanan sekuriti yang lebih agresif lagi tetapi masih stabil boleh simpan dalam sektor sekuriti berikut :

  1. Precious metals
  2. US Equities

Sektor ini pulangannya sehingga atau lebih daripada 20% setahun. Risikonya adalah tinggi tetapi tidaklah sampai rugi selagi kita tidak mengeluarkan simpanan sekuriti tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan untuk dapat mengaut keuntungan tersebut. Risiko adalah apabila kita membuat pengeluaran semasa nilainya masih jatuh atau negatif.

Tetapi strategi saya adalah 80% simpanan Sekuriti saya adalah yang memberi jaminan 100% pulangan bawah 7%. Manakala 20% lagi dalam simpanan Sekuriti agresif dengan pulangan yang dijanjikan lebih 20% setahun. 

Adakah simpanan Sekuriti yang agresif akan gagal? Ia tidak akan gagal. Mesti faham apa itu simpanan sekuriti. Sebuah simpanan yang dilindungi atau mendapat jaminan keuntungan sekiranya kita tidak mengeluarkannya dalam jangka masa yang boleh menghasilkan keuntungan. Kita mungkin tak akan dapat pulangan sehingga 20% setahun. 

Mungkin kita hanya dapat 15% saja, ataupun 10% saja. Ataupun mungkin kurang daripada 5%, lebih rendah dari simpanan sekuriti yang terjamin dapat 5%-7% setahun. Mungkin juga kita hanya akan dapat pulangan 10% atau 15% atau 20% itu dalam masa 3 tahun, atau lebih lama dari itu sehingga 5 tahun. Jadi, kita tak akan rugi selagi mampu bertahan terus menyimpan.

Topik ini amat mengelirukan, saya pasti ramai yang tak akan faham kerana ilmu dan maklumat ini mereka tak ada untuk dibaca dan difahami lanjut. Kalau nak belajar dalam kelas pelaburan tentang ilmu ini perlu keluar modal belanja kursus. Dalam media sosial banyak guru pelaburan ini yang menawarkan kelas bimbingan.

Tetapi disebabkan saya suka mengkaji sendiri, saya tak perlu modal untuk bayar dan hadir kelas guru pelaburan saham. Saya bermula dari scratch iaitu dari kepingan ilmu yang bertaburan di dalam media sosial, di dalam internet, di dalam buku dan juga di dalam kehidupan masyarakat sekeliling.

Rabu, 17 April 2024

Celik Kewangan



Salah Faham Tentang Celik Kewangan

Celik kewangan bukan bermaksud ada ilmu tentang kewangan. Bukan juga tentang ilmu pelaburan. Celik kewangan adalah perkara yang berbeza dengan ilmu kewangan dan pelaburan. Celik kewangan bukanlah seperti apa yang digambarkan di dalam gambarajah di atas, yang mendidik kita supaya menyimpan atau melabur wang di dalam tabung dan dana pelaburan sebagaimana yang disarankan.

Celik kewangan adalah apabila kita tahu dengan lebih terperinci dari mana kita dapat wang dan ke mana wang itu dibelanjakan. Celik bermaksud nampak dan mengetahui tentang sesuatu. Apabila melibatkan kewangan kita mesti tahu dari mana kita boleh dapatkan wang. Apabila sudah ada wang ditangan, kita mesti tahu pula bagaimana hendak membelanjakannya. Adakah perbelanjaan kita itu menanggung liabiliti atau perbelanjaan yang boleh memberi pulangan.

Pulangan itu pula boleh jadi ia adalah satu pendapatan lain, atau memberi pulangan tunai. Pulangan tunai akan memberi lebihan tunai yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain. Boleh jadi juga pulangan itu boleh memberi manfaat dan faedah dalam bentuk lain seperti pelepasan cukai, ganjaran mata pembelian atau point atau coins yang boleh ditebus dengan barangan lain dan potongan harga untuk pembelanjaan seterusnya.

7 Asas Pelaburan

Dalam celik kewangan versi yang saya ceritakan, akan melibatkan jenis-jenis pendapatan dan bagaimana pendapatan itu dibelanjakan untuk pelaburan. Pelaburan bukanlah aktiviti menyimpan wang dan menjana pendapatan semata-mata. Pelaburan wang adalah aktiviti membeli saham dan menjana wang dengan pulangan yang lumayan.

Kenali 7 asas pelaburan seperti berikut :

  1. Ada 3 jenis pendapatan - gaji, portfolio dan pasif.
  2. Tukar pendapatan dari gaji kepada portfolio dan pasif.
  3. Simpan pendapatan gaji dalam bentuk sekuriti.
  4. Diri sendiri boleh menjadi asset dan liabiliti.
  5. Sentiasa siap sedia dengan sebarang kemungkinan dalam pelaburan.
  6. Terus menimba ilmu dan pengalaman dalam asas pelaburan.
  7. Mampu menilai antara risiko dan ganjaran dalam pelaburan.
3 Jenis Pendapatan

Seorang yang celik kewangan mesti tahu jenis-jenis pendapatan yang boleh diperolehi. Ianya adalah daripada gaji atau upah pekerjaan, portfolio dalam saham pelaburan dan pendapatan pasif seperti komisen jualan atau pulangan harian daripada simpanan tetap dengan kadar 3.5% setahun. Pasti menarik bukan, simpan wang boleh dapat pulangan harian.

Menukar Pendapatan Gaji Kepada Pendapatan Portfolio dan Pasif

Bagi menyara kehidupan kita mesti bekerja dengan pendapatan tetap atau terima gaji setiap bulan. Kalau kita menjalankan bisnes, ambil sedikit keuntungannya sebagai gaji tetap bulanan. Seorang yang celik kewangan perlu tahu bagaimana menukar sebahagian daripada gajinya kepada portfolio saham dan pendapatan pasif. Ini bermakna kita mampu menghasilkan pendapatan lain selain daripada menerima gaji tetap bulanan.

Simpan Gaji Dalam Sekuriti

Apabila kita mahu menyimpan wang lebihan selepas ditolak daripada semua perbelanjaan isi rumah dan tanggungan seperti bayaran bil dan ansuran hutang, kita mesti tahu di mana hendak menyimpannya. Seorang yang celik kewangan akan menyimpan lebihan wang daripada gajinya dalam bentuk sekuriti. Apakah itu sekuriti? Sekuriti adalah instrumen kewangan seperti bon kerajaan, gadai janji, sukuk, reits, logam berharga seperti emas dan perak. Sekuriti juga adalah instrumen kewangan seperti gambarajah di atas.

Diri Sendiri Boleh Jadi Asset dan Liabiliti

Pelaburan itu sendiri tidak berisiko sekiranya ia diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM). Apa yang merisiko pelaburan itu adalah apabila kita sendiri yang tidak celik kewangan. Kita sendiri akan menjadi liabiliti kepada pelaburan tersebut dan akhirnya merugikan diri sendiri. Tetapi sekiranya celik kewangan, kita menjadi asset kepada sebuah pelaburan yang menguntung. Bagaimana boleh rugi? Apabila kita menjadi tamak dan hilang kawalan. Bagaimana boleh untung? Apabila kita tahu tentang selok belok pelaburan tersebut dan mampu mengawalnya dengan baik.

Siap Sedia Dengan Sebarang Kemungkinan

Sebagai seorang yang celik kewangan, kita akan sentiasa berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan. Bukan saja dalam pelaburan, malah dalam pendapatan yang kita terima setiap bulan dan juga pendapatan yang diperoleh melalui pulangan pelaburan. Misalnya, pengaruh iklan pinjaman dan ejen penjual kereta. Adakah perlu kita membuat pinjaman dan membeli kereta baru sekiranya kita masih lagi ada hutang lama yang belum langsai dan juga kereta lama yang masih boleh digunakan. Kita mesti tahu risiko menambah hutang dan melanjutkan semula hutang yang sepatutnya akan langsai tahun hadapan.

Jangan Berhenti Menimba Ilmu dan Pengalaman dalam Kewangan

Seorang yang celik kewangan akan sentiasa belajar untuk memahirkan lagi ilmu kewangannya termasuk dalam bidang pelaburan. Kita akan menimba banyak pengalaman daripada pembelajaran itu. Kita bukan hanya celik kewangan, malah sudah ada pengalaman daripada apa yang telah dipelajari. Kita sepatutnya sudah tahu bagaimana menggunakan sebahagian gaji bulanan untuk menghasilkan pendapatan daripada portfolio saham dan pendapatan pasif. Kita tak semata-mata hanya tahu tentang teori dari ilmu kewangan, kita buat dan melakukannya sendiri.

Mampu Menilai Risiko dan Ganjaran

Akhir sekali, seorang yang celik kewangan akan tahu menilai antara risiko dan ganjaran dalam perbelanjaan yang dilakukannya. Kita mesti tahu apa risiko membeli rokok, makanan manis atau membeli barangan tiruan. Kita mesti tahu apa ganjaran daripada membeli di kedai A berbanding kedai B, mesti tahu apa ganjaran membuka akaun Shoppe atau E-wallet TNG. Jika risiko terlalu banyak makan makanan manis adalah penyakit kencing manis, maka kurangkan membeli minuman bergas atau makanan bergula. Jika ganjaran membuka akaun Shoppe boleh menebus coins serta vouher untuk mengurangkan harga belian atau mendapatkan diskaun harga yang lebih murah.

Dalam pelaburan saham pula apa risikonya jika membeli saham menggunakan platform A berbanding platform B. Jika platform A mengenakan caj yang mahal berbanding platform B, maka platform A risikonya adalah pulangan yang rendah selepas dipotong caj mahal yang dikenakan. Manakala platform B pula ada ganjaran lain selain caj lebih murah, seperti kemudahan menukar asset dalam portfolio sedia ada tanpa sebarang caj tambahan.

Kesimpulannya

Banyak kelebihannya apabila kita seorang yang celik kewangan. Makna celik kewangan versi yang saya ceritakan adalah berbeza sama sekali daripada versi mereka yang menganggap diri mereka adalah pakar dalam bidang kewangan atau pelaburan. Versi celik kewangan yang saya ceritakan bukanlah direka-reka. Ia adalah hasil daripada bacaan lanjut dari sumber ilmu kewangan yang lebih terbuka dan luas, serta menimba pengalaman sendiri untuk belajar ilmu mengurus kewangan melalui pendapatan gaji, portfolio dan pasif. Ia bukan semata-mata teori, sebaliknya adalah belajar dengan cara membuat penerokaan sendiri menimba pengalaman.

Isnin, 15 April 2024

Menjadi "Specialist" Kewangan


Pekerja Biasa Bukan Biasa-biasa

Masalah kebanyakan pekerja biasa yang bergaji rendah dan bukan pegawai tinggi adalah lebih suka menjadi pekerja biasa-biasa saja. Mentaliti ini perlu diubah walaupun tak lagi berminat nak sambung belajar untuk jadi pegawai tinggi dengan gaji yang banyak. 

"Nanti kalau tunjuk mahir disuruh buat kerja itu kerja ini yang bukan dalam skop tugas". 

"Menambah kemahiran bermakna menambah beban kerja, bukannya menambah gaji".

Ayat di atas adalah antara luahan yang selalu saya dengar di tempat kerja. Malah ditujukan juga kepada saya sendiri kerana terlalu rajin dan menunjukkan kemahiran lain selain daripada bidang tugas. 

Kenyataan itu memang ada betulnya, pegawai atasan selalu mengambil kesempatan menggunakan kedudukannya apabila memberi arahan yang tidak berkaitan dengan skop tugas pegawai bawahan.

Apabila kita tidak bersuara lagi mereka suka, tapi tak bermakna kita mesti melawan apa yang diarahkan mereka. Kerja di luar bidang tugas adalah kerja sukarela, bukan hakiki. Jangan membiarkan ia menjadi satu kebiasaan pegawai atasan memberi arahan sesuka hatinya.

Menjadi Seorang Pekerja Berilmu 

Saya suka untuk bercerita daripada pengalaman sendiri bagaimana untuk membentuk mentaliti sebagai seorang pekerja yang memiliki ilmu dan kemahiran tinggi walaupun tidak ada sijil atau ijazah dalam bidang tersebut. 

Tetapi jangan biarkan diperguna sewenangnya. Kemahiran itu adalah untuk memudahkan saya menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian. Bukan hanya di tempat kerja, malah di luar tempat kerja banyak kegunaannya. 

Memohon pertolongan ada adab dan tatasusila nya. Walaupun kita seorang pegawai tinggi atau majikan, jangan guna kedudukan dan kuasa untuk memberi arahan tanpa perbincangan dan mendapat persetujuan. Kita saling hormat menghormati. Kalau mahu dihormati, hormat orang lain dulu walaupun dia pegawai bawahan.

Walaupun kita tak dibayar lebih atas kemahiran tersebut tidak mengapa, sifat dunia memang begitu. Hanya memberi pengiktirafan berdasarkan sijil dan ijazah semata-mata. Tapi kita boleh menjadi seorang yang mahir dengan belajar dan menerokai lebih banyak ilmu pengetahuan. 

Orang lain belajar tinggi-tinggi sebab nak ada pekerjaan yang bagus dan bergaji tinggi. Tetapi kita masih mahu belajar sesuatu ilmu yang bermanfaat untuk menyelesaikan masalah. Itu adalah hakikat supaya mempunyai masa depan kehidupan yang baik.

Pilih Laluan Lain Untuk Berjaya

Adalah tidak adil untuk kita jika nasib tak menyebelahi kita melanjutkan peluang pelajaran. Sedangkan kita ada potensi dan masih mahu belajar. Bukan tidak mahu belajar tinggi, kerana masalah peribadi, masalah keluarga, walaupun peluang itu ada, kita membuat pilihan untuk tidak mahu sambung belajar. Ada orang rela berkhidmat untuk ibubapa yang kurang sihat dan memerlukan sokongan penjagaan.

Hari ini apabila ibubapa sudah tiada, ke mana lagi tujuan kita. Nak sambung belajar dan bergaji tinggi? Apakah ada jaminan boleh bertukar pekerjaan dan dapat gaji tinggi. 

Di luar sana ada bukti kukuh apabila kita sudah sah dalam jawatan dan sambung belajar dalam bidang yang tak berkaitan dengan jawatan kita dengan harapan dapat pekerjaan lebih baik berakhir dengan kekecewaan.

Apabila usia semakin meningkat, komitmen masa depan kita semakin banyak, jiwa untuk sambung belajar itu tidak ada lagi. Banyak tanggungjawab lain akan terabai jika terus sambung belajar dan apa pilihan kita supaya masa depan kehidupan kita lebih terjamin.

Jaminan masa depan selalunya melibatkan kedudukan kewangan. Apabila menjadi pekerja biasa bergaji rendah sudah tentu kedudukan kewangan itu tidak sekukuh mereka yang bergaji dan berjawatan tinggi. Tetapi adakah ini satu pengakhiran untuk kita dan berserah kepada takdir dan nasib.

Risiko Tidak Cukup Wang 

Siapa yang bergaji rendah akan berdepan dengan risiko tidak cukup wang. Hari ini kita boleh rasa akibat daripada kenaikan harga barang berterusan, kadar faedah hutang dinaikkan, kadar cukai dinaikkan, kos minyak dan bayaran bil turut naik. Sedangkan kadar kenaikan gaji rendah dan lambat. Pekerja bergaji rendah yang lebih terkesan dengan situasi ini.

Bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah ini? Susun semula kedudukan kewangan dan buat perancangan untuk meningkatkan jumlah pendapatan walaupun gaji kita rendah. 

Jangan sampai terperangkap dengan skim cepat kaya. Ramai pegawai tinggi yang sudah berpencen menjadi mangsa penipuan seperti ini. Untuk berjaya dalam kewangan tidak ada jalan mudah, tetapi ia akan menjadi lebih mudah jika kita tahu formula kejayaan dalam bidang kewangan.

"Specialist" Kewangan 

Untuk menguasai formula dalam bidang kewangan, kita mesti belajar ilmu kewangan. Dalam ilmu itu kita akan belajar tentang matawang, aset, liabiliti dan hutang. Kita akan belajar teknik-teknik seperti compounding atau menggandakan wang menggunakan instrumen instrumen kewangan tertentu.

Kita akan belajar bagaimana melindungi nilai matawang melalui simpanan aset. Belajar tentang "strategic asset allocation" supaya kita dapat membina kekayaan. Belajar mengurangkan liabiliti dan menggunakan hutang untuk menghasilkan wang yang banyak.

Sebelum ada orang yang bertanya kenapa saya mahu belajar semua ini? Jawapannya semua sudah ada di atas. Sebab saya pekerja bawahan bergaji rendah, saya tak ada ijazah universiti untuk melayakkan saya menikmati gaji yang tinggi. 

Saya terpaksa berdepan dengan masalah tidak cukup wang, saya juga tak terlepas dari penipuan dan helah pihak tertentu walaupun dalam akaun bank saya tak ada puluhan ratusan ribu dan jutaan ringgit. Pihak ini lah yang merompak wang saya dalam keadaan sedar dan merelakan wang saya dipotong setiap bulan untuk bayar kereta mewah.

Apabila menjadi seorang specialist kewangan, kita akan menguasai kemahiran membina kekayaan dengan pelbagai cara dengan formula yang ringkas. Apa yang diperlukan hanyalah disiplin yang tinggi untuk mengikut perancangan yang telah ditetapkan. 

Beri masa untuk kita membuktikan kejayaan itu pada diri sendiri. Tak perlu tunjuk pada orang lain. Kekalkan gaya hidup sederhana. Tak payah beli kereta mewah, tak perlu bina istana. Jadilah orang biasa dan pekerja biasa yang bukan biasa-biasa. Walaupun tidak menunjukkannya kepada orang lain tetapi aura luar biasa itu dapat dirasai.

Perlu diingat sentiasa supaya lebih berhati-hati dalam perkataan dan perbuatan kita, jangan sampai menjadi orang yang sombong dan bongkak. Sentiasa menjadi seorang yang suka merendah diri. Tidak perlu menunjuk-nunjuk dan abaikan suara sumbang. Inilah pilihan perjalanan hidup kita. Hanya kita tahu apa yang terbaik untuk diri kita dan keluarga kita.