Rabu, 17 April 2024

Celik Kewangan



Salah Faham Tentang Celik Kewangan

Celik kewangan bukan bermaksud ada ilmu tentang kewangan. Bukan juga tentang ilmu pelaburan. Celik kewangan adalah perkara yang berbeza dengan ilmu kewangan dan pelaburan. Celik kewangan bukanlah seperti apa yang digambarkan di dalam gambarajah di atas, yang mendidik kita supaya menyimpan atau melabur wang di dalam tabung dan dana pelaburan sebagaimana yang disarankan.

Celik kewangan adalah apabila kita tahu dengan lebih terperinci dari mana kita dapat wang dan ke mana wang itu dibelanjakan. Celik bermaksud nampak dan mengetahui tentang sesuatu. Apabila melibatkan kewangan kita mesti tahu dari mana kita boleh dapatkan wang. Apabila sudah ada wang ditangan, kita mesti tahu pula bagaimana hendak membelanjakannya. Adakah perbelanjaan kita itu menanggung liabiliti atau perbelanjaan yang boleh memberi pulangan.

Pulangan itu pula boleh jadi ia adalah satu pendapatan lain, atau memberi pulangan tunai. Pulangan tunai akan memberi lebihan tunai yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain. Boleh jadi juga pulangan itu boleh memberi manfaat dan faedah dalam bentuk lain seperti pelepasan cukai, ganjaran mata pembelian atau point atau coins yang boleh ditebus dengan barangan lain dan potongan harga untuk pembelanjaan seterusnya.

7 Asas Pelaburan

Dalam celik kewangan versi yang saya ceritakan, akan melibatkan jenis-jenis pendapatan dan bagaimana pendapatan itu dibelanjakan untuk pelaburan. Pelaburan bukanlah aktiviti menyimpan wang dan menjana pendapatan semata-mata. Pelaburan wang adalah aktiviti membeli saham dan menjana wang dengan pulangan yang lumayan.

Kenali 7 asas pelaburan seperti berikut :

  1. Ada 3 jenis pendapatan - gaji, portfolio dan pasif.
  2. Tukar pendapatan dari gaji kepada portfolio dan pasif.
  3. Simpan pendapatan gaji dalam bentuk sekuriti.
  4. Diri sendiri boleh menjadi asset dan liabiliti.
  5. Sentiasa siap sedia dengan sebarang kemungkinan dalam pelaburan.
  6. Terus menimba ilmu dan pengalaman dalam asas pelaburan.
  7. Mampu menilai antara risiko dan ganjaran dalam pelaburan.
3 Jenis Pendapatan

Seorang yang celik kewangan mesti tahu jenis-jenis pendapatan yang boleh diperolehi. Ianya adalah daripada gaji atau upah pekerjaan, portfolio dalam saham pelaburan dan pendapatan pasif seperti komisen jualan atau pulangan harian daripada simpanan tetap dengan kadar 3.5% setahun. Pasti menarik bukan, simpan wang boleh dapat pulangan harian.

Menukar Pendapatan Gaji Kepada Pendapatan Portfolio dan Pasif

Bagi menyara kehidupan kita mesti bekerja dengan pendapatan tetap atau terima gaji setiap bulan. Kalau kita menjalankan bisnes, ambil sedikit keuntungannya sebagai gaji tetap bulanan. Seorang yang celik kewangan perlu tahu bagaimana menukar sebahagian daripada gajinya kepada portfolio saham dan pendapatan pasif. Ini bermakna kita mampu menghasilkan pendapatan lain selain daripada menerima gaji tetap bulanan.

Simpan Gaji Dalam Sekuriti

Apabila kita mahu menyimpan wang lebihan selepas ditolak daripada semua perbelanjaan isi rumah dan tanggungan seperti bayaran bil dan ansuran hutang, kita mesti tahu di mana hendak menyimpannya. Seorang yang celik kewangan akan menyimpan lebihan wang daripada gajinya dalam bentuk sekuriti. Apakah itu sekuriti? Sekuriti adalah instrumen kewangan seperti bon kerajaan, gadai janji, sukuk, reits, logam berharga seperti emas dan perak. Sekuriti juga adalah instrumen kewangan seperti gambarajah di atas.

Diri Sendiri Boleh Jadi Asset dan Liabiliti

Pelaburan itu sendiri tidak berisiko sekiranya ia diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM). Apa yang merisiko pelaburan itu adalah apabila kita sendiri yang tidak celik kewangan. Kita sendiri akan menjadi liabiliti kepada pelaburan tersebut dan akhirnya merugikan diri sendiri. Tetapi sekiranya celik kewangan, kita menjadi asset kepada sebuah pelaburan yang menguntung. Bagaimana boleh rugi? Apabila kita menjadi tamak dan hilang kawalan. Bagaimana boleh untung? Apabila kita tahu tentang selok belok pelaburan tersebut dan mampu mengawalnya dengan baik.

Siap Sedia Dengan Sebarang Kemungkinan

Sebagai seorang yang celik kewangan, kita akan sentiasa berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan. Bukan saja dalam pelaburan, malah dalam pendapatan yang kita terima setiap bulan dan juga pendapatan yang diperoleh melalui pulangan pelaburan. Misalnya, pengaruh iklan pinjaman dan ejen penjual kereta. Adakah perlu kita membuat pinjaman dan membeli kereta baru sekiranya kita masih lagi ada hutang lama yang belum langsai dan juga kereta lama yang masih boleh digunakan. Kita mesti tahu risiko menambah hutang dan melanjutkan semula hutang yang sepatutnya akan langsai tahun hadapan.

Jangan Berhenti Menimba Ilmu dan Pengalaman dalam Kewangan

Seorang yang celik kewangan akan sentiasa belajar untuk memahirkan lagi ilmu kewangannya termasuk dalam bidang pelaburan. Kita akan menimba banyak pengalaman daripada pembelajaran itu. Kita bukan hanya celik kewangan, malah sudah ada pengalaman daripada apa yang telah dipelajari. Kita sepatutnya sudah tahu bagaimana menggunakan sebahagian gaji bulanan untuk menghasilkan pendapatan daripada portfolio saham dan pendapatan pasif. Kita tak semata-mata hanya tahu tentang teori dari ilmu kewangan, kita buat dan melakukannya sendiri.

Mampu Menilai Risiko dan Ganjaran

Akhir sekali, seorang yang celik kewangan akan tahu menilai antara risiko dan ganjaran dalam perbelanjaan yang dilakukannya. Kita mesti tahu apa risiko membeli rokok, makanan manis atau membeli barangan tiruan. Kita mesti tahu apa ganjaran daripada membeli di kedai A berbanding kedai B, mesti tahu apa ganjaran membuka akaun Shoppe atau E-wallet TNG. Jika risiko terlalu banyak makan makanan manis adalah penyakit kencing manis, maka kurangkan membeli minuman bergas atau makanan bergula. Jika ganjaran membuka akaun Shoppe boleh menebus coins serta vouher untuk mengurangkan harga belian atau mendapatkan diskaun harga yang lebih murah.

Dalam pelaburan saham pula apa risikonya jika membeli saham menggunakan platform A berbanding platform B. Jika platform A mengenakan caj yang mahal berbanding platform B, maka platform A risikonya adalah pulangan yang rendah selepas dipotong caj mahal yang dikenakan. Manakala platform B pula ada ganjaran lain selain caj lebih murah, seperti kemudahan menukar asset dalam portfolio sedia ada tanpa sebarang caj tambahan.

Kesimpulannya

Banyak kelebihannya apabila kita seorang yang celik kewangan. Makna celik kewangan versi yang saya ceritakan adalah berbeza sama sekali daripada versi mereka yang menganggap diri mereka adalah pakar dalam bidang kewangan atau pelaburan. Versi celik kewangan yang saya ceritakan bukanlah direka-reka. Ia adalah hasil daripada bacaan lanjut dari sumber ilmu kewangan yang lebih terbuka dan luas, serta menimba pengalaman sendiri untuk belajar ilmu mengurus kewangan melalui pendapatan gaji, portfolio dan pasif. Ia bukan semata-mata teori, sebaliknya adalah belajar dengan cara membuat penerokaan sendiri menimba pengalaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini