Ahad, 21 April 2024

Penyata Kewangan Peribadi


Apa Itu Penyata Kewangan

Orang bisnes mesti tahu apa itu penyata kewangan. Tetapi ini bukan cerita pasal bisnes, ini adalah cerita pasal bagaimana menggunakan penyata kewangan untuk kemudahan menjana sumber pendapatan baru. Penyata kewangan ini akan bermula dari punca pendapatan utama kita iaitu gaji yang diterima setiap bulan. Sekiranya anda seorang peniaga atau penjual, mesti asingkan wang pendapatan yang sepatutnya anda terima sebagai gaji selepas tolak kos dan modal perniagaan.

Sebelum kita boleh menjana sumber pendapatan baru, mesti ada maklumat yang cukup bukan sahaja kedudukan sebenar penyata kewangan kita, malah unjuran yang boleh dibuat ke atas kedudukan kewangan kita berdasarkan data yang diperolehi sebagai pembolehubah. Jika kedudukan kewangan kita stabil walaupun tidak seimbang dari segi perolehan aset dengan liabiliti yang ditanggung, tetapi perbelanjaan kita ke atas tanggungan itu mengikut jadual pembayaran yang tidak membebankan.

Kepentingan Penyata Kewangan Pendapatan Peribadi

Setiap punca kewangan kita mesti ada satu PENYATA KEWANGAN. Namun, kita perlu bermula dengan penyata kewangan untuk pendapatan utama kita iaitu gaji. Supaya boleh nampak dari mana ia masuk, ke mana ia dibelanjakan, untuk apa ia dibelanjakan. Dari situ akan tahu adakah kita boleh memiliki aset yang boleh memberi satu punca kewangan baru atau tanggungan yang memberi beban kewangan dan hutang baru.

Sekiranya kita ada tanggungan liabiliti yang banyak seperti hutang, kedudukan kewangan kita masih lagi stabil dan masih mampu untuk berbelanja ke atas aset baru selepas bayaran hutang mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Penyata kewangan ini dapat memberi maklumat dan data yang lengkap untuk kita ikuti dalam setiap perbelanjaan yang dilakukan. Jika ada hutang yang banyak, ikut saja jadual pembayaran asal atau buat jadual baru sekiranya jumlah bayaran hutang itu membebankan. Dengan membuat perbelanjaan ke atas aset dapat menghasilkan satu lagi sumber pendapatan baru daripada gaji yang diterima setiap bulan.

Mencipta Aset Baru dan Penyata Kewangannya

Selepas membayar hutang dan membuat kiraan wang untuk perbelanjaan yang akan dilakukan. Kita boleh tahu kemampuan sebenar kita untuk membeli aset baru yang boleh menjana sumber pendapatan yang baru. Bagaimana kita boleh mencipta aset baru? Apabila kita boleh menjana pulangan pendapatan sebanyak 3.5% setahun misalnya.

Aset baru ini perlu ada penyata kewangannya sendiri. Ia mesti berasingan daripada penyata kewangan pendapatan gaji kita. Bermakna kita akan ada dua penyata kewangan berbeza. Sekiranya kita mampu mencipta lebih banyak aset baru, maka setiap aset itu akan ada penyata kewangan masing-masing. Daripada penyata Kewangan ini, ia akan membuat kiraan berjadual dan berapa jumlah pulangan yang akan diperolehi. Dengan jadual ini kita boleh tahu unjuran pulangan yang boleh diterima. Kita hanya ikut jadual itu dengan membuat perbelanjaan untuk simpanan ke atas aset tersebut.

Contoh aset baru itu adalah seperti saham, bisnes, insurans, jualan hasil kebun, produk jualan dan sebagainya. Penyata kewangan yang lengkap bagi setiap aset termasuk gaji kita, akan memberi maklumat dan unjuran data yang lengkap supaya kita dapat mengikutinya bagi mendapatkan pulangan keuntungan yang dikehendaki untuk tempoh kiraan dalam sebulan dan setahun.

Penyata Kewangan Sebagai Petunjuk Ekonomi

Melalui penyata kewangan yang kita buat dari pendapatan gaji dan aset kita yang lain, ia akan menjadi petunjuk ekonomi untuk masa depan kita. Kita boleh tahu berapa jumlah pendapatan kita boleh bertambah dan tidak semata-mata bergantung kepada gaji bulanan sahaja. Begitu juga dalam pembayaran hutang, dengan pendapatan tambahan daripada aset lain ia boleh digunakan untuk membayar hutang dalam tempoh masa yang singkat. Kita boleh langsaikan hutang itu dengan lebih awal tanpa mengikut jadual.

Pastinya banyak kelebihan apabila kita boleh membayar habis hutang dalam tempoh singkat. Kita akan ada lebihan wang yang banyak untuk membeli aset atau menggunakan hutang yang baru bagi mencipta aset yang berdaya maju. Dengan aset tersebut mampu membayar hutang yang digunakan untuk menciptanya dan menjana lebihan wang selepas tolak bayaran hutang mengikut jadual.

Dengan penyata kewangan bagi setiap aset ini kita akan nampak gambaran awal dan tidak buta dalam melakukan sesuatu. Untung rugi semua sudah kita boleh jangka. Segalanya adalah dalam kawalan kita sendiri. Kewangan kita tak akan di kawal oleh orang lain. Inilah caranya bagaimana kita boleh menjadi seorang yang kaya raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini