Isnin, 15 April 2024

Menjadi "Specialist" Kewangan


Pekerja Biasa Bukan Biasa-biasa

Masalah kebanyakan pekerja biasa yang bergaji rendah dan bukan pegawai tinggi adalah lebih suka menjadi pekerja biasa-biasa saja. Mentaliti ini perlu diubah walaupun tak lagi berminat nak sambung belajar untuk jadi pegawai tinggi dengan gaji yang banyak. 

"Nanti kalau tunjuk mahir disuruh buat kerja itu kerja ini yang bukan dalam skop tugas". 

"Menambah kemahiran bermakna menambah beban kerja, bukannya menambah gaji".

Ayat di atas adalah antara luahan yang selalu saya dengar di tempat kerja. Malah ditujukan juga kepada saya sendiri kerana terlalu rajin dan menunjukkan kemahiran lain selain daripada bidang tugas. 

Kenyataan itu memang ada betulnya, pegawai atasan selalu mengambil kesempatan menggunakan kedudukannya apabila memberi arahan yang tidak berkaitan dengan skop tugas pegawai bawahan.

Apabila kita tidak bersuara lagi mereka suka, tapi tak bermakna kita mesti melawan apa yang diarahkan mereka. Kerja di luar bidang tugas adalah kerja sukarela, bukan hakiki. Jangan membiarkan ia menjadi satu kebiasaan pegawai atasan memberi arahan sesuka hatinya.

Menjadi Seorang Pekerja Berilmu 

Saya suka untuk bercerita daripada pengalaman sendiri bagaimana untuk membentuk mentaliti sebagai seorang pekerja yang memiliki ilmu dan kemahiran tinggi walaupun tidak ada sijil atau ijazah dalam bidang tersebut. 

Tetapi jangan biarkan diperguna sewenangnya. Kemahiran itu adalah untuk memudahkan saya menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian. Bukan hanya di tempat kerja, malah di luar tempat kerja banyak kegunaannya. 

Memohon pertolongan ada adab dan tatasusila nya. Walaupun kita seorang pegawai tinggi atau majikan, jangan guna kedudukan dan kuasa untuk memberi arahan tanpa perbincangan dan mendapat persetujuan. Kita saling hormat menghormati. Kalau mahu dihormati, hormat orang lain dulu walaupun dia pegawai bawahan.

Walaupun kita tak dibayar lebih atas kemahiran tersebut tidak mengapa, sifat dunia memang begitu. Hanya memberi pengiktirafan berdasarkan sijil dan ijazah semata-mata. Tapi kita boleh menjadi seorang yang mahir dengan belajar dan menerokai lebih banyak ilmu pengetahuan. 

Orang lain belajar tinggi-tinggi sebab nak ada pekerjaan yang bagus dan bergaji tinggi. Tetapi kita masih mahu belajar sesuatu ilmu yang bermanfaat untuk menyelesaikan masalah. Itu adalah hakikat supaya mempunyai masa depan kehidupan yang baik.

Pilih Laluan Lain Untuk Berjaya

Adalah tidak adil untuk kita jika nasib tak menyebelahi kita melanjutkan peluang pelajaran. Sedangkan kita ada potensi dan masih mahu belajar. Bukan tidak mahu belajar tinggi, kerana masalah peribadi, masalah keluarga, walaupun peluang itu ada, kita membuat pilihan untuk tidak mahu sambung belajar. Ada orang rela berkhidmat untuk ibubapa yang kurang sihat dan memerlukan sokongan penjagaan.

Hari ini apabila ibubapa sudah tiada, ke mana lagi tujuan kita. Nak sambung belajar dan bergaji tinggi? Apakah ada jaminan boleh bertukar pekerjaan dan dapat gaji tinggi. 

Di luar sana ada bukti kukuh apabila kita sudah sah dalam jawatan dan sambung belajar dalam bidang yang tak berkaitan dengan jawatan kita dengan harapan dapat pekerjaan lebih baik berakhir dengan kekecewaan.

Apabila usia semakin meningkat, komitmen masa depan kita semakin banyak, jiwa untuk sambung belajar itu tidak ada lagi. Banyak tanggungjawab lain akan terabai jika terus sambung belajar dan apa pilihan kita supaya masa depan kehidupan kita lebih terjamin.

Jaminan masa depan selalunya melibatkan kedudukan kewangan. Apabila menjadi pekerja biasa bergaji rendah sudah tentu kedudukan kewangan itu tidak sekukuh mereka yang bergaji dan berjawatan tinggi. Tetapi adakah ini satu pengakhiran untuk kita dan berserah kepada takdir dan nasib.

Risiko Tidak Cukup Wang 

Siapa yang bergaji rendah akan berdepan dengan risiko tidak cukup wang. Hari ini kita boleh rasa akibat daripada kenaikan harga barang berterusan, kadar faedah hutang dinaikkan, kadar cukai dinaikkan, kos minyak dan bayaran bil turut naik. Sedangkan kadar kenaikan gaji rendah dan lambat. Pekerja bergaji rendah yang lebih terkesan dengan situasi ini.

Bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah ini? Susun semula kedudukan kewangan dan buat perancangan untuk meningkatkan jumlah pendapatan walaupun gaji kita rendah. 

Jangan sampai terperangkap dengan skim cepat kaya. Ramai pegawai tinggi yang sudah berpencen menjadi mangsa penipuan seperti ini. Untuk berjaya dalam kewangan tidak ada jalan mudah, tetapi ia akan menjadi lebih mudah jika kita tahu formula kejayaan dalam bidang kewangan.

"Specialist" Kewangan 

Untuk menguasai formula dalam bidang kewangan, kita mesti belajar ilmu kewangan. Dalam ilmu itu kita akan belajar tentang matawang, aset, liabiliti dan hutang. Kita akan belajar teknik-teknik seperti compounding atau menggandakan wang menggunakan instrumen instrumen kewangan tertentu.

Kita akan belajar bagaimana melindungi nilai matawang melalui simpanan aset. Belajar tentang "strategic asset allocation" supaya kita dapat membina kekayaan. Belajar mengurangkan liabiliti dan menggunakan hutang untuk menghasilkan wang yang banyak.

Sebelum ada orang yang bertanya kenapa saya mahu belajar semua ini? Jawapannya semua sudah ada di atas. Sebab saya pekerja bawahan bergaji rendah, saya tak ada ijazah universiti untuk melayakkan saya menikmati gaji yang tinggi. 

Saya terpaksa berdepan dengan masalah tidak cukup wang, saya juga tak terlepas dari penipuan dan helah pihak tertentu walaupun dalam akaun bank saya tak ada puluhan ratusan ribu dan jutaan ringgit. Pihak ini lah yang merompak wang saya dalam keadaan sedar dan merelakan wang saya dipotong setiap bulan untuk bayar kereta mewah.

Apabila menjadi seorang specialist kewangan, kita akan menguasai kemahiran membina kekayaan dengan pelbagai cara dengan formula yang ringkas. Apa yang diperlukan hanyalah disiplin yang tinggi untuk mengikut perancangan yang telah ditetapkan. 

Beri masa untuk kita membuktikan kejayaan itu pada diri sendiri. Tak perlu tunjuk pada orang lain. Kekalkan gaya hidup sederhana. Tak payah beli kereta mewah, tak perlu bina istana. Jadilah orang biasa dan pekerja biasa yang bukan biasa-biasa. Walaupun tidak menunjukkannya kepada orang lain tetapi aura luar biasa itu dapat dirasai.

Perlu diingat sentiasa supaya lebih berhati-hati dalam perkataan dan perbuatan kita, jangan sampai menjadi orang yang sombong dan bongkak. Sentiasa menjadi seorang yang suka merendah diri. Tidak perlu menunjuk-nunjuk dan abaikan suara sumbang. Inilah pilihan perjalanan hidup kita. Hanya kita tahu apa yang terbaik untuk diri kita dan keluarga kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini