Rabu, 24 April 2024

Hasil Daripada Ilmu Pelaburan

Bercakap Dengan Ilmu

Sebenarnya apa yang boleh saya dapat daripada ilmu pelaburan ini? Adakah ia sekadar teori atau pandangan sahaja? Apabila kita bercakap tentang sesuatu kita mesti sedar dan tahu apa yang kita cakap. Ini yang dikatakan bila bercakap mesti guna otak, fikir dulu sebelum menulis. Baru kita akan menulis sesuatu yang boleh memberi pelajaran berguna.

Antara apa yang saya boleh dapat daripada ilmu pelaburan ini adalah :

1. Saya boleh tahu pelaburan apa yang boleh dapat banyak wang atau menghasilkan banyak wang. Ada beza antara keduanya, dapat banyak wang apabila membeli dan menyimpan ia sebagai aset contohnya emas. Menghasilkan banyak wang adalah apabila membeli dan dilabur semula bagi menghasilkan wang berkali-kali contohnya saham Ekuiti US. Contoh contoh ini adalah daripada apa yang saya sendiri buat dan bukannya teori.

2. Saya tahu membezakan platform pelaburan mana yang menguntungkan dan merugikan. Yang menguntungkan apabila caj dikenakan lebih murah, boleh pilih sendiri aset pelaburan yang sangat menguntungkan dan bebas untuk jual beli saham apa yang kita mahu. Saya tahu sebab saya pernah rugi membeli saham yang saya tak bebas memilih untuk dimasukkan ke dalam portfolio pelaburan saham saya dan caj membeli, menjual saham dan mengeluar wang dalam akaun pelaburan pula agak tinggi. Ini adalah masalahnya bila berurusan dengan agensi pelaburan tempatan di Malaysia, semuanya nak cekik darah dengan menjadi orang tengah.
3. Saya boleh memilih saham yang boleh membuat untung sehingga 30% setahun berbanding saham yang hanya 5.25% saja kalau saya memilih saham ASB atau 15% saham Bank Rakyat. Bagaimana saya boleh dapat angka 30% ini? Apabila saya mahu menjadi seorang pelabur dalaman, saya mahu lebih banyak maklumat yang diperlukan sebelum membuat keputusan memilih saham tersebut.

4. Ilmu pelaburan ini sangat luas, bukan hanya tentang emas dan saham sahaja. Dengan ilmu ini saya sudah tahu bagaimana hendak melabur idea untuk menjana keuntungan dengan menggunakan idea orang lain. Semua orang tahu tentang Shoppe, idea shoppe adalah menjual secara online dan mendapatkan lebih banyak pembeli. Tetapi idea saya tidak perlu menjual, saya hanya menggunakan apa yang boleh menjadikan wang daripada menggunakan Shoppe. Setakat ini saya mampu menghasilkan wang lebihan sehingga RM200 tanpa modal. Jumlah ini akan terus bertambah.

5. Dengan idea pelaburan daripada platform kewangan sedia ada juga saya boleh menghasilkan pulangan harian dengan kadara tahunan sehingga 3.45% menggunakan simpanan wang yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dalam masa nyata tanpa perlu tunggu 2-3 hari nak keluarkan wang tersebut dari akaun simpanan pelaburan. Apabila ada keperluan kecemasan saya boleh dengan segera mengeluarkannya. Tapi jika tidak ada keperluan saya simpan sajalah untuk mendapat pulangan harian yang lebih tinggi secara berterusan.

6. Ilmu pelaburan ini juga membolehkan saya tahu membuat perbelanjaan ke atas pelaburan masa depan. Saya tak boros berbelanja, sesuka hati nak belanja tapi hasilnya tiada. Saya tahu bila masanya saya perlu membuat hutang yang baik supaya tidak perlu membayar cukai pendapatan. Tidak perlu menyimpan bil dan resit perbelanjaan yang banyak untuk mendapatkan semula cukai yang telah dibayar. Cukup hanya dengan penyata tahunan jadual pembayaran hutang. Tetapi dengan hutang tersebut saya boleh membuat lebih banyak wang dengan pelaburan ke atas simpanan emas, saham dan idea untuk menghasilkan wang dengan percuma.

Belajar Ilmu Pelaburan Secara Berterusan

Rasanya cukup setakat ini dulu apa yang saya dapat daripada belajar ilmu tentang pelaburan, tentang kewangan, aset, liabiliti dan hutang. Saya masih perlu untuk belajar dengan lebih banyak dan juga menimba pengalaman sendiri dengan lebih banyak dalam dunia pelaburan sebenar.

Dalam pembelajaran ilmu pelaburan ini, saya tak perlukan modal sampai berpuluh beratus ribu pun untuk memulakannya. Saya dahulu hanya bermula dengan RM10 membeli emas, kemudian RM100, seterusnya saya menyimpan wang daripada lebihan wang yang saya boleh dapat secara percuma setiap bulan ke dalam akaun simpanan pelaburan. Keuntungannya nanti saya tambah ke dalam akaun pelaburan saham yang memberi pulangan sehingga 30% setahun.

Sehinggalah nanti pada satu tahap saya mampu untuk menyimpan dan melabur dengan lebih banyak apabila mampu memperoleh keuntungan yang semakin banyak untuk dilaburkan semula ke dalam lebih banyak lagi saham yang memberi keuntungan berganda. Apa yang penting saya mesti tahu bagaimana melakukanya dan di mana saya boleh melakukannya. Semua hal itu saya kena belajar, bukannya mengeluh dan meroyan menyalahkan pihak lain yang menyebabkan saya miskin dan hidup susah tak cukup wang akibat harga barang naik, cukai naik, semua naik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini