Rabu, 31 Ogos 2022

Amalan Penulisan Jurnal

 

Menulis boleh menjadi satu hobi yang sangat berguna. Ia sebagai kaedah untuk menyampaikan sesuatu sama ada untuk diri sendiri mahupun orang lain. Menulis juga boleh menguatkan hujah kenapa perlu melakukan sesuatu perkara.

Menulis bukan hanya sebagai sebuah pandangan peribadi. Ia juga boleh menjadi sebuah kerangka kerja untuk mencapai sesuatu tujuan dan matlamat. Menulis juga dapat sentiasa memperingatkan diri tentang tujuan hidup, supaya tidak terpedaya dengan tipu helah dalam kehidupan. 

Faedah menulis jurnal

  1. Nampak perancangan dengan jelas. Untuk berjaya mesti tahu apa, kenapa dan bagaimana boleh melakukan sesuatu yang dirancang.
  2. Dapat mengetahui sebarang kelemahan.  Persiapkan diri untuk menghadapi apa jua kemungkinan yang tak dijangka.
  3. Halatuju hidup lebih teratur. Dengan panduan yang jelas tentang apa yang patut dilakukan supaya tidak mudah tersasar dari landasan yang telah dirangka.
  4. Perlaksanaan tindakan lebih sistematik. Dapat tahu apa yang perlu didahulukan dan dikemudiankan. Dapat memberi keutamaan apa yang penting daripada yang kurang penting.

2 kategori penulisan jurnal

  1. Pengetahuan peribadi.
  2. Perkongsian umum. 
Daripada merungut dan tidak berpuas hati dengan kehidupan, adalah lebih baik menulis sesuatu yang boleh membantu memperkembangkan potensi diri. Kategori pertama ini lebih bersifat peribadi, tulis lah apa jua yang disuka. Tak kira lah mahu mengkritik diri sendiri atau orang lain tetapi ia bukan untuk dibaca secara umum.

Mengkritik tentang kehidupan, masyarakat dan apa saja untuk membuka minda tentang hakikat sebenar kehidupan. Oleh kerana itu, kategori peribadi ini adalah rahsia. Tidak ada siapa pun boleh membacanya kerana mahu menjaga adab dan mengekalkan perhubungan yang baik. Jangan menimbulkan emosi yang akan membuatkan diri kita dibenci oleh orang lain.

Kritikan yang ditulis secara rahsia dan peribadi itu sebagai luahan tentang ketidakadilan yang berlaku dalam kehidupan nyata. Banyak perkara yang tak dapat dikawal dan diselesaikan kerana kita tidak melanjutkan untuk memikirkannya. Dengan luahan dalam bentuk penulisan tersebut kita dapat kenalpasti apa yang boleh dibuat untuk mengawal keadaan dan menyelesaikan masalah yang timbul dari perkara yang tidak dapat dikawal.

Adab dalam memberi pandangan umum

Apabila berada di khalayak umum, jaga aib orang lain dan jangan dedahkan aib diri sendiri. Dalam mana-mana penulisan adab ini perlu dijaga. Lebih-lebih lagi apabila menggunakan media sosial yang sangat popular dan ramai pengikutnya iaitu facebook. Ramai netizen tidak sedar diri apabila suka merungut dan tak puas hati dalam posting yang dibuat. Apabila memberi komen di dalam page Facebook, adab sopan hilang. Cerminan akhlak buruk terdedah melalui perkataan yang disampaikan.

Walaupun Facebook dapat merapatkan hubungan yang jauh dan menemukan kita dengan orang yang dikenali melalui dunia maya, kita tidak perlu ambil tahu tentang aib mereka sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Kita lupakan saja dan berhenti setakat itu saja. Jangan memanjangkannya dengan memikirkannya secara beremosi.

Banyak perkara yang boleh dikongsikan secara umum. Unsur-unsur pengetahuan perlu diterapkan tanpa emosi dalam penulisan umum. Penulisan begini adalah bersifat ilmiah. Iaitu menulis tentang perkara yang orang lain perlu tahu kenapa sesuatu perkara itu perlu disampaikan atau dibincangkan.

Menjadi seorang penulis blog

Blogger boleh dijadikan sebagai sebuah jurnal online untuk membuat catatan kehidupan secara 'on the go'. Boleh buat catatan sama ada melalui PC atau smartphone sahaja. Boleh buat jurnal bersifat ilmiah dengan perbincangan dan pandangan peribadi tentang sesuatu perkara untuk dikongsikan kepada orang lain.

Ada catatan yang bersifat diari, apa jua perkara yang berlaku di dalam kehidupan diceritakan secara tertib dan rahsia. Ada jalan ceritanya dan tidak seperti Facebook yang sekerat sekerat dan sukar dijejaki. Blogger mempunyai fungsi Link yang akan menghubungkait dari satu catatan ke satu catatan yang lain. 

Menulis merupakan satu aktiviti terapi minda. Luahkan apa yang terpendam di dalam hati dan pemikiran untuk melepaskan tekanan dalam keadaan terkawal dan tidak beremosi melampau. Ada perkara yang membuat kita beremosi, namun perlu diluahkan secara berhemah.

Menjadi penulis blog tidak akan menjadikan kita seorang yang popular dan dikenali ramai seperti mana media sosial Facebook dan TikTok. Di mana kita boleh mendapat lebih banyak perhatian dengan mewujudkan 'engagement' daripada apa yang kita catat. Juga tidak dapat menjana pendapatan lumayan seperti media sosial YouTube yang boleh berkongsi video dengan mendapatkan kelayakan iklan penaja.

Blog adalah tempat untuk pengikut yang suka dan rajin membaca serta berfikir. Ia tidak menghiburkan. Sebab itulah blog kurang popular kerana masyarakat kita lebih banyak berhibur daripada menuntut ilmu.

Ilmu daripada penulisan blog

Jika melalui YouTube boleh kongsi video tentang cara melakukan sesuatu sambil berbicara. Facebook pula berkongsi emosi dan perasaan melalui penulisan ringkas. Tetapi melalui blog boleh berkongsi ilmu dan idea dengan penulisan yang agak panjang tetapi padat supaya mudah difahami.

Apabila ada perkara yang terdetik di dalam hati dan terfikir di minda, kita akan mula sedar dan ingat. Ada antara perkara tersebut boleh menjadi sebuah idea. Supaya tidak lupa dan hilang begitu saja, ia perlu dicatat dan dikembangkan menjadi sebuah jurnal yang lengkap.

Kita akan dapat ilmu daripada apa yang ditulis dan juga apa yang kita fikirkan sendiri. Kita akan mula tahu perkara yang orang lain belum tahu dan kita mula tahu apa yang patut kita lakukan selepas berfikir tentang apa yang dikongsikan.

Jumaat, 5 Ogos 2022

Fokus Kepada Idea Penting

 

Mulakan sesuatu dengan fokus kepada idea, idea dapat mengurangkan kesilapan dan kegagalan. Idea juga dapat mencipta kejayaan. Idea boleh datang dengan cepat atau lambat. Jika idea itu datang dengan cepat mulailah bertindak sekarang. Kerana idea yang sama tidak akan datang lagi pada masa yang lain, dengan idea yang datang cepat ia boleh diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Idea boleh mencetuskan semangat untuk bertindak. Kerana idea itu selalunya mencadangkan sesuatu yang boleh memberi kemudahan dan kejayaan.

Idea yang boleh membawa kepada kejayaan

Apakah idea yang boleh memberikan kita kemudahan dan kesenangan? Memperbaiki hubungan dengan orang sekeliling. Memanfaatkan apa yang ada di sekeliling kita. Jika ia sesuatu yang tidak lengkap, tidak sempurna, kita perlu menyempurnakannya atau memperbaikinya. Idea ini adalah untuk menggunakan apa saja yang ada di sekeliling kita untuk mendapat manfaat serta kebaikan yang banyak tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Selain kos, kita boleh menghasilkan idea yang dapat menjimatkan masa dan tenaga kita dengan apa yang ada di sekeliling.  Kita tak perlu menunggu masa yang lama untuk mencapai sesuatu, semakin cepat sesuatu perkara itu dicapai semakin banyak ruang dan peluang untuk kita berjaya dalam banyak perkara. Kerana idea itu tujuannya adalah untuk memberi kemudahan dan kesenangan tanpa batasan.

 Idea utama yang dapat mencetuskan kejayaan masa depan

  1. Idea pengurusan ilmu dan maklumat 
  2. Idea pengurusan kewangan
  3. Idea pengurusan masa
  4. Idea penjagaan kesihatan

Terlalu banyak idea yang boleh dihasilkan untuk dilaksanakan. Tetapi tidak semua idea itu penting dan menjadi satu keutamaan. Maka itu kita perlu fokus kepada idea yang lebih penting dan menjadi satu keutamaan yang perlu diberi perhatian sepenuhnya. Fokus mendapatkan ilmu dan maklumat, menyampaikannya dan menyebarkannya akan memberi satu kelebihan untuk kita. Penguasaan terhadap ilmu dan maklumat hanya dapat dicapai apabila kita dapat memahaminya dan mengembangkan lagi pemahaman kita tentangnya.

Idea dalam penulisan

Membaca apa yang orang lain tulis tidak sama dengan memahami apa yang kita tulis. Apabila kita menulis, kita akan berfikir dahulu apa yang hendak kita tulis. Mencari perkataan dan ayat yang sesuai untuk ditulis. Menyusun ayat yang ringkas dan mudah untuk difahami. Dalam proses penulisan itu idea boleh tercetus tiba-tiba lalu kita akan menulis idea tersebut menjadi sebuah ayat. Tetapi dalam keadaan yang sebenar, kita lebih mengetahui dan memahami apa yang kita tulis berbanding dengan orang yang membaca apa yang kita tulis.

Banyak sumber ilmu dan maklumat yang boleh kita terokai dalam usaha mencari sebuah idea yang berkualiti, idea yang benar-benar dapat mengubah keadaan, memberi kemudahan dan kesenangan. Tidak semua idea itu penting dan boleh digunakan, maka kita perlu membuat penilaian dengan mendapatkan lebih banyak ilmu dan maklumat yang berkaitan, supaya idea itu dapat diperkembangkan dalam bentuk penulisan dan dihasilkan dalam bentuk tindakan perlaksanaan.

Idea pengurusan kewangan

Kenapa idea tentang kewangan itu sangat penting dan perlu menjadi antara fokus utama? Kerana wang itu sendiri datangnya daripada sebuah idea. Wang dicipta untuk memudahkan urusan jualbeli dan pertukaran barang serta perkhidmatan. Maka, kehidupan ini memerlukan idea tentang wang bagi memudahkan urusan kehidupan seharian.

Idea tentang aset membolehkan setiap benda dan perkara yang ada di sekeliling kita boleh dijadikan sebagai modal untuk menghasilkan wang atau menjimatkan wang. Penjimatan wang juga akan memastikan wang tak mengalir keluar dengan banyak. Apa yang kita perlukan masih lagi dapat diperolehi dengan kos yang rendah hanya dengan sebuah idea.

Pengurusan kewangan yang baik dapat membantu mengembangkan lagi idea. Dengan idea saja sekalipun mungkin masih lagi boleh dihasilkan tanpa wang. Tetapi, idea yang besar mungkin hanya akan menjadi angan angan kerana ia memerlukan wang yang banyak untuk menjayakannnya. Dengan adanya wang, segala perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar. Setiap idea besar yang menjadi kenyataan mempunyai kos dan harga yang perlu dibayar.

Idea pengurusan masa

Kita hanya ada masa 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 28 hingga 31 hari dalam sebulan. Kenapa kita selalu tiada masa adalah kerana pengurusan masa yang tidak cekap. Apabila kita dapat mengatur masa kita dengan baik, kita dapat melaksanakan segala perancangan yang telah ditetapkan. Masa untuk solat, makan, tidur, bekerja, riadah, santai, berfikir, menulis, melancong, membeli belah dan sebagainya. Masa ditetapkan secara fleksibel, tidak ada masa yang tetap. Apa yang menjadi ketetapan adalah bentuk aktiviti apa yang nak dilakukan dan dimasukkan dalam tempoh 24 jam akan datang.

Kita tak boleh tetapkan masa dengan ketat kerana idea pengurusan kesihatan juga perlu diambil keutamaan. Apabila terlalu terikat dengan masa dan mesti dilaksanakan walaupun terpaksa, ia boleh mengakibatkan tekanan sama ada ke atas jiwa, perasaan dan tubuh badan kita. Mengurus masa dengan baik membolehkan sasaran kerja dan matlamatnya dapat dilakukan dengan lancar. Penghasilan kerja yang banyak terlaksana akan mengembangkan lagi progres pencapaian. Oleh kerana itu dalam membuat jadual aktiviti perlu dilihat apa matlamat keseluruhannya, sebelum memecahkan aktiviti mengikut peringkat. Ia akan dilakukan secara beransur-ansur dan berterusan.

Pengurusan masa yang baik membolehkan setiap idea yang berguna dapat dilaksanakan satu persatu. Tak semua idea itu perlu dilaksanakan, pilih idea yang terbaik dan boleh memberi kesejahteraan untuk masa sekarang dan juga masa depan. Ramai orang yang berjaya dengan idea mereka, tetapi idea itu tidak banyak membantu kesejahteraan hidup dan masa depan mereka. Akhirnya, hasil daripada perlaksanaan idea itu hanya menyusahkan dan membebankan mereka.

Idea penjagaan kesihatan

Tanpa kesihatan yang baik, kita tak akan dapat melakukan sesuatu kerja dengan baik dan berkesan. Apabila sakit, kerja akan terbengkalai dan tidak lagi mengikut jadual aktiviti. Semakin lama sakit, semakin lama ia akan tertangguh. Apabila selalu sakit tak boleh buat kerja. Tidak ada kerja tidak ada penghasilan. Tidak ada penghasilan tidak ada kemajuan. Tanpa kemajuan kita akan mudah terancam dengan cabaran yang berlaku di sekeliling kita.

Penjagaan kesihatan itu mesti bermula dari hati, kemudian mental dan seterusnya fizikal. Hati itu dapat membentuk niat kita, niat yang baik untuk melakukan perkara yang baik baik. Kita tidak mahu tertekan, kita mahu tenang dan sabar saja dalam melakukan setiap perkara. Kita tak nak marah marah, tak nak tergesa-gesa dan gelojoh kerana semua sikap itu adalah punca kepada kecuaian dan kesilapan.

Penjagaan kesihatan yang baik membolehkan kita melaksanakan sesuatu idea dengan lancar. Kita ada niat untuk berjaya, dan kejayaan itu memerlukan sokongan dan bantuan orang lain. Fikirkan hal yang positif dan jika negatif fikir secara positif bagaimana nak mengubahnya menjadi baik. Kita mesti bertindak melakukan sesuatu dengan baik. Kita tolong orang, kita buat baik pada orang. Jika orang buat jahat, kita undur diri dengan cara baik. Jauhi saja perkara jahat itu, tak perlu melawan walaupun kita mampu melawan. Kita mahu kedamaian dan kesejahteraan hidup.