Rabu, 31 Ogos 2022

Amalan Penulisan Jurnal

 

Menulis boleh menjadi satu hobi yang sangat berguna. Ia sebagai kaedah untuk menyampaikan sesuatu sama ada untuk diri sendiri mahupun orang lain. Menulis juga boleh menguatkan hujah kenapa perlu melakukan sesuatu perkara.

Menulis bukan hanya sebagai sebuah pandangan peribadi. Ia juga boleh menjadi sebuah kerangka kerja untuk mencapai sesuatu tujuan dan matlamat. Menulis juga dapat sentiasa memperingatkan diri tentang tujuan hidup, supaya tidak terpedaya dengan tipu helah dalam kehidupan. 

Faedah menulis jurnal

  1. Nampak perancangan dengan jelas. Untuk berjaya mesti tahu apa, kenapa dan bagaimana boleh melakukan sesuatu yang dirancang.
  2. Dapat mengetahui sebarang kelemahan.  Persiapkan diri untuk menghadapi apa jua kemungkinan yang tak dijangka.
  3. Halatuju hidup lebih teratur. Dengan panduan yang jelas tentang apa yang patut dilakukan supaya tidak mudah tersasar dari landasan yang telah dirangka.
  4. Perlaksanaan tindakan lebih sistematik. Dapat tahu apa yang perlu didahulukan dan dikemudiankan. Dapat memberi keutamaan apa yang penting daripada yang kurang penting.

2 kategori penulisan jurnal

  1. Pengetahuan peribadi.
  2. Perkongsian umum. 
Daripada merungut dan tidak berpuas hati dengan kehidupan, adalah lebih baik menulis sesuatu yang boleh membantu memperkembangkan potensi diri. Kategori pertama ini lebih bersifat peribadi, tulis lah apa jua yang disuka. Tak kira lah mahu mengkritik diri sendiri atau orang lain tetapi ia bukan untuk dibaca secara umum.

Mengkritik tentang kehidupan, masyarakat dan apa saja untuk membuka minda tentang hakikat sebenar kehidupan. Oleh kerana itu, kategori peribadi ini adalah rahsia. Tidak ada siapa pun boleh membacanya kerana mahu menjaga adab dan mengekalkan perhubungan yang baik. Jangan menimbulkan emosi yang akan membuatkan diri kita dibenci oleh orang lain.

Kritikan yang ditulis secara rahsia dan peribadi itu sebagai luahan tentang ketidakadilan yang berlaku dalam kehidupan nyata. Banyak perkara yang tak dapat dikawal dan diselesaikan kerana kita tidak melanjutkan untuk memikirkannya. Dengan luahan dalam bentuk penulisan tersebut kita dapat kenalpasti apa yang boleh dibuat untuk mengawal keadaan dan menyelesaikan masalah yang timbul dari perkara yang tidak dapat dikawal.

Adab dalam memberi pandangan umum

Apabila berada di khalayak umum, jaga aib orang lain dan jangan dedahkan aib diri sendiri. Dalam mana-mana penulisan adab ini perlu dijaga. Lebih-lebih lagi apabila menggunakan media sosial yang sangat popular dan ramai pengikutnya iaitu facebook. Ramai netizen tidak sedar diri apabila suka merungut dan tak puas hati dalam posting yang dibuat. Apabila memberi komen di dalam page Facebook, adab sopan hilang. Cerminan akhlak buruk terdedah melalui perkataan yang disampaikan.

Walaupun Facebook dapat merapatkan hubungan yang jauh dan menemukan kita dengan orang yang dikenali melalui dunia maya, kita tidak perlu ambil tahu tentang aib mereka sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Kita lupakan saja dan berhenti setakat itu saja. Jangan memanjangkannya dengan memikirkannya secara beremosi.

Banyak perkara yang boleh dikongsikan secara umum. Unsur-unsur pengetahuan perlu diterapkan tanpa emosi dalam penulisan umum. Penulisan begini adalah bersifat ilmiah. Iaitu menulis tentang perkara yang orang lain perlu tahu kenapa sesuatu perkara itu perlu disampaikan atau dibincangkan.

Menjadi seorang penulis blog

Blogger boleh dijadikan sebagai sebuah jurnal online untuk membuat catatan kehidupan secara 'on the go'. Boleh buat catatan sama ada melalui PC atau smartphone sahaja. Boleh buat jurnal bersifat ilmiah dengan perbincangan dan pandangan peribadi tentang sesuatu perkara untuk dikongsikan kepada orang lain.

Ada catatan yang bersifat diari, apa jua perkara yang berlaku di dalam kehidupan diceritakan secara tertib dan rahsia. Ada jalan ceritanya dan tidak seperti Facebook yang sekerat sekerat dan sukar dijejaki. Blogger mempunyai fungsi Link yang akan menghubungkait dari satu catatan ke satu catatan yang lain. 

Menulis merupakan satu aktiviti terapi minda. Luahkan apa yang terpendam di dalam hati dan pemikiran untuk melepaskan tekanan dalam keadaan terkawal dan tidak beremosi melampau. Ada perkara yang membuat kita beremosi, namun perlu diluahkan secara berhemah.

Menjadi penulis blog tidak akan menjadikan kita seorang yang popular dan dikenali ramai seperti mana media sosial Facebook dan TikTok. Di mana kita boleh mendapat lebih banyak perhatian dengan mewujudkan 'engagement' daripada apa yang kita catat. Juga tidak dapat menjana pendapatan lumayan seperti media sosial YouTube yang boleh berkongsi video dengan mendapatkan kelayakan iklan penaja.

Blog adalah tempat untuk pengikut yang suka dan rajin membaca serta berfikir. Ia tidak menghiburkan. Sebab itulah blog kurang popular kerana masyarakat kita lebih banyak berhibur daripada menuntut ilmu.

Ilmu daripada penulisan blog

Jika melalui YouTube boleh kongsi video tentang cara melakukan sesuatu sambil berbicara. Facebook pula berkongsi emosi dan perasaan melalui penulisan ringkas. Tetapi melalui blog boleh berkongsi ilmu dan idea dengan penulisan yang agak panjang tetapi padat supaya mudah difahami.

Apabila ada perkara yang terdetik di dalam hati dan terfikir di minda, kita akan mula sedar dan ingat. Ada antara perkara tersebut boleh menjadi sebuah idea. Supaya tidak lupa dan hilang begitu saja, ia perlu dicatat dan dikembangkan menjadi sebuah jurnal yang lengkap.

Kita akan dapat ilmu daripada apa yang ditulis dan juga apa yang kita fikirkan sendiri. Kita akan mula tahu perkara yang orang lain belum tahu dan kita mula tahu apa yang patut kita lakukan selepas berfikir tentang apa yang dikongsikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini