Ahad, 20 November 2022

Jangan Hidup Kerana Wang

 

Wang itu memang penting, tapi bukan semua perkara itu boleh dibeli dengan wang. Kalau kita fikir wang itu sebagai keutamaan untuk setiap perkara mahu dibuat, akhirnya nanti kita akan terlalu bergantung kepada wang. Wang hanyalah satu idea untuk memudahkan urusan dalam ekonomi

Kebergantungan kepada wang  boleh menyebabkan kehilangan sesuatu yang sangat berharga dan bernilai yang tidak boleh dibayar dan dibeli dengan wang. Wang boleh memutuskan perhubungan dan mencetuskan pertelingkahan. Walau kaya bagaimana sekali pun, kita tak akan boleh mendapatkannya kembali dengan wang.

Wang itu untuk apa?

  1. Alat untuk memindahkan kekayaan. Dulu memiliki sebidang tanah, tetapi telah dijual dan wang yang dibayar sudah habis. Manakala pembeli tanah semakin kaya raya kerana di atas tanah itu dibinanya sebuah bangunan kedai.
  2. Memudahkan urusniaga pertukaran barang. Tak perlu guna sistem barter atau pertukaran barang. Tetapi masih boleh juga guna sistem barter apabila nilai wang itu tidak lagi berharga. Tukar ikut nilai harga semasa barang masing-masing.
  3. Mudah kerajaan nak kutip cukai. Cukai dikutip melalui pendapatan yang diisytiharkan. Setiap pekerjaan dan perniagaan mesti didaftarkan supaya pendapatan dapat dijejak untuk dikira dan bebas daripada tindakan undang-undang kerana beroperasi tanpa kebenaran kerajaan.

Wang bukan ukuran untuk segalanya

Buat lah sesuatu bukan sebab wang, jika memperolehi wang ia adalah suatu bonus dan rezeki. Kefahaman kebanyakan orang bahawa tidak ada benda percuma di dalam hidup ini adalah sesuatu yang jahil dan satu pembohongan tentang nikmat Allah. Nikmat Allah tidak dapat diukur dengan wang.

Kalau lah oksigen yang disedut setiap hari untuk bernafas itu perlu dibayar, orang kaya dan sombong dengan kemewahannya pun tidak akan hidup selamanya di dunia ini. Mereka juga akan mati bersama dengan orang miskin walaupun mereka kaya banyak wang.

Sesuatu yang bernilai tak semuanya dapat diukur dengan wang. Malah untuk sesuatu yang berharga tidak semuanya perlu wang untuk mendapatkannya. Kenapa perlu membayar wang jika boleh mendapatkannya dengan percuma. 

Kenali tipu daya wang 

Wang adalah alat yang dicipta sebagai penarik kepada kebendaan. Maka itu sesuatu yang cantik, indah, baru, menarik akan diukur dengan harga beberapa helaian wang kerana nilainya dapat dilihat dengan mata indera. Barang yang sama dengan harga yang berbeza. Harga yang mahal disangka barang yang berkualiti baik, manakala yang berharga murah tidak berkualiti baik.

Tetapi sesuatu barang yang terbiar, buruk, tidak menarik, rosak, nilainya adalah tersembunyi. Ia tidak nampak oleh mata indera dan hanya akan menjadi sesuatu yang berharga dan bernilai apabila berguna semula dengan memperbaikinya, membinanya semula menjadi sesuatu yang boleh digunakan untuk manfaat kehidupan.

Ada benda atau perkara yang perlu dibayar dengan wang. Ada juga yang tak perlu dan boleh diperolehi secara percuma. Justeru, kita mesti bijak menilai dan memilih. Jangan tertipu kerana wang. Ada orang yang menipu untuk mendapatkan wang, berhati-hatilah dengan golongan orang seperti ini. Ada orang yang sangat bangga bila mampu membeli dan membayar sesuatu dengan kekayaan yang dimilikinya.

Mencipta nilai sebenar

Kita masih boleh memiliki sesuatu tanpa perlu menggunakan wang. Nilai sebenar sesuatu benda atau perkara itu ditentukan oleh keperluannya dan kegunaannya. Perkara yang boleh membantu memudahkan kehidupan. Mungkin dengan wang akan lebih mudah mendapatkannya, tetapi menjadi satu cabaran untuk mereka yang tidak mempunyai banyak wang mendapatkannya tanpa perlu menggunakan wang.

Ada benda yang sama tapi harganya berbeza. Keperluan yang terhasil daripadanya untuk kehidupan adalah sama. Kereta mewah dan kereta biasa keperluannya untuk memudahkan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat. Kereta mewah mungkin lebih selesa, tetapi keselesaan yang sebenar adalah bergantung kepada apa yang dirasakan oleh diri sendiri.

Kemudahan dalam setiap perkara itu lebih penting daripada keselesaan kerana kemudahan lebih banyak nilai dapat dihasilkan. Keselesaan hanya lah untuk satu dua perkara tetapi kepayahan dalam banyak perkara yang lain masih berlaku. Keseimbangan itu sangat penting supaya kehidupan ini akan menjadi lebih selesa, aman dan tenang.

Jangan bandingkan diri dengan orang lain yang keturunannya memang sudah kaya raya sejak dari zaman datuk nenek mereka lagi. Atau mewarisi harta keluarga dan menyambung legasi dari mana kekayaan mereka itu boleh diperolehi.

Bandingkan saja kehidupan diri sendiri. Beza ketika hidup susah dan setelah mendapat sedikit kesenangan. Jika ada sedikit kemampuan pilih antara keperluan dan kehendak. Misalnya, perabot itu memang perlu tapi tidak semestinya mewah. Riadah keluarga itu perlu untuk kesihatan mental, maka kita pergi melancong dan jika mampu menginap lah di hotel mewah kerana ianya tidak lah selalu.

Jika mahu sentiasa bergaya dengan hidup mewah tapi jiwa gelisah dengan banyak masalah dalam kehidupan. Kesihatan mental terjejas akibat tekanan kehidupan yang dibebani masalah yang tidak diselesaikan dengan bijak. Akhirnya, wang yang banyak tetap tidak mampu untuk menjadikan hidupnya bahagia dan tenang.

Wang bukan ukuran kekuatan

Kenapa ada orang mahu menunjukkan dia banyak wang? Mahu tunjuk hebat atau kuat? Ramai orang yang banyak wang dan harta cuba untuk mahu dilihat hebat dan kuat dengan apa yang dia miliki. Hakikatnya, dia sebenarnya tidak sedar bahawa perbuatan itu sekadar mahu menyembunyikan kelemahan. Lemah kerana mendedahkan dirinya kepada ancaman luar.

Bagaimana seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat tidak memerlukan wang yang banyak untuk menjadikan kehidupannya lebih bernilai dan berharga. Kesihatan adalah nadi kekuatan dan kekuasaan untuk menghasilkan nilai nilai kehidupan sebenar. Nilai kebebasan dan kesenangan tubuh badan melakukan apa yang disukainya tanpa mengira masa.

Orang yang selalu sakit akan banyak membayar wang akibat gaya hidupnya yang tidak sihat dari segi amalan pemakanan, aktiviti lasak, kurangnya penjagaan diri dan sebagainya. Orang yang selalu sakit juga banyak masanya terlantar di atas katil dan berbaring untuk pemulihan diri. Nikmat kebebasan dan kesenangan sebenarnya sudah hilang walaupun banyak wang untuk membayar kos perubatan.

Wang hanya dapat membantunya kembali sihat, tetapi wang tak dapat mengembalikan masa sihatnya yang sepatutnya dia bebas dan senang dengan perkara yang mahu dibuat. Wang tidak dapat mengembalikan semula penglihatannya, anggota tubuhnya yang cacat akibat penyakit dan kemalangan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini