Selasa, 15 Mac 2022

Strategi Kewangan Peribadi


Kita tentu ada strategi kewangan peribadi masing-masing. Soal kewangan ini sebenarnya terlalu peribadi untuk dibincangkan secara terbuka. Namun begitu, disini dikongsikan sedikit pengalaman perkara yang umumnya sebagai asas bagaimana kewangan kita boleh menjadi lebih sihat dan tidak berdepan dengan risiko bermasalah kewangan yang besar. 

3 asas strategi kewangan

  1. Pulangan tunai.
  2. Pulangan penggunaan.
  3. Kecekapan operasi.
Bagaimana 3 strategi ini dapat memastikan kedudukan kewangan kita dapat berkembang maju dan boleh digunakan untuk membangunkan masa depan kita? Tidak perlu membuat perincian, pembaca tentu lebih arif lagi dengan kedudukan kewangan masing-masing. Ini hanya sebagai asas dan panduan sahaja.

Pulangan tunai

Merupakan aliran pendapatan yang masuk ke dalam akaun dan dompet kita. Perhatikan kedudukan pendapatan kita, adakah masuk secara tetap setiap bulan dan semakin meningkat setiap tahun. Aliran pendapatan ini mungkin daripada gaji kita, upah kerja, hasil perniagaan dan sebagainya. Justeru, aliran tunai ini tidak terhad kepada satu sumber sahaja. Kita boleh mencari punca aliran tunai tersebut. Kita juga boleh mewujudkan sendiri aliran tunai tersebut dan ia mungkin memerlukan modal. Ada juga aliran tunai boleh dihasilkan tanpa modal, yang pasti ia bukan dengan mencuri.

Pulangan penggunaan

Merupakan faedah atau manfaat daripada perbelanjaan yang kita lakukan ke atas pulangan tunai. Perbelanjaan yang kita buat daripada hasil pendapatan wang masuk kita ada yang habis guna. Ada juga yang boleh menghasilkan pulangan. Sama ada ia memberi keuntungan, penjimatan dan bayaran balik sebahagian daripada perbelanjaan. Bergantung kepada cara bagaimana kita berbelanja. Apabila apa yang dibelanjakan itu digunakan dengan sebaiknya atau boleh digunakan untuk mencipta peluang baru, maka perbelanjaan tersebut akan memberi pulangan penggunaan. Perbelanjaan ini dikenali sebagai asset.

Kecekapan operasi

Bagaimana cara kita mengurus perbelanjaan dan juga perkara yang kita telah belanjakan. Jika kita berbelanja untuk barang tidak perlu, ia boleh mengakibatkan kerugian. Apabila kita berbelanja untuk barang kehendak juga boleh menyebabkan kerugian. Kita masih boleh berbelanja untuk perkara yang sama tetapi dengan kos yang murah dan hasilnya masih sama. Malah ada juga dengan perbelanjaan kos yang murah juga kita boleh mendapat keuntungan yang besar. Ada orang tak kisah sangat berbelanja besar kerana mempunyai aliran pendapatan yang banyak diterima setiap bulan. Tapi dalam perkongsian ini, kita mahu mendidik mereka yang mempunyai masalah kewangan supaya tahu bagaimana nak mengurus kewangan mereka dengan bijak. Itu adalah bagaimana caranya kecekapan operasi dapat membantu meningkatkan kedudukan kewangan dan masa depan.

3 asas di atas adalah asas yang boleh kita gunakan untuk menyusun strategi kewangan masing-masing. Untuk memahami lebih lanjut lagi bagaimana ia dapat dilakukan, pembaca mesti rajin membuat penyelidikan sendiri. Jika tak ada masalah kewangan alhamdulillah, tetapi kalau anda dapat menyusun semula strategi kewangan anda sudah pasti kedudukan kewangan anda akan menjadi lebih kukuh lagi pada masa depan.

Manakala bagi pembaca yang masih bertarung dengan kedudukan kewangan peribadi yang tak menentu, jika anda mulai sekarang menyusun strategi kewangan anda, insya Allah sedikit demi sedikit anda akan melihat perubahan besar akan berlaku kepada masa depan kewangan anda.

Ini bukanlah satu nasihat kewangan, ini cuma perkongsian maklumat yang kita semua boleh cuba usahakannya. Lagipun semua ini juga adalah daripada pembacaan maklumat umum dan yang dikutip dari jalanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini