Khamis, 31 Mac 2022

Keseronokan di Tempat Kerja

 


Setiap hari pada waktu bekerja kita ada masa 8 hingga 9 jam berada di tempat kerja. Bakinya masa untuk kita bersama keluarga, tidur, makan dan urusan peribadi. Pada hujung minggu pula adalah masa untuk merancang program bersama keluarga dan juga projek yang boleh kita lakukan untuk kemajuan keluarga. Tak kiralah di rumah atau di tempat kerja, kita mesti ada rasa seronok walaupun banyak beban tugas perlu dihadapi. 

Bagaimana kita boleh menikmati keseronokan itu? Keseronokan itu adalah daripada diri kita sendiri. Kita yang menciptakan keseronokan itu walaupun kita akan berdepan dengan masalah orang ramai di tempat kerja atau karenah ahli keluarga di rumah. Jika di tempat kerja, cipta keseronokan itu, wujudkan situasi kerja yang menyeronokkan, bina persekitaran kerja yang dapat memberi keseronokan.

Apa yang membuatkan kita seronok untuk bekerja

  1. Rakan sekerja yang baik.
  2. Kemudahan untuk bekerja.
  3. Persekitaran kerja yang membina.
  4. Kebebasan merancang dan mengaturcara kerja.
  5. Apa yang kita beri, kita dapat balik walaupun tak diminta.

Rakan sekerja yang baik

Rakan sekerja sama bekerja di dalam pejabat yang sama atau di dalam jabatan yang sama. Rakan sekerja yang baik adalah yang mahu bekerjasama dan membantu menyelesaikan masalah bersama. Jika tidak sama bekerja di dalam pejabat, atau tidak sama jawatan dan pangkat, masih mahu bertegur sapa dan duduk bersama bersembang. 

Tak kisah lah sembang tentang apa, tentang isu semasa, kerja yang dilakukan ataupun aktiviti di tempat kerja. Malah rakan sekerja yang baik juga sekali sekala boleh minum dan makan bersama di kedai kopi di luar tempat bekerja.

Kemudahan untuk bekerja

Apa yang membuatkan kita stress di tempat kerja adalah apabila tidak ada kemudahan untuk bekerja. Selagi kemudahan itu tidak ada, selagi itulah kita berdepan dengan stress. Ada kemudahan yang perlu disediakan oleh jabatan, kalau ada pun masih terbatas. Tidak semua kemudahan mampu disediakan oleh jabatan atas faktor bajet kewangan ataupun kita tidak layak mendapat kemudahan tersebut. 

Maka, kita perlu melakukan sesuatu. Sama ada menggunakan apa yang ada di tempat kerja, atau kita beli sendiri untuk memudahkan kita melakukan kerja. Jangan kita terlalu berkira untuk memudahkan kerja kita, daripada stress tiada kemudahan dan menyalahkan pihak lain menyebabkan mereka susah untuk melaksanakan kerja.

Persekitaran kerja yang membina

Kita memerlukan motivasi untuk melakukan pekerjaan dengan baik dan cemerlang. Walaupun mungkin persekitaran kerja masih ada kekurangannya, tetapi kita dapat menyesuaikan diri dengan membuat perubahan serta penambahbaikan bagi mengatasi kekurangan tersebut. Dalam keadaan bajet yang kurang sekalipun kita dapat memaksimumkan penggunaan bahan dan peralatan yang ada di tempat kerja untuk menyediakan kemudahan kita bekerja. 

Jika ada pekerja yang toksik atau pihak pentadbir yang toksik sekalipun, kita masih mampu menyesuaikan diri dengan keadaan dengan membentuk suasana sendiri di mana keseronokan itu hanya berada dalam ruang lingkup kita sahaja dan tidak berkongsi dengan mereka yang toksik.

Kebebasan merancang dan mengaturcara kerja

Sebelum orang lain merancang dan mengaturcara kerja kita, kita sudah bersedia lebih awal dengan melakukan apa yang patut kita lakukan. Kita masih lagi mengikut apa yang diarahkan, tetapi kita masih dapat mempengaruhi keputusan dan arahan tersebut selagi ia dapat diubah mengikut kesesuaian pekerjaan kita. Ini supaya kita tidak dibuli di tempat kerja. 

Kita ada kebebasan yang seluasnya untuk melaksanakan tugasan kita tanpa desakan, tanpa arahan yang tidak munasabah. Selagi apa yang kita buat mengikut persetujuan atau tidak menyusahkan orang lain. Kita adalah pemimpin kepada diri kita sendiri, jangan biarkan orang lain mengawal sepenuhnya diri kita. Kita masih boleh membuat pertimbangan untuk bekerjasama ataupun tidak, bergantung kepada komunikasi dua hala yang baik. Kita masih ada harga diri dan kita sendiri yang menetapkan berapa harga diri kita.

Apa yang kita beri, kita dapat balik walaupun tak diminta

Membuat kerja dengan ikhlas dan tidak berkira. Walaupun kadang-kadang terdetik di hati hendak merungut dan mengeluh tetapi tidak jadi. Kita biarkan saja perasaan dan emosi negatif itu hilang dengan sendirinya dengan terus melakukan pekerjaan kita, biarpun adakalanya ia bukan bidang tugas kerja kita yang sebenar. Apa yang kita akan dapat? Jangan menipu diri sendiri dengan mengatakan apa yang kita lakukan itu semata-mata kerana tanggungjawab. Bekerja dengan matlamat dan tujuan itu lebih indah daripada bekerja semata-mata kerana ia memang sudah menjadi kerja kita.

Kita tentu akan kecewa jika apa yang kita korbankan selama ini sia-sia, tiada hasil. Kalau tak banyak mesti ada sedikit rasa kecewa itu. Kita manusia yang ada emosi dan perasaan. Jadi, apa yang perlu kita lakukan adalah laksanakan pekerjaan kita dengan bersungguh-sungguh melebihi apa yang diharapkan. Kerana kita mengharapkan sesuatu yang terbaik akan terhasil walaupun tak diminta. Sesuatu yang kita buat itulah yang memberikan hasilnya untuk kita. Kita tak meminta orang lain melakukan apa yang terbaik untuk kita dan tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini