Selasa, 23 Mei 2023

Menyimpan Emas Digital MIGA

 


Bagaimana cara untuk...? 
Menyimpan emas digital sedikit demi sedikit serendah RM10 sahaja.

Ada banyak cara untuk melabur. Bila sebut melabur kebanyakan orang agak sensitif sikit, lebih-lebih lagi bila orang bukan dalam bidangnya berbicara tentang pelaburan, macam saya. Tak kisahlah, ini hanya satu perkongsian daripada pengetahuan dan pengalaman sendiri yang dikutip dari jalanan. Itu adalah konsep blog ini. Tidak ada kepentingan atau cubaan untuk scam atau memperdaya bagi mengaut untung peribadi. Nak percaya atau tidak ini cuma satu perkongsian umum.

Mungkin tak berminat dengan pelaburan crypto sebab ia terlalu kompleks dan pulangannya pun lambat, boleh cuba melabur emas sendiri. Melabur disini bukan bermaksud bergolok bergadai untuk membeli dan menyimpan emas bertan-tan sehingga sanggup jual tanah dan buat pinjaman berhutang bank. Buat secara organik, iaitu kita buat secara semulajadi dengan rela hati dan ikut kemampuan. Ada duit sikit simpan dan beli emas sikit demi sikit.

Apa itu emas digital

Maksud pelaburan emas sendiri disini adalah kita memperuntukkan perbelanjaan untuk membeli emas dan menyimpannya untuk mengekalkan nilai. Seterusnya kita boleh mengaut keuntungan apabila harga emas meningkat dalam satu tempoh yang panjang. Misalnya, dua tahun lepas 2019 harga 1g emas sekitar RM170 dan pada tahun 2023 harga 1g sudah mencecah RM300. Jika kita jual emas tersebut sekarang sudah boleh dapat untung RM130.

Dahulu kalau nak beli emas kita perlu pergi ke kedai emas. Paling ringan kita boleh beli cincin atau anting-anting. Bila beli di kedai, akan dikenakan upah tukang. Jadi, kita akan bayar lebih untuk membeli emas walaupun kurang daripada 1g. Ini akan meningkatkan kos pembelian.

Sekarang, sudah ada kemudahan membeli emas secara digital. Emas digital bermaksud kita hanya membeli emas dalam bentuk berat dan boleh bayar serendah RM10 saja secara online. Kita akan dapat berat emas berharga RM10 itu saja. Ini bermakna, kita boleh beli sedikit demi sedikit. Hari ini beli RM10, minggu depan kalau ada duit lebih beli RM50. Dapat pula duit bonus boleh beli RM100. Tidak ada caj tambahan dikenakan. Nilai emas adalah kekal dan harganya akan terus meningkat dari tahun ke tahun.

Namun begitu, bila disebut beli secara online ramai yang akan terbayangkan dengan scammer. Kalau kita rajin buat 'homework' untuk mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan, tak akan mudah masuk jerat. Scammer sangat suka jika mangsanya seorang yang malas membaca dan ikut saja sesuka hati arahan tanpa banyak fikir. Itu beza antara orang yang bijak dengan orang yang mudah diperbodohkan.

Tukar emas digital kepada fizikal

Kelebihan melabur emas secara digital adalah boleh beli sikit demi sikit dan apabila sudah cukup banyak jumlah beratnya, ia boleh dikeluarkan daripada simpanan digital. Pengeluaran secara fizikal ini baru lah dikenakan caj dengan kadar minima, lebih rendah dari caj upah tukang kalau beli emas barang kemas fizikal di kedai emas. Pengeluaran boleh dilakukan dengan berat serendah 1g. Seterusnya berat 5g, 10g, 30g, 50g, 100g, malah sehingga 1kg juga boleh dikeluarkan.

Membeli emas secara digital juga tidak perlu menunggu terlalu lama untuk membeli emas. Tak perlu tunggu duit terkumpul banyak, ada RM10 di dalam akaun sudah boleh buat pembelian. Beli emas semasa harganya masih rendah walaupun dalam jumlah yang sedikit supaya boleh membuat keuntungan pada masa depan.

Apakah pula kelebihan emas fizikal

Baca artilel 'Bank simpanan peribadi emas'. Emas fizikal akan berada di tangan kita. Mungkin ada yang takut nak simpan emas fizikal di rumah, tak kira banyak atau sedikit. Sama ada takut hilang, atau takut dirompak. Sedangkan simpan wang beratus ribu ringgit di dalam bank pun boleh hilang. Kalau tak hilang jumlahnya, akan hilang nilainya. RM100 ribu 2-3 tahun lepas tak sama nilainya dengan masa sekarang. Kita sangka ia tak hilang sebab masih kekal RM100 ribu tetapi nilai sebenarnya sudah jatuh dicuri oleh mereka yang meminjamkan wang itu secara berhutang. Bagaimana mereka boleh mencuri, itu satu bidang ilmu yang lain berkaitan dengan kewangan.

Nanti kita akan bicara bagaimana boleh memastikan keselamatan simpanan emas fizikal kita agar tidak hilang dan dicuri. Kelebihan menyimpan emas fizikal adalah kita menyimpan wang yang sentiasa bertambah di dalamnya. Nilai wang berada di dalam ketulan emas tersebut. Kalau nak simpan emas fizikal, lebih baik jenis goldbar atau ketulan, bukan dalam bentuk barang kemas. Ini kerana harga goldbar lebih stabil dan tidak dipengaruhi oleh caj upah tukang yang boleh naik dari tahun ke tahun.

Emas fizikal juga boleh digunakan untuk cagaran bagi memperoleh pinjaman bank yang menawarkan kemudahan ar-Rahnu. Pinjaman ar-Rahnu mengenakan caj upah simpan yang minimum. Kita boleh tebus semula sehingga 6 bulan dengan membayar wang yang dipinjam dan upah simpan. Menyimpan emas fizikal adalah untuk kemudahan kredit diri sendiri dan bukannya untuk berhutang. 

Perlu bezakan antara meminjam untuk berhutang dengan meminjam untuk mendapatkan kemudahan wang segera. Berhutang dikenakan faedah yang tinggi dan caj pengurusan pinjaman, kemudahan wang segera atau kredit dengan cagaran emas dikenakan caj yang rendah tanpa apa-apa faedah. Jangan mudah terpedaya dengan perangkap hutang yang menjadikan emas sebagai cagaran. Emas fizikal bukan untuk dijadikan tebusan hutang bank. Jika ini niat kita untuk menyimpan emas, akhirnya emas kita akan jatuh ke tangan orang lain. Lambat laun kita juga yang akan rugi.

Memulakan simpanan emas digital

Sebenarnya ada banyak institusi kewangan dan pelaburan yang menawarkan akaun simpanan emas digital. Disini kita hanya fokus kepada MIGA yang ditawarkan oleh Maybank. Kenapa MIGA? Sebab ia boleh membeli emas digital serendah RM10 sahaja tolak terus dari akaun Maybank biasa. Bagi yang sudah ada akaun bank Maybank (MBB) hanya perlu daftar akaun MIGA secara online saja DI SINI

Kita boleh merancang sendiri berapa banyak dan bila kita nak beli emas digital MIGA. Sebab itu salah satu cara untuk menjana wang percuma adalah dengan crypto. Boleh rujuk artikel berkenaan crypto untuk maklumat lanjut. Kumpul beberapa sen sehari atau beberapa ringgit seminggu, boleh mengumpul menjadi RM10 untuk modal percuma membeli emas. Bagi yang tidak kisah guna duit sendiri, setakat RM10 berapa lah sangat, amat dialu-alukan.

Simpanan emas digital untuk masa depan

Prinsip simpanan emas digital sangat mudah, secara dasarnya keuntungannya diperoleh melalui kenaikan nilai dan harga emas pada masa depan. Tujuan menyimpan emas untuk mengekalkan nilai hasil usaha kita. Simpanan wang untuk jangka masa panjang tidak berbaloi, kecuali jika simpanan wang itu dalam bentuk pelaburan modal seperti ASB atau TNG. 

Itupun kalau banyak wang yang disimpan barulah berbaloi simpan wang kerana pulangannya juga akan tinggi. Kalau simpanan sikit lebih baik simpan emas saja. Mesti tau buat perkiraan berapa banyak keuntungan boleh diperoleh, baru kita dapat memilih mana satu lebih untung dengan modal yang ada.

Kesimpulannya

Justeru itu, menyimpan emas ini bukanlah hanya untuk orang kaya saja. Kalau mahu jadi kaya simpanlah emas walaupun dengan cara sedikit demi sedikit. Kerana emas boleh menjadi bank simpanan peribadi kita apabila jumlahnya semakin banyak dan nilai serta harganya semakin meningkat tahun demi tahun. Statistik harga emas boleh rujuk di website Kitco, untuk nilai ringgit boleh tukar sendiri dengan nilai pertukaran semasa USD vs RM, anggaran antara RM4.20 hinggan RM4.50 bagi USD1.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini