Sabtu, 26 Ogos 2023

Masalah Elektrik dan Air


Apa masalahnya?

Masalahnya apabila terputus bekalan elektrik dan air akan menyebabkan semua aktiviti berkaitan tergendala. Tak perlu aktiviti berat, aktiviti asas pun tak boleh dilakukan. Tak boleh mandi, tak boleh memasak, tak boleh melayari internet. Jika hanya mengambil masa singkat tidak lah menjadi satu masalah, apabila berlaku dari pagi hingga ke tengahari atau berlanjutan ke petang. Ataupun berlaku pada waktu malam sehingga beberapa jam lamanya.

Jadi, apa yang mahu dilakukan adalah apabila bekalan elektrik terputus semuanya sudah siap sedia semasa kecemasan. Tekan suis lampu pun bernyala, internet pun tersambung, kipas pun berpusing. Buka pili paip air pun masih mengalir untuk mandi, mencuci dan memasak. Terputusnya bekalan elektrik dan air paip beberapa jam atau dari pagi hingga petang bukan lagi satu masalah yang merunsingkan.


Penyelesaian masalah

Apa yang perlu dilakukan adalah :

  1. Memasang satu rangkaian bekalan tenaga elektrik yang boleh menghidupkan lampu dan peralatan asas. Tenaga elektrik daripada bateri dan pengubah arus DC ke AC atau penggunaan peralatan berkuasa DC 12v. Tekan suis dan pasang plug lalu peralatan pun hidup. Hanya semudah itu saja tanpa perlu mengeluh dan menyalahkan pihak berkaitan.
  2. Memasang satu rangkaian bekalan air yang bersambung terus masuk ke saluran paip rumah. Walaupun bekalan air paip dari saluran utama terputus, buka saja pili paip air masih mengalir dengan kuat. Aktiviti mandi, mencuci, memasak masih dapat diteruskan. Hanya semudah itu juga tanpa perlu mengeluh memanjang di facebook.
Ini adalah satu dasar jangka masa panjang untuk sifar masalah elektrik dan air, yang selama ini menjadi satu masalah yang menyebabkan semua aktiviti harian tergendala dan tertangguh. Ini satu pembaziran masa kerana terpaksa menunggu bekalan tenaga elektrik dan air pulih semula. 

Ambil langkah proaktif dan bertindak menyelesaikannya. Mungkin ada yang mampu dari segi kos untuk menyediakan satu rangkaian bekalan tenaga elektrik dan air kecemasan yang lebih baik dan mahal. Bukan soal kos mahal atau murah, soalnya masalah ini dapat diselesaikan dengan kos yang mampu ditanggung dan tidak membebankan. Ini bukan soal kehendak, tapi satu keperluan asas tak kira berapa kosnya. 


Pelan jangkamasa panjang

Tidak dinafikan bila mengambilkira soal kos, ia agak mahal walaupun hanya untuk peralatan yang asas seperti bateri, suis, soket ataupun tong simpanan air dan pam elektrik. Bagi saya masalah ini sudah berlanjutan selama bertahun-tahun. Bukan 2-3 tahun berlanjutan, tapi sudah lebih 5 tahun. Akibat kekangan dari segi kos dan juga urustadbir, masalah itu tak dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Sehinggalah ke hari ini, baru lah masalah ini dapat diselesaikan dengan satu sistem rangkaian yang lengkap. Mungkin ini boleh menjadi satu pengajaran dan teladan kepada sesiapa yang mahu membangunkan rangkaian sistem kecemasan untuk bekalan tenaga elektrik dan air di rumah. Ia tidak dapat diselesaikan dalam masa sehari, sebulan atau setahun. Ia tidak semudah berkata-kata. 

Banyak perkara yang perlu dipelajari terlebih dahulu, kemudian sediakan kos dan cari siapa yang boleh membuatkannya jika tidak tahu melakukannya sendiri. Jika buat sendiri lebih murah, jika suruh tukang perlukan kos upah pula. Tapi jika mampu apa salahnya untuk melabur bagi keperluan kecemasan. Jika anda belum melakukan penyelesaian kepada masalah ini, bersedialah dari sekarang. Jika sudah sedia, lakukan sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini