Rabu, 22 Jun 2022

Perasaan Pencetus Kejayaan

Apa kaitannya perasaan dengan kejayaan? Selalunya apa yang kita suka nak buat, kita akan lakukannya dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya. Bagaimana kita boleh jadi suka? Suka adalah satu bentuk perasaan. Perasaan yang membuatkan kita tidak pernah bosan dengan apa yang kita lakukan. Tetapi suka itu bukanlah satu-satunya perasaan yang dapat membantu kejayaan kita. Dalam banyak jenis perasaan yang wujud, hanya ada 7 perasaan yang dapat mempengaruhi kejayaan secara langsung.

Formula Kejayaan

Sebuah kejayaan ada formulanya. Dalam ilmu matematik setiap perkiraannya mesti ada jawapan yang betul. Begitu juga dengan kejayaan, apabila kita membuat perkiraan tentang kejayaan yang mahu kita capai, jawapannya mesti akan betul. Jadi, apakah perkiraannya? Maka, kita perlu membuat perkiraan sesebuah kejayaan dengan formula berikut :

Fikiran + Perasaan = Tindakan fizikal + Minda Separa Sedar

Cetuskan dahulu pemikiran kita untuk berjaya. Memikirkan kejayaan tanpa ada perasaan apa-apa hanya membuatkan kita tidak bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Fikiran itu hanya melintas dan kita tidak merasai apa apa pun tentangnya. Maka tidak ada apa pun yang akan berlaku. Banyak mana sekalipun cerita tentang kejayaan yang didengar, jika tiada perasaan untuk berjaya, kita tidak akan berjaya.

Apabila perasaan diserapkan bersama ke dalam fikiran, ia akan menggerakkan kita untuk bertindak dengan keupayaan fizikal yang ada. Apa yang berlaku selepas bertindak memberi kesedaran baru kepada kita untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Perkara yang tak terfikir pun sebelum itu tiba tiba muncul melalui minda separa sedar dan memberi cetusan baru dalam pemikiran. Sekali lagi, perasaan kita akan berubah dan kali ini dengan semangat yang berkobar-kobar.

Ini akan membuatkan kita menilai semula apa yang telah kita buat. Jika ada kelemahan dan kekurangan, kita perbaiki. Jika ada cetusan idea baru dalam pemikiran, kita akan buat dalam langkah tindakan seterusnya. Semua ini akan memberi harapan baru kepada kita bahawa kejayaan itu bukan lagi sesuatu yang mustahil. Kejayaan itu menjadi satu kepastian dan kita yakin dengannya.

7 jenis perasaan pencetus kejayaan

  1. Ada keinginan
  2. Yakin diri
  3. Kasih sayang
  4. Hubungan intim
  5. Bersemangat
  6. Romantik
  7. Mempunyai harapan
7 perasaan ini saling berkait rapat dan ia mesti bermula daripada perasaan pertama, ada keinginan untuk mencapai sesuatu. Barulah kita akan bersungguh-sungguh mahu melakukannya. Kita mesti tahu kenapa mahu mencapai sesuatu keinginan. Melakukan sesuatu tanpa matlamat dan tujuan yang jelas hanya akan membuang masa, tenaga dan wang kita. Ia tak akan berjaya kerana kita tidak yakin kita boleh berjaya. Kita hanya boleh berjaya jika ada keyakinan. Keyakinan itu pula disebabkan oleh matlamat dan halatuju yang jelas.

Selama ini kita mungkin melakukan sesuatu tanpa mendapat penjelasan yang lengkap, kita cuma ikut perasaan yang ada tetapi tidak faham bagaimana perasaan itu memainkan peranannya. Apabila kita dapat memahaminya dengan jelas, akan muncul satu lagi perasaan yang penting dalam sesebuah kejayaan. Iaitu kasih sayang. Walaupun dalam keadaan terpaksa kita melakukannya, demi kasih sayang kita rela melakukannya. Kita menyayangi diri kita dan orang lain supaya kita dapat mencapai kejayaan dengan bantuan dan sokongan mereka. Kita memerlukan sokongan dan motivasi untuk berjaya daripada kasih sayang yang diberikan.

Hubungan intim dengan kejayaan

Bunyinya nampak pelik, tetapi itulah salah satu perasaan yang sangat penting dalam mencapai sebuah kejayaan. Hubungan intim ini adalah dalam konteks mempunyai perasaan cinta yang amat mendalam terhadap apa yang kita usahakan. Dalam bahasa lain adalah obses. Seseorang yang obses apabila dia bersifat 'workaholics', iaitu segala jiwa dan raga ditumpukan kepada pekerjaannya. 

Tidak pernah berhenti untuk berusaha dan bekerja walaupun sudah habis waktu bekerja dan tidak lagi berada di pejabat. Maknanya kita mesti buat sepenuh jiwa kita supaya mendapat kepuasan daripadanya. Kita rasa puas apabila melihat hasil yang kita buat. Ia adalah permulaan kepada kejayaan dan kita akan buat lagi berkali-kali sampai puas setelah mencapai kejayaan yang kita inginkan.

Apabila kita mempunyai hubungan yang sangat intim dengan pekerjaan kita, semangatnya lain. Kita akan melakukannya dengan penuh ghairah. Kita rasa tidak tenang dan senang selagi tidak melakukan apa yang mahu dibuat. Semangat kita lebih berkobar-kobar lagi dan kita akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kegagalan tidak akan mematahkan semangatnya dan akan mencuba berkali-kali sehingga berjaya. Betapa hebatnya kita apabila mempunyai hubungan yang intim dengan sebuah kejayaan. Selagi kita belum berjaya selagi itulah kita akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Sifat romantik membuat kita disenangi

Tetapi jangan pula kita lupa, dalam hubungan intim dengan kejayaan yang hendak dicapai, jangan sekali-kali bertindak kasar dan ganas. Jangan sampai merampas hak dan menindas orang lain. Jangan kita mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan kepentingan orang lain. Kita juga mesti ada perasaan yang romantik dalam membina hubungan intim dengan perkara yang kita usahakan. Dalam apa saja perkara yang kita lakukan mesti ada sifat toleransi, saling menghormati, jujur, mesra dan sebagainya. Perasaan romantik akan membuatkan tindakan kita dilakukan dengan tenang, sabar dan lemah lembut.

Sebarang kekasaran sudah tentu akan mencacatkan hubungan intim dengan kejayaan kita, apabila kesilapan itu nanti menjadi punca kepada kegagalan untuk berjaya. Konfrontasi dengan orang lain, perasaan dendam, pergaduhan dan permusuhan yang berpanjangan akibat kegagalan kita membentuk sifat yang romantik sudah pasti akan menyebabkan kita gagal dan berakhir dengan kebinasaan. Harapan untuk berjaya musnah hanya kerana kita mempunyai sifat dan perangai yang buruk. Orang lain membenci kita, tidak menyayangi kita, tidak hormat kepada kita dan memberi ancaman kepada kita.

Bagaimana sifat atau perasaan yang romantik itu dapat mencetuskan kejayaan? Ia tidak dapat digambarkan dengan cara pemikiran yang negatif. Romantik di sini bermaksud menyantuni orang lain dengan sopan, baik dan memuliakan seseorang. Kerana kita mahu mengawal keadaan, supaya dapat melakukan usaha dengan baik dan cemerlang melalui sokongan orang lain dan ramai pihak. Kita berbicara dan bergurau secara romantik dengan seseorang bukan bermakna kita mesra ada makna lain. Kita mahu perasaan yang romantik itu dapat membantu kita mendapat sokongan dan dokongan untuk kita berjaya. Pada masa yang sama juga kita turut menyokong dan mendokong kejayaan orang lain.

Harapan adalah untuk semua orang di sekeliling kita

Kenapa kita mahu berjaya? Apakah harapan kita untuk berjaya. Kalau kita hanya berjaya untuk diri sendiri, kita tak akan ada harapan untuk berjaya selamanya. Kalau kita mahu berjaya dengan harapan dapat membawa kejayaan bersama dengan orang lain, maka kita mampu untuk berjaya dalam banyak perkara untuk selamanya. Harapan kita untuk berjaya supaya boleh hidup senang dan membawa kesenangan kepada kehidupan orang lain. 

Harapan kita juga supaya orang lain juga boleh membawa kita kepada kejayaan. Orang akan menyukai kita dan menyokong usaha kita seterusnya untuk berjaya. Ada orang yang menggunakan istilah 'Kabel' iaitu berjaya dengan bantuan dan sokongan orang lain yang lebih berjaya. Bagaimana orang yang menggunakan 'Kabel' ini boleh berjaya adalah kerana mereka menggunakan 7 jenis perasaan ini dalam mencapai matlamat kejayaan mereka. Mungkin ini satu kebetulan, tetapi jika kita menggunakan formula kejayaan yang sama, kita juga mempunyai harapan yang tinggi untuk berjaya dalam apa jua bidang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini