Ahad, 3 Julai 2022

Bahagia Itu Letaknya di Hati

 


Kita lupakan seketika tentang kesibukan dunia dan cari ketenangan yang boleh memberi kebahagiaan kepada kita. Bahagia itu letaknya di hati, jika kita kenal diri kita sebagai seorang manusia kita tak akan meletakkan kebahagiaan itu pada benda. Kita boleh saja berkongsi sesuatu yang dapat membuatkan kita bahagia. Kita berkongsi tentang apa yang kita makan, apa yang kita buat, apa yang kita miliki, apa yang kita rasa. Perkongsian sebegini boleh diperhatikan di dalam media sosial terutama facebook. Tidak menjadi masalah, kerana itu adalah cara kita untuk meluahkan sesuatu dan kita rasa bahagia dengan apa yang kita lakukan dan berkongsi dengan orang lain. Tapi jangan kita lupa, kebahagiaan hakiki itu masih letaknya di hati.

Nilai sebuah kebahagiaan

Bagaimana kita boleh menilai sebuah kebahagiaan? Bahagia itu tidak nampak tetapi boleh dirasa. Untuk merasakan bahagia itu adalah dengan hati, bukannya pada benda. Kita mungkin lebih suka menyendiri kerana kita akan merasa bahagia tanpa diganggu oleh sesiapa. Kita mungkin lebih suka berada dalam kelompok orang ramai kerana di sana kita boleh mendapatkan kebahagiaan yang dicari. Tetapi apabila sendirian kita rasa sepi, rasa gelisah dan tidak tenang, ianya berlawanan dengan perasaan apabila menyendiri.

Tetapi di akhirnya nanti dalam kehidupan ini kita tetap akan menyendiri, dahulu kita mungkin dikelilingi ramai orang yang menyukai kita. Kita mula cuba menjauhi diri daripada kesibukan dunia yang pernah memberi kebahagiaan kepada kita, dan menyendiri untuk mencari sebuah kebahagiaan yang hakiki. Dahulu kita pernah ada ramai kawan, pernah disanjung dan dikelilingi ramai orang, pernah ada banyak harta dan wang. Tetapi kenapa semua itu masih lagi tidak dapat memberi kebahagiaan kepada kita di akhir hayat kehidupan kita.

Nilai kebahagiaan itu terletak di hati kita, apa sebenarnya yang membuatkan kita rasa senang dan tenang adalah kerana hati kita milik Allah SWT. Dialah yang membolak balikkan hati manusia. Apa yang membuatkan kita sentiasa merasa bahagia adalah apabila kita sentiasa dekat dengan Allah SWT. Jika kita mahu bahagia, dekatkan diri kepada Allah. Apabila kita sentiasa dekat kepada Nya, apa sahaja yang berada di sekeliling kita akan mendekati kita dan memberi kebahagiaan kepada kita.

Segala sesuatu akan datang memberi kebahagiaan 

Lupakan kesibukan dengan urusan dunia, kita cari kebahagiaan dengan mendekati Allah SWT, Tuhan yang telah menciptakan kita dan menghidupkan kita. Jangan meletakkan kebahagiaan itu kepada benda, letakkan bahagia itu pada hati kita. Bagaimana hendak membahagiakan hati? Kita dekati Tuhan dan patuhilah segala perintah dan larangan Nya. Maka hati kita akan terpelihara daripada keburukan dan disenangi oleh kebaikan. Apabila hati kita merasa bahagia dan Allah SWT sentiasa bersama kita di dalam hati kita, sesuatu yang tidak dijangka akan datang dan ianya akan menghiburkan hati kita, menambahkan lagi rasa bahagia kita.

Segala sesuatu yang kita tidak minta akan datang kepada kita, kerana dekatnya hati kita kepada Allah akan menzahirkan apa yang kita lakukan dan luahkan melalui perbuatan dan percakapan. Apabila kita ditimpa kesusahan, maka datanglah pertolongan tanpa susah payah kita mendapatkannya. Apabila kita hendak memberi kebaikan, maka datanglah kemudahan yang akan membantu mempermudahkan lagi urusan kita. Apabila kita diancam oleh kejahatan, maka datanglah pembela yang akan mempertahankan kita. Jika kita didatangi oleh keburukan, maka datanglah kebaikan yang akan memimpin kita semula.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini