Khamis, 21 Julai 2022

Kunci Kejayaan Adalah Bertindak

 

Kejayaan itu berada di dalam ruang yang sangat luas. Ia umpama kita berada di dalam rumah tetapi mengunci pintunya dari dalam. Apabila kita buka kunci pintu itu dan keluar dari rumah, barulah kita dapat melangkah jauh dan mendapatkan apa yang kita mahu. Selagi kita tidak keluar rumah selagi itu kita tidak akan berjaya. Tetapi jangan kita lupa, keluar rumah tanpa perancangan yang teliti, tanpa pengetahuan yang luas, kita juga boleh gagal sama ada untuk seketika atau selamanya. Maka, kita mesti berhati-hati dan bersedialah awal dari rumah untuk menjangka apa yang akan berlaku dan bertindak dengan tepat dalam apa jua yang kita lakukan semasa berada di luar dunia yang luas.

Bermula dengan perancangan

Kejayaan itu tidak datang secara kebetulan, ia berlaku hasil daripada perancangan. Kebetulan yang berlaku hanya pada situasi dan keadaan semasa kita melaksanakan tindakan rancangan itu. Jika nasib kita baik, kita dapat melakukannya tanpa ada masalah. Jika nasib tak baik, rancangan kita mungkin terjejas dan perlu disusun semula. Nasib itulah satu kebetulan. 

Nasib juga bergantung kepada ketepatan masa kita berada di tempat kejadian pada waktu yang akan memberi kelebihan kepada kita. Maka itulah pentingnya membuat perancangan awal, merancang untuk melakukan sesuatu tepat pada masanya supaya kelebihan itu berpihak kepada kita untuk mencapai sebuah kejayaan. Kita duduk dulu mencari ilham sambil minum kopi. Ambil buku nota atau buka komputer dan catat rancangan yang hendak dibuat. Semua itu akan memberi penjelasan yang akan menjadi panduan tentang apa yang akan kita lakukan.

Setelah merancang dan membuat catatan, kita laksanakannya. Kunci utama kejayaan adalah dengan bertindak, bermula dengan langkah pertama akan mencetus kepada langkah seterusnya. Sehingga pergerakan langkah kita semakin lancar dan maju ke hadapan. Dalam usaha melakukan tindakan itu kita akan terjumpa dengan masalah, sama ada masalah itu sudah dijangka atau masalah yang tidak dijangka. Tujuan kita membuat perancangan adalah untuk melancarkan tindakan walaupun terpaksa berdepan dengan masalah. Jika masalah itu sudah dijangka, kita tahu apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikannya.

Akhiri dengan istiqomah

Istiqomah bermaksud tidak pernah putus asa, konsisten dengan apa yang dilakukan. Melakukannya secara berterusan. Tidak pernah berhenti untuk terus bertindak. Jika berhenti sekalipun hanyalah untuk berehat dan duduk menilai semula apa yang telah dilakukan jika ada sebarang penambahbaikan perlu dilakukan. Kunci utamanya masih lagi bertindak. Jangan hilangkan kunci itu, kalau kunci itu hilang kita tidak akan dapat masuk semula ke rumah. Kerana di dalam rumah itulah tempat untuk kita berehat, mandi, tukar pakaian, makan dan minum, menulis catatan rancangan dan sebagainya. 

Maka itu kita akhiri dengan istiqomah, iaitu meneruskan segala apa yang patut kita lakukan bermula dari dalam rumah lagi. Buka kunci pintu rumah kita dan keluar melakukan sesuatu yang dapat membawa kepada kejayaan untuk masa depan kita. Teruskanlah bertindak kerana itu saja caranya untuk berjaya. Jangan menunggu terlalu lama untuk bertindak, selain merancang kita mesti sentiasa mencari ruang dan peluang pada masa yang tepat untuk melakukannya. Kerana ketepatan masa pada tempat yang betul juga akan membantu kejayaan kita dapat dicapai dengan mudah dan pantas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen skim cepat kaya dan spam tak dibenarkan di ruang ini